[Nahdhah Fikriyyah | NF 142 ]
Membentuk Keluarga Muslim Mengikut Acuan Al-Qur’an
Oleh : Ummu Zinnirah
Muqaddimah
Dalam pelayaran hidup yang luas terbentang, keluarga ibarat bahtera yang membawa jiwa-jiwa yang saling terikat oleh kasih, cinta dan keimanan. Di bawah redup naungan rahmat Ilahi, terbinanya sebuah keluarga sakinah iaitu tempat tumpahnya kasih sayang, damainya jiwa, dan tenangnya hati. Keluarga sakinah bukan hanya pada senyuman yang terukir, tetapi pada akhlak yang terpancar dan doa yang tidak pernah putus dipanjatkan. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21 mengajarkan bahawa ketenangan, mawaddah dan rahmah adalah anugerah Ilahi kepada mereka yang membina rumahtangga atas dasar iman. Justeru, dalam dunia yang kian gelisah oleh runtuhnya nilai, keluarga sakinah menjadi pelita yang memandu generasi menuju cahaya petunjuk dan kebahagiaan yang abadi.
Namun, apa berlaku kini semakin menyesakkan dada. Nilai-nilai Islam kian terhakis. Kerosakan akhlak, peningkatan jenayah sosial dalam kalangan remaja, serta runtuhnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, semuanya memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang pincang dalam asas pembentukan keluarga hari ini. Dapat kita saksikan sendiri betapa rapuhnya institusi kekeluargaan kita hari ini. Maka, membentuk semula keluarga Muslim mengikut acuan al-Qur’an bukan sahaja satu keperluan, bahkan suatu tuntutan mendesak untuk menyelamatkan generasi hari ini dan akan datang.
Bagaimanakah Membentuk Keluarga Muslim ?
Rumah tangga yang harmoni menjadi asas kepada kestabilan masyarakat. Komunikasi antara suami dan isteri amat penting, bukan sahaja dalam keadaan ideal, tetapi lebih-lebih lagi saat menghadapi konflik. Ini kerana tujuan pernikahan dalam Islam adalah untuk membina ketenangan jiwa dan saling menyayangi dalam ikatan yang diberkati syariat. Justeru Islam telah mengatur secara strategik pembinaan generasi melalui pembentukan keluarga rabbani bermula sebelum pernikahan. Berikut merupakan panduan yang boleh dipraktiskan dalam membentuk keluarga Muslim mengikut acuan al-Quran.
1) Memilih pasangan yang baik.
Pembinaan sebuah keluarga Muslim bermula daripada asas yang teguh, dan asas itu bermula dengan pemilihan pasangan hidup yang baik. Bagi wanita Muslimah yang masih bujang, langkah pertama yang paling penting adalah memilih pasangan yang soleh iaitu seorang lelaki yang bukan sahaja mampu menjadi pemimpin dalam rumah tangga, tetapi juga pemimpin dalam perjalanan menuju redha Allah SWT.
Pasangan seperti ini akan membimbing keluarga dengan ilmu, rahmah dan kefahaman Islam yang mendalam. Bukan dengan kekerasan, tetapi dengan hikmah dan kasih sayang. Dia menjadi contoh dan penunjuk jalan ke arah kehidupan yang diberkati. Memilih pasangan yang baik bukan soal cinta semata, tetapi soal visi jangka panjang yang menjadi penentu kepada masa depan anak-anak, kesejahteraan rumah tangga, dan keberkatan hidup.
Perkahwinan dalam Islam bukan kontrak yang boleh dipermainkan, tetapi satu ‘mîtsāqan ghalīzā’ – perjanjian yang sangat kuat dan suci. Allah SWT berfirman, “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” [TQM An-Nisa (4): 21]
2) Mempunyai Visi dan Karakteristik Keluarga Muslim
Sebuah keluarga Muslim seharusnya dibina di atas asas wahyu Ilahi yang diturunkan oleh Allah SWT. Mereka bukan sekadar berkongsi hidup, tetapi bersatu sebagai tapak awal dalam membentuk masyarakat yang bertakwa. Keluarga bukan hanya tempat bernaung, bahkan merupakan madrasah pertama yang menyemai nilai tauhid, akhlak mulia dan amal soleh. Visi sebuah keluarga Muslim mestilah menjurus kepada mencari redha Allah SWT, menjadi wadah ketenangan (sakinah), berasaskan cinta sejati (mawaddah) dan dilimpahi rahmatNya (rahmah). Inilah tiga elemen yang disebut dalam al-Qur’an sebagai teras kebahagiaan rumah tangga. Firman Allah SWT,
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang (sakinah) kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu kasih sayang (mawaddah) dan rahmat (rahmah). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TQM ar-Rum (30): 21]
Amat penting bagi umat Islam hari ini untuk merancang dan membina keluarga dengan visi yang berpaksikan al-Qur’an agar rumahtangga kita sentiasa berada dalam naungan dan perlindungan Allah SWT, walau di tengah-tengah cabaran dunia yang semakin mencabar.
3) Menanam Akhlak Mulia Dalam Keluarga
Akhlak merupakan cerminan iman dan asas penting dalam membina masyarakat beradab. Surah Luqman ayat 14–19 menekankan kepentingan taat kepada ibu bapa kecuali dalam perkara maksiat, bersikap lembut, tidak angkuh, serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagai tanggungjawab sosial. Allah SWT berfirman,“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan sembahyang dan sabarlah dalam mengerjakannya.” [TMQ Taha (20):132]
Akhlak, kesabaran, dan konsistensi dalam ibadah merupakan asas kestabilan keluarga, kerana keluargalah medan awal pembentukan akhlak sebelum dibawa ke masyarakat.
4) Kerjasama Suami Isteri
Kedua-dua suami dan isteri perlu memahami serta menunaikan peranan masing-masing seperti yang digariskan dalam al-Qur’an. Suami sebagai qawwam, manakala isteri sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Kerjasama antara ayah dan ibu sangat penting kerana peranan masing-masing telah jelas dan seimbang. Seorang ayah terutamanya, dia bukan sekadar pencari nafkah malah merupakan figura penting yang akan mengemudi sesebuah keluarga. Al-Qur’an menegaskan, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pemelihara (qawwam) bagi kaum wanita…” [TQM an-Nisa (4) : 34]
Ayah atau suami memikul peranan besar sebagai qawwam iaitu pemimpin, pelindung, dan penanggungjawab utama dalam sebuah keluarga. Mereka wajib menanggung perbelanjaan harian, tempat tinggal, pendidikan, dan kesihatan keluarga. Ayahlah yang bertanggungjawab memimpin keluarga secara adil dan penuh kasih sayang. Lebih daripada sekadar nafkah, suami perlu membimbing isteri dan anak-anak dengan pendidikan agama, memberi teladan melalui solat berjemaah, bacaan al-Qur’an dan berakhlak baik agar menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak. Ayah juga bertanggungjawab melindungi keluarganya daripada pengaruh negatif budaya luar dan membimbing mereka ke jalan Allah SWT.
Maka, kesedaran bersama tentang hak, tanggungjawab dan batas peranan dalam kerangka syariat Islam amat penting untuk menjamin keharmonian rumah tangga.
Khatimah
Sesungguhnya, keluarga sakinah bukan terbina dalam sehari, tetapi disemai dengan sabar, dipupuk dengan ilmu, dan disirami dengan doa. Ayah sebagai nahkoda, ibu sebagai pengatur keluarga, dan anak-anak sebagai permata hati. Semua memainkan peranan dalam mencipta mahligai bahagia yang diredhai Allah. Apabila solat menjadi tiang, al-Quran menjadi panduan, dan cinta berteraskan iman, maka rumah itu akan bercahaya bukan hanya di dunia, tetapi hingga ke syurga. Semoga setiap daripada kita dapat berusaha menjadikan keluarga sebagai taman iman, tempat lahirnya kasih, dan benteng terakhir melawan gelombang dunia yang mencabar. Keluarga yang berpaksikan al-Qur’an bukan sahaja memberi kebahagiaan di dunia, malah menjadi jalan menuju kebahagiaan abadi di akhirat. Wallahualam.
Sumber Rujukan :
1 https://www.kosmo.com.my/2025/05/26/mangsa-termuda-gangguan-seksual-bawah-enam-tahun
2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan PDRM. (2024). Statistik dan operasi penurunan CSAM di Malaysia. Astro Awani, 2025.
3 Jabatan Perangkaan Malaysia. (2024). Crime Statistics Malaysia 2024.
4 https://www.sinarharian.com.my/article/732060/berita/semasa/jenayah-indeks-di-kelantan-naik-151-peratus-kes-rogol-dan-curi-meningkat-ketara