[NF143] Tatkala Rumah Syurga Berubah Menjadi Neraka
Seiring dengan kemunduran kaum Muslimin, masyarakatnya semakin menyerupai masyarakat Barat yang permisif dan sekular. Nilai kekeluargaan kian bergantung pada faktor material dan transaksi ekonomi sehingga kerosakan moral dalam masyarakat tidak dapat dielakkan. Kadar perceraian semakin meningkat, pernikahan dihindari, malah takut untuk memiliki anak. Situasi ini mengakibatkan penurunan kadar kelahiran atau depopulasi, yang bertambah parah dengan promosi penyimpangan seksual seperti LGBT. Akibatnya, masyarakat semakin jauh daripada fitrah, melahirkan generasi yang menua, dipenuhi perpecahan serta terputusnya kesinambungan nasab. Semua ini berlaku kerana hubungan antara lelaki dan wanita tidak lagi dibimbing oleh syariat Islam.
Sesungguhnya Nizhamul Ijtimaie (Sistem dan Tatacara Pergaulan dalam Masyarakat) merupakan pendekatan geopolitik Islam secara mendatar yang mengatur interaksi antara lelaki dan wanita dalam kehidupan masyarakat Muslim di setiap lapisan. Peraturan ini ditetapkan melalui rangkaian hukum syariat yang saling berkait antara satu sama lain. Daripada interaksi ini timbul pelbagai persoalan dan cabaran antaranya berkaitan perkahwinan, talak, anak, nafkah, serta isu-isu lain yang bersangkutan.
Bagi seorang Muslim sama ada lelaki mahupun wanita, kewajipan mereka ialah terikat dengan hukum-hukum syariat secara menyeluruh. Nizhamul Ijtimaie menjamin terwujudnya kehidupan khusus dalam ruang pertama iaitu di rumah, tempat seseorang memperoleh ketenteraman, ketenangan jiwa dan beristirahat setelah lelah bekerja seharian. Dalam masa yang sama, ia turut menjamin kehidupan umum dalam masyarakat agar terbina suasana yang serius, terhormat, bermartabat dan produktif.
Kerosakan yang berterusan di bandar dapat dilihat melalui tingkah laku dan interaksi sosial warganya. Hal ini ditegaskan dalam firmanNya;
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? Iaitu penduduk Iram yang memiliki bangunan-bangunan menjulang tinggi, yang belum pernah dibangun seperti itu di bangsa-bangsa lain. Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah. Dan kaum Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh yang berbuat sewenang-wenang dalam bangsa itu. Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam bangsa itu.” [TMQ Al-Fajr (89): 6-12]
Konsep Ruang Kehidupan Keluarga Muslim
Dalam paradigma Nizhamul Ijtimaie Islam, rumah tidak sekadar berfungsi sebagai tempat berlindung secara fizikal, bahkan memiliki nilai kehormatan dan kesucian yang wajib dipelihara demi kelangsungan hidup keluarga Muslim dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Antara konsep terpenting dalam hal ini ialah pembahagian ruang pertama yang berkait dengan kehidupan khusus (hayatul khas) dan kehidupan umum (hayatul ‘am), yang menjadi asas kepada pembinaan keluarga Muslim, terutama dalam menentukan peranan serta aktiviti kaum Muslimah.
Dalam masyarakat Muslim yang sihat dan terhormat, kehidupan peribadi mesti dihormati serta terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan awam. Syariat Islam bukan sahaja menjaga kehidupan peribadi dalam rumah, bahkan menetapkan aturan kepada orang yang mengetuk pintu, di samping turut memelihara aurat Muslimah di ruang-ruang peribadi mereka. Rasulullah SAW telah mengingatkan hal ini dalam sebuah hadis.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Meminta izin (untuk masuk rumah) itu sebanyak tiga kali. Jika diberi izin, maka masuklah. Jika tidak, maka pulanglah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Islam telah mengatur kehidupan khusus (private life) dan memisahkannya dari ruang umum demi menjaga kehormatan dan kesucian keluarga Muslim. Allah SWT telah berfirman:
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang biasa terlihat…” [TMQ An-Nur (24): 31]
Standard Fizikal: Tirai Suci Keluarga Muslim
Dek kerana tanah yang semakin terhad sementara populasi di bandar yang semakin meningkat, ada yang terpaksa hidup bersesak di dalam rumah yang kecil dan sempit seperti rumah setinggan. Keterbatasan tanah juga menyebabkan harga semakin melambung tinggi dan hanya orang-orang berduit sahaja yang mampu membeli dan tinggal di landed house.
Dalam pandangan Islam, sebuah rumah secara fizikal mestilah mempunyai ruang yang mencukupi untuk membolehkan interaksi ahli keluarga berlangsung dengan baik, sesuai dengan tuntutan syariat. Rumah juga perlu mempunyai pemisah antara bilik suami isteri dan anak-anak mereka. Inilah mengapa al-Quran menggariskan tiga waktu aurat sebagai ruang privasi yang wajib dijaga demi kehormatan dan kesucian ahli keluarga, seperti yang dijelaskan dalam Surah an-Nur ayat 58.
Justeru, keadaan di mana beberapa keluarga tinggal bersama dalam satu rumah amatlah tidak wajar kerana ia membuka ruang kepada pelbagai penyakit sosial dan kerosakan generasi, termasuklah berlakunya perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti sumbang mahram.
Selain itu, rumah juga wajib dipelihara daripada pandangan orang asing yang tidak diizinkan masuk. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
“Seandainya seorang lelaki mengintipmu tanpa izin, lalu engkau lempar dia dengan kerikil lalu engkau cungkil matanya, maka tidak ada dosa atasmu.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Standard Bukan Fizikal: Hilangnya Sakinah di Rumah
Tatkala Islam menitikberatkan aspek fizikal, maka lebih-lebih lagi Islam turut memberi perhatian terhadap dimensi bukan fizikal yang berkait dengan nilai, sama ada secara ma’nawi atau ruhiyah. Inilah hakikat falsafah Islam yang menyatukan unsur material dengan ruh, iaitu kesedaran akan hubungan seorang hamba dengan Allah.
Dalam pandangan Islam, rumah berperanan sebagai syurga bagi penghuninya — Baiti jannati. Secara umum, al-Quran menjelaskan bahawa rumah berfungsi sebagai “sakan” (Surah an-Nahl: 80). Para mufassir menafsirkan istilah ini sebagai tempat tinggal yang menjadi sumber ketenangan dan ketenteraman bersama keluarga. Dalam bahasa Arab, kata sakan, maskan dan sakinah berasal daripada akar kata yang sama.
Namun pada hari ini, ketenteraman atau sakinah itu kian hilang. Bagi mereka yang kurang bernasib baik, rumah yang sempit menjadi beban. Manakala bagi yang berkemampuan, rumah yang luas dan selesa juga belum tentu mampu menghadirkan kedamaian jiwa. Fenomena dying alone di kawasan perumahan elit semakin membimbangkan. Memiliki rumah yang besar dan megah, tetapi penghuninya hidup dalam kesepian hingga meninggal sendirian.
Tidak kurang juga terdapat rumah-rumah yang dihuni oleh keluarga broken home, dipenuhi konflik, tingkah laku buruk, malah berlakunya pengabaian terhadap ahli keluarga. Anak-anak yang sudah dewasa enggan mengurus ibu bapa mereka kerana trauma masa lalu.
Khatimah
Inilah pentingnya ideologi Islam beserta tata nilainya dalam membina rumah dan keluarga. Sebaliknya, peradaban sekular tidak menjanjikan apa-apapun selain kekosongan sakinah dan nilai liberalisme sekular. Dasar negara-negara Barat sekular seperti Eropah dan Amerika adalah penerapan kebebasan individu, pemilikan, ekspresi dan agama untuk semua warganya. Berdasarkan prinsip ini, legitimasi dan seksualiti telah dipersepsikan seperti keperluan organik lain yang perlu dipuaskan, seumpama apabila perut terasa lapar.
Namun, hari ini semua bentuk tingkah laku dan interaksi tidak lagi diatur oleh perintah Islam, sebaliknya berpaksikan idea kebebasan dan kepentingan manfaat. Hilangnya konsep keterikatan hukum syarak dalam masyarakat akhirnya menjerumuskan masyarakat ke dalam kerosakan moral.
Justeru, perintah-perintah Islam mestilah menjadi kompas yang membimbing tingkah laku ketika melakukan interaksi sosial dalam setiap lapisan kehidupan. Apabila keluarga dibina atas dasar hukum syarak, prinsip baiti jannati dapat direalisasikan.
Disusun semula dan diolah oleh Dr Aslam Diyana Selamat
Rujukan:
Intipati artikel diolah semula dari buku Labirin Kaum Urban: Geopolitik Perkotaan Dalam Lensa Dakwah Islam, Dr. Fika Komara, IMuNe Press di bawah Yayasan Cakrawala Muslimah Negarawan, Januari 2025.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat