[NF148] Muslimah Pelita Ummah: Menyingkap Kerosakan Sistem Sekular
Oleh: Hidayah Muhammad
Muqaddimah
Ramadhan bagi umat Islam seharusnya menjadi momentum untuk melakukan muhasabah diri agar Ramadhan tidak sekadar menjadi ibadah rutin tahunan yang dilaksanakan tanpa penghayatan. Lebih penting daripada itu, Ramadhan merupakan peluang besar untuk menggapai ketakwaan. Sebagaimana firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” [TMQ al-Baqarah (2): 183]
Menurut Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, kalimah la‘allakum tattaqun dalam ayat ini bermaksud,
“Dengan ibadah puasa itu, Allah SWT mempersiapkan kamu agar mampu melaksanakan seluruh perintahNya dan menjauhi semua laranganNya.” (Al-Jazairi, Aysar at-Tafasir, Jilid 1, hlm. 80)
Oleh itu, setiap Muslim dituntut untuk mentaati seluruh perintah dan larangan Allah SWT yang telah ditetapkan dalam syariat Islam. Persoalannya, adakah tuntutan itu dapat direalisasikan pada hari ini?
Sekularisasi di Bulan Ramadhan
Dalam keghairahan menyambut bulan Ramadhan yang mulia, umat Islam perlu menyingkapi realiti hari ini yang menunjukkan bahawa umat Islam hidup dalam satu sistem rosak yang meminggirkan agama daripada kehidupan. Buktinya jelas, sistem ekonomi berasaskan kapitalisme, sistem perundangan berasaskan kerangka perlembagaan pasca-kolonial yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, sistem pemerintahan demokrasi yang menjunjung nilai kebebasan, dan dalam masa yang sama, idea sekularisme terus mendominasi pemikiran umat Islam.
Sekularisme merupakan idea yang berasal dari Barat yang mengajarkan pemisahan agama daripada kehidupan. Dalam kerangka sekular ini, Islam direduksi menjadi ibadah yang bersifat ruhiyah semata-mata. Lebih ketara lagi apabila tibanya bulan Ramadhan, umat Islam berlumba-lumba melaksanakan amalan sunat, tetapi dalam masa yang sama, mereka mengabaikan kewajipan yang lebih utama.
Sebagai contoh, umat Islam secara umumnya memperbanyakkan tadarus al-Quran, namun mengabaikan penerapan hukum-hakam al-Quran dalam kehidupan. Malam diisi dengan qiamullail, tetapi siangnya masih sibuk mengejar material semata-mata. Ramai yang rajin bersedekah, namun pada masa yang sama masih terbelenggu dengan hutang yang berasaskan riba.
Tidak dinafikan bahawa ibadah yang bersifat ruhiyah sememangnya penting untuk menambah pahala dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, jika itu menjadi satu-satunya fokus, itu belum cukup untuk melahirkan hamba yang bertakwa. Bahkan, keadaan ini merupakan manifestasi pemikiran sekular yang memisahkan Islam daripada pengaturan kehidupan. Fenomena inilah yang berulang setiap kali tibanya bulan Ramadhan dan terus merosakkan kehidupan umat Islam.
Sedangkan syariat Islam diturunkan secara lengkap untuk mengatur seluruh aspek kehidupan manusia bermula daripada individu, masyarakat sehinggalah kepada urusan negara. Oleh itu, umat Islam tidak boleh memilih-milih perintah dan larangan Allah SWT mengikut kehendak sendiri. Allah SWT telah memberi peringatan yang tegas dalam firmanNya,
“Adakah kamu beriman kepada sebahagian daripada Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tidak ada balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu selain kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat. Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu kerjakan.” [TMQ al-Baqarah (2): 85].
Maka, perubahan masyarakat perlu dimulakan dengan mengubah pemikiran dan perasaan yang dimiliki oleh umat. Pemikiran tentang akidah serta cara pengaturan kehidupan dan penyelesaian masalah perlu dikembalikan kepada syariat Islam.
Peranan Muslimah dalam Mengubah Sistem Sekular
Usaha mengubah umat adalah kewajipan kaum lelaki dan wanita. Oleh itu, Muslimah perlu memainkan peranan sebagai pelita di tengah-tengah umat untuk menyuluh jalan keluar daripada sistem sekular kepada sistem Islam.
Pertama, Muslimah mesti menjadi contoh teladan yang baik. Apabila Muslimah ingin melakukan perubahan, maka harus bermula dengan diri sendiri. Bukan hanya contoh teladan di rumah bagi anak-anak, bahkan perlu menjadi teladan di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat.
Perlu difahami juga bahawa Muslimah mempunyai tanggungjawab dalam memperbaiki keadaan umat Islam hari ini. Tugas Muslimah bukan hanya di rumah sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga), malah ada peranan di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat. Maka, Muslimah harus menjadi contoh teladan dengan cara belajar untuk memahami Islam dan mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan serta menunjukkan akhlak yang baik.
Kedua, Muslimah wajib mendidik umat Islam. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat tentang kerosakan sistem sekular. Mereka perlu memahami bahawa kehidupan umat Islam hari ini didominasi oleh sistem sekular. Walaupun majoriti penduduk di negara ini beragama Islam, ia belum membentuk sebuah masyarakat Islam. Hal ini kerana pemikiran sekular, perasaan nasionalisme, serta sistem demokrasi yang diterapkan – semua ini tidak berlandaskan syariat Islam.
Pendidikan atau dakwah yang dilakukan dengan cara bil hikmah adalah wajib. Bil hikmah bukan bermaksud berdakwah secara lembut sehingga menuruti kemahuan umat. Tetapi berdakwah dengan kelembutan, tutur kata yang baik dan bijak dalam mengawal emosi sebagaimana firman Allah SWT,
“Serulah manusia kepada jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” [TMQ an-Nahl (16): 125]
Muslimah mestilah melakukan pembinaan umat dengan pemikiran Islam. Ini penting agar mereka memahami Islam sebagai satu sistem yang mengatur seluruh aspek kehidupan, sama ada pada peringkat individu, masyarakat mahu pun negara.
Ketiga, Muslimah wajib mengajak umat untuk bersama-sama memperjuangkan Islam kaffah. Ini kerana, penerapan syariat Islam secara menyeluruh hanya dapat dilakukan dengan adanya institusi Khilafah. Umat perlu memahami bahawa usaha mengubah sistem sekular bukan sekadar memperbaiki individu, tetapi menuntut penggantian sistem kehidupan itu sendiri dengan sistem Islam.
Apabila umat menginginkan perubahan ke arah sistem Islam, mereka akan menjadi pendukung kepada individu atau gerakan yang berjuang untuk mengembalikan penerapan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh). Mereka juga memerlukan proses pembinaan ummah secara kolektif (tatsqif jama‘i).
Oleh itu, penting untuk membina pandangan umum (ra’yul ‘am) berasaskan pemikiran Islam, sehingga terbentuk kesedaran umum (wa‘yul ‘am) dalam kalangan umat. Semua usaha ini dilakukan dengan cara turun ke tengah-tengah umat dan berdakwah secara langsung. Hal ini kerana salah satu kunci untuk melahirkan khaira ummah adalah dengan melaksanakan dakwah melalui amar makruf nahi mungkar. Firman Allah SWT,
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” [TMQ Ali-Imran (3): 110].
Khatimah
Arus sekularisasi pada hari ini sangat dahsyat. Tanpa suluhan cahaya syariat Islam, kita boleh sesat pada bila-bila masa. Persoalannya, sampai bila umat mampu bertahan jika syariat Islam hanya diamalkan pada peringkat individu semata-mata? Oleh itu, syariat Islam perlu ditegakkan secara kaffah melalui institusi negara, iaitu Khilafah, agar umat Islam mampu kembali menjadi khaira ummah.
Maka, marilah kita bersama-sama merebut peluang dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini untuk menyiapkan diri menjadi pelita ummah untuk keluar daripada kerosakan sistem sekular. Kita perlu bersama-sama membentuk benteng yang menahan umat Islam daripada dihanyutkan arus sekularisasi dengan cara memahami, mengamalkan dan memperjuangkan Islam secara keseluruhan.
Waallahu A’lam
Rujukan
- Majalah Al-Wa’ie, Oktober 2021
- Majalah Al-Wa’ie, Oktober 2018
- Kh. Hafidz Abdurrahman MA, Nizhamul Fi Al- Islam (Pokok-Pokok Peraturan Hidup Dalam Islam
- https://www.facebook.com/share/r/1AfrxgxYGo/?mibextid=D5vuiz
#Ramadhan #sekularisme