[Nahdhah Fikriyyah | NF147] RISIKO DUNIA DIGITAL BUAT ANAK
Penulis : Ummu Zinnirah
Muqaddimah
Dunia digital masa kini tidak asing lagi dalam kehidupan manusia, termasuklah kanak-kanak. Penggunaan gajet dan internet yang semakin meluas telah menimbulkan kebimbangan besar dalam masyarakat. Justeru, kerajaan Malaysia telah mewartakan larangan ke atas golongan berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial bermula tahun hadapan. Pelaksanaan ini dibuat berasaskan keputusan kabinet bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual (BH Online 24/11/25). Negara Australia merupakan negara pertama di dunia yang menguatkuasakan peraturan yang serupa bermula 10 Disember 2025 (BH Online 10/12/25).
Dominasi generasi muda dalam penggunaan internet adalah realiti. Mereka dilahirkan pada era digital dan sentiasa terdedah kepada maklumat digital. Pendedahan sejak kecil menjadikan mereka mahir menggunakan pelbagai peranti serta platform digital seperti telefon pintar, komputer riba, media sosial dan sebagainya. Masalahnya, perkembangan teknologi digital begitu pesat ibarat pedang bermata dua. Di satu sisi, ia membawa banyak manfaat seperti memudahkan komunikasi, menjimatkan urusan kewangan, memudahkan akses maklumat dan membuka peluang perniagaan atas talian. Namun pada sisi yang lain, ia juga boleh disalahgunakan untuk perkara negatif seperti penyebaran berita palsu, ucapan kebencian, provokasi, buli siber, penipuan, pelanggaran privasi data dan sebagainya. Permainan digital misalnya, walaupun pada asalnya dicipta sebagai hiburan, kini menunjukkan implikasi negatif jika tidak dikawal.
Implikasi Dunia Digital
Dua kes yang menggemparkan negara kita pada tahun 2025 lalu iaitu kes seorang pelajar lelaki menikam rakan sekolahnya kerana terpengaruh dengan permainan video ganas. Satu lagi kes di mana seorang abang telah bertindak mengelar adiknya sendiri selepas semua ‘point’ yang dikumpulnya melalui permainan Roblox hilang. Insiden-insiden seperti ini menunjukkan bahawa pendedahan yang tidak terkawal kepada permainan digital boleh mempengaruhi emosi dan tindakan mereka tanpa mereka sedari.
Berita yang menggemparkan juga turut berlaku di Jakarta, Indonesia di mana seorang remaja telah meletupkan sebuah sekolah dan mengorbankan 72 mangsa. (ANTARAnews 7/11/25). Pelakunya bukanlah pengganas, tetapi seorang remaja yang telah dibuli di sekolah. Tindakan ekstrem remaja tersebut tidak muncul begitu sahaja tetapi merupakan hasil daripada masalah sosial yang terpendam dalam diri sehingga mempengaruhi tingkah lakunya. Remaja terbabit didakwa mendapat idea setelah melayari maklumat melalui internet berkaitan pengeboman.
Isu ancaman dari internet masih belum reda kini timbul pula ancaman baharu daripada kecerdasan buatan (AI). Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin pesat dan memberi pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, teknologi ini turut membawa risiko tertentu, khususnya kepada golongan kanak-kanak yang masih belum matang dari segi emosi dan pemikiran. Mereka berisiko terdedah kepada manipulasi digital seperti suara dan gambar tiruan yang boleh digunakan untuk penipuan dan scammer. Malah ramai yang terjebak dengan ‘percintaan’ melalui perbualan dengan individu AI.
Dunia digital sebenarnya boleh dianggap sebagai sebuah dunia khayalan yang memisahkan manusia daripada realiti sebenar. Hal ini berlaku kerana apa yang dipaparkan di media sosial, permainan video, atau platform digital sering kali tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam kehidupan. Permainan video dan platform hiburan dalam talian mampu membawa seseorang ke alam fantasi yang jauh daripada dunia nyata.
Beberapa bukti di atas mendedahkan bahawa dunia digital kini direka bagi menyuburkan benih sekular yang memisahkan urusan kehidupan dengan aturan agama. Apatah lagi apabila tahap ketakwaan si anak belum mencapai kematangan dalam membuat keputusan-keputusan hidup. Bertambah parah, puak kapitalis mencipta ketagihan sehingga pengguna digital sanggup membayar sejumlah mahar yang besar untuk mencapai kepuasan yang penuh fatamorgana contohnya melalui permainan online. Inilah bahaya dunia digital buat anak-anak kita.
Islam sebagai Sistem Sokongan Terbaik
Kita sering diingatkan dengan pesanan Saidina Ali RA : “Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka diciptakan untuk zaman yang bukan waktumu.” Kata-kata ini sangat relevan dalam dunia moden hari ini. Setiap generasi mempunyai cabaran, keperluan dan cara hidup yang berbeza. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh menggunakan sepenuhnya kaedah lama tanpa menilai kesesuaian dengan zaman baharu yang serba serbi digital. Islam sendiri sebenarnya tidak menolak kemajuan teknologi termasuk bidang digitalisasi. Rasulullah SAW pernah disoal tentang hukum penggunaan teknologi pendebungaan buah tamar dan baginda bersabda, “Kalian lebih tahu tentang urusan dunia kalian.” [HR Muslim].
Namun dalam Islam, teknologi hanya wasilah (alat) untuk mempermudah kehidupan. Alangkah indahnya apabila perkembangan teknologi ini didedikasikan hanya demi kemuliaan agama dan umat Islam dengan asas akidah dan hukum-hukum syarak. Syariat Islam hadir sebagai solusi lengkap untuk setiap masalah manusia. Ia menjaga akal, jiwa, harta, kehormatan dan fitrah manusia, serta memastikan nilai-nilai moral, spiritual, material dan kemanusiaan dapat berjalan seimbang.
Terdapat beberapa lapisan perlindungan yang melahirkan generasi pemimpin berakhlak dan berwibawa iaitu:
Lapisan pertama ialah ketakwaan individu melalui pendidikan berasaskan akidah dan dakwah. Anak-anak yang mempunyai jati diri Islam akan menjadi individu yang bertakwa serta bertindak berlandaskan apa yang telah disyariatkan Islam tanpa mengabaikan batas halal dan haram.
Lapisan kedua ialah keluarga yang kukuh dan berfungsi dengan baik. Lapisan ketiga ialah masyarakat yang membudayakan amal makruf nahi mungkar yang sangat kental. Lapisan kedua dan ketiga ini terbentuk hasil penerapan syariat yang menciptakan keadilan ekonomi, baitulmal yang kukuh, sistem sosial yang menjaga masyarakat daripada kerosakan, sistem perundangan yang tegas dalam menghapuskan maksiat dan jenayah serta media massa yang berfungsi mencegah penyebaran keburukan.
Lapisan terakhir yang dapat menyempurnakan semua perlindungan ini ialah negara. Negara dalam Islam, iaitu Khilafah, berperanan sebagai sistem sokongan yang utuh dan menyeluruh. Melalui penerapan syariat secara praktikal dalam seluruh aspek kehidupan, termasuk ruang digital, negara memastikan setiap individu dan masyarakat berada dalam lingkungan yang selamat dan terarah. Khilafah memanfaatkan teknologi digital sebagai medium pendidikan, penguat dakwah, serta wasilah atau medium untuk menunjukkan kekuatan kepada dunia luar. Ini adalah kerana Khilafah memainkan peranan penting sebagai raa’in (pengatur urusan) dan junnah (pelindung). Melalui dua fungsi besar ini, negara bukan hanya mengurus keperluan rakyat tetapi juga memastikan keselamatan mereka, termasuk di ruang digital yang semakin mencabar ini. Semua ini hanya dapat dicapai melalui penerapan syariat Islam secara menyeluruh dalam seluruh aspek kehidupan.
Khatimah
Sejarah peradaban Islam membuktikan bahawa penerapan Islam secara kaffah di bawah Khilafah melahirkan generasi terbaik yang bukan sahaja bertakwa, tetapi juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan. Tidak hairanlah jika umat Islam pernah menjadi pelopor kemajuan ilmu dan peradaban berabad-abad lamanya. Usaha menegakkan Khilafah sebagai pelaksana syariat adalah keperluan yang mendesak bagi menyelamatkan umat khususnya anak-anak daripada kerosakan sistem sekular kapitalis. Khilafah juga akan memastikan tiada dasar yang memudaratkan rakyat, serta memerlukan kekuatan sains, teknologi, politik dan ekonomi bagi memimpin peradaban. Untuk menjamin kelangsungan peradaban Islam yang gemilang, Khilafah perlu berada di barisan terdepan dalam kemajuan ilmu dan teknologi bagi menjamin kelangsungan peradaban Islam yang gemilang,
Wallahu A’lam
Rujukan
- Kerajaan sasar larang golongan usia bawah 16 tahun buka akaun media sosial mulai tahun depan- Berita Harian Online
- Tanggungjawab Menyelamatkan Generasi dari Pengarusan Sekularisasi di Ruang Digital – Muslimah News
- Negara Barat Panik dengan Algoritma Media Sosial- Muslimah Media Centre
- com- Bom rakitan di SMAN 72 diduga dibawa oleh siswa yang kerap di “bullly”
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1483020/australia-kuat-kuasa-larangan-media-sosial-individu-bawah-16-tahun