[NF146] Pemerkasaan Wanita: Antara Perspektif Kapitalis dan Islam
Penulis: Hamimah Karmidi
Mukaddimah
Kerajaan Malaysia melancarkan Dasar Wanita Negara (DWN) 2025-2030 baru-baru ini, iaitu satu pelan jangka panjang yang menggariskan peranan strategik wanita dalam pembangunan negara. Dasar ini menekankan keterlibatan kaum wanita dalam tenaga kerja, kepimpinan, keusahawanan, dan perlindungan sosial di bawah slogan ‘pemerkasaan wanita’ demi merealisasikan kesetaraan gender dan kemajuan ekonomi. Namun persoalannya, adakah ‘pemerkasaan’ ini benar-benar membahagiakan wanita atau malah mengikat mereka pada sistem kapitalis dengan lebih ketat lagi?
Pemerkasaan dalam Perspektif Kapitalis
Menurut laporan statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2023 ialah 56.2%, berbanding lelaki yang mencecah 82.3%. Kerajaan turut menyasarkan peningkatan penyertaan buruh wanita sehingga 60%, selaras dengan hala tuju DWN 2025–2030. Inilah antara matlamat DWN iaitu memerah keringat wanita untuk bekerja.
Istilah ‘pemerkasaan wanita’ dalam sudut pandang kapitalis yang kini digemakan melalui dasar negara ini muncul daripada kerangka pemikiran sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan. Dalam sistem kapitalis, wanita bukan dilihat sebagai insan yang penuh potensi semata-mata, tetapi lebih sebagai tenaga buruh yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pemerkasaan wanita diarahkan kepada kemandirian wanita yang turut digambarkan sebagai kebebasan. Namun realitinya, janji kebebasan ini sering digunakan untuk mendorong wanita menyumbang kepada ekonomi negara, bukan sebagai insan yang mempunyai peranan paling penting dan mulia sebagai seorang pengurus rumah tangga.
Selain itu, fahaman ‘kemandirian wanita’ atau women’s independence sering dikemukakan sebagai jalan keluar daripada masalah ekonomi atau rumah tangga. Namun, dalam sistem kapitalis, kemandirian wanita sering dimanfaatkan demi keperluan ekonomi negara. Wanita didorong dan dikerah untuk bekerja, bukan semata-mata bagi menambah pendapatan demi kesejahteraan kehidupan keluarga, tetapi juga untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara yang sebenarnya hanya menguntungkan puak-puak kapitalis.
Oleh itu, pemerkasaan wanita dalam perspektif kapitalis menjadikan wanita yang bekerja bukan sahaja memikul beban ekonomi negara, malah turut memikul tanggungjawab berganda sebagai seorang pekerja di luar rumah dan pengurus rumah tangga. Sistem kapitalis yang diagungkan hari ini bukan membela hak wanita, tetapi menjadikan mereka alat ekonomi dalam satu perspektif yang melihat manusia berdasarkan nilai material dan tahap produktiviti.
Pemerkasaan dalam Perspektif Islam
Dalam Islam, pemerkasaan wanita tidak pernah dipisahkan daripada ruang lingkup masyarakat secara keseluruhan. Kedudukan wanita dan lelaki sama-sama dimuliakan dan peranan mereka saling melengkapi sesuai dengan tuntutan syarak. Islam tidak menolak penglibatan wanita dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk pendidikan, dakwah, sosial, dan kebajikan. Namun, segala peranan perlu selari dengan fitrah wanita dan ketetapan hukum syarak.
Pemerkasaan menurut syariat Islam menekankan keseimbangan antara peranan utama wanita Muslimah dalam keluarga sebagai ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) dan tanggungjawab serta sumbangan kepada masyarakat. Keseimbangan peranan ini memastikan wanita tidak terbeban dengan tuntutan yang bertentangan dengan fitrah mereka. Arah pemerkasaan wanita berfokus kepada usaha pemantapan ilmu agar mereka memahami sepenuhnya peranan mereka. Ini termasuk peranan utama sebagai pengurus rumah tangga, pendidik generasi penerus, dan sebagai anggota masyarakat yang aktif menyumbang kepada kebaikan serta pembangunan ummah.
Usaha pemerkasaan wanita dalam Islam bertujuan memperkukuh ilmu, akidah, dan kefahaman terhadap syariat, supaya Muslimah dapat menunaikan kewajipan dengan sebaik mungkin. Islam tidak hanya mengatur peranan wanita secara prinsip, tetapi turut memastikan bahawa peranan tersebut dapat direalisasikan secara praktikal melalui hukum-hukum yang jelas, selaras dengan fitrah wanita dan keperluan masyarakat.
Di samping itu, pemerkasaan wanita tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat secara keseluruhan. Wanita bukanlah individu yang terasing daripada lelaki tetapi keduanya saling melengkapi dan bergantung antara satu sama lain dalam menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat. Allah SWT menegaskan dalam firmanNya,
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain.” [TMQ At-Taubah (2): 71].
Langkah pertama dalam pemerkasaan menurut perspektif Islam ialah membina kesedaran dan pemahaman tsaqafah Islam dalam diri setiap individu. Lelaki dan wanita perlu dibimbing supaya berfikir dan bertindak berpandukan akidah Islam. Pemahaman ini bukan sekadar untuk mengetahui hukum atau prinsip, tetapi juga menjadi asas untuk menyikapi setiap realiti hidup dengan tepat, adil, dan berlandaskan aturan syarak. Dengan kefahaman yang betul, setiap Muslim dan Muslimah akan mampu membuat keputusan yang selari dengan nilai syariat serta mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan diri, keluarga, dan masyarakat.
Pembinaan tsaqafah Islam ini menghasilkan pemahaman Islam yang kukuh di tengah masyarakat. Pemahaman ini bukan sahaja membentuk individu yang berakhlak mulia, tetapi turut mempengaruhi perilaku dan tindakan mereka dalam kehidupan seharian. Muslimah yang berilmu dan bertaqwa akan terdorong untuk menyampaikan dakwah melalui amalan dan teladan, redha terhadap peraturan Allah dan RasulNya, serta sentiasa berusaha menegakkan syariat dalam masyarakat. Dengan cara ini, wanita bukan sahaja memperkasakan dirinya, tetapi turut menyumbang kepada pemerkasaan ummah secara menyeluruh.
Dalam konteks ini, pemerkasaan sebenar bukan hanya diukur melalui penyertaan wanita dalam pekerjaan ekonomi, kedudukan sosial, atau penglibatan politik. Sebaliknya, pemerkasaan diukur berdasarkan sejauh mana wanita memahami dan melaksanakan peranan yang ditetapkan Allah SWT, sama ada sebagai hamba yang taat, ibu yang mendidik, pembina generasi, atau anggota masyarakat yang menyumbang kepada kesejahteraan umum. Muslimah yang berperanan selaras dengan tuntutan syariat akan meraih kemuliaan yang sebenar, menemukan ketenangan jiwa, dan menjadi pendorong utama kepada terbentuknya keluarga serta masyarakat yang sejahtera.
Jadi pemerkasaan wanita dalam Islam memberi penekanan bahawa wanita yang berperanan dalam masyarakat tetap dihormati fitrahnya. Mereka tidak dipaksa menjadi tenaga buruh semata-mata untuk menyumbang kepada ekonomi, sebaliknya diberikan peluang untuk berkembang dalam bidang sosial, pendidikan, dan dakwah tanpa menyalahi fitrah. Wanita yang berilmu dan bertanggungjawab akan menjadi pemangkin pembangunan bagi masyarakat, pembina generasi yang berakhlak, serta pendukung dan penggerak dakwah. Dalam erti kata lain, Islam membebaskan wanita daripada bebanan material dan tekanan sosial yang tidak wajar, sebaliknya menempatkan mereka pada kedudukan yang mulia dan terhormat.
Khatimah
Kesimpulannya, pemerkasaan yang selayaknya bagi wanita adalah pemerkasaan yang bersifat menyeluruh, seimbang, dan berpandukan syariat. Wanita diperkasa bukan sebagai alat ekonomi atau tenaga buruh demi kepentingan sebelah pihak, tetapi sesuai dengan tujuan hidupnya di dunia sebagai manusia iaitu untuk menggapai redha Allah SWT semata-mata. Dengan sistem Islam yang menyeluruh, wanita mampu meraih kemuliaan, keluarga mencapai kesejahteraan, dan ummah menjadi kuat serta mampu menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi ini.
Rujukan:
–https://www.buletintv3.my/nasional/sidang-kemuncak-asean-2025-angkat-isu-pemerkasaan-wanita/
–https://www.sinarharian.com.my/article/716933/berita/nasional/dasar-wanita-negara-2025-2030
#NahdhahFikriyyah #WomenEmpowerment #IslamEmpowerWomen #PemerkasaanMuslimah