Ketika Cemburu Melanda
Penulis: Najmah Saiidah
Sering kita dengar ungkapan cemburu itu tandanya sayang atau cinta. Ada juga yang mengatakan cemburu adalah asam garam dalam alam perkahwinan.
Kalau tidak ada perasaan cemburu, seolah-olah kehidupan perkahwinan terasa hambar, seumpama tidak ada perasaan cinta lagi. Ini adalah kerana kebiasaannya perasaan cemburu terhasil daripada perasaan cinta dan sayang seseorang. Cemburu ini boleh dikatakan sebagai bentuk ketidaksukaan atau sebaliknya kebencian seseorang terhadap orang lain yang ingin ikut serta dalam haknya.
Cemburu sesungguhnya merupakan fitrah manusia yang boleh muncul bila-bila masa. Dalam sesebuah rumah tangga, berasa cemburu terhadap pasangan boleh dikatakan perkara itu wajar berlaku asalkan ianya tidak keterlaluan. Kadangkala, adanya perasaan ini juga dapat menumbuhkan sikap saling menjaga antara pasangan suami isteri. Dengan itu, hubungan pasangan suami isteri dalam rumah tangga menjadi semakin kukuh dan harmoni.
Cemburu dalam Pandangan Islam
Rasa cemburu akan muncul kerana adanya perasaan cinta. Semakin kuat rasa cinta seorang isteri terhadap suaminya, maka semakin kuat pula rasa cemburu di dalam hatinya. Dalam Islam, tidak semua cemburu dibolehkan dan tidak semuanya dilarang.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbali, Imam An-Nasa’i, dan Imam Abu Daud bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sungguh ada sifat cemburu yang disukai oleh Allah SWT iaitu sifat cemburu yang disertai dengan keraguan dan ada pula sifat cemburu yang sangat dibenci oleh Allah SWT, iaitu rasa cemburu yang tanpa disertai rasa keraguan lagi.”
Dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Atiq, Rasulullah SAW bersabda, “Kecemburuan itu ada yang disukai, dan ada yang dibenci Allah SWT. Di antara sikap membanggakan, ada yang disukai dan ada yang dibenci Allah. Adapun kecemburuan yang disukai Allah ialah cemburu dalam perkara yang mencurigakan (dengan bukti yang jelas). Adapun cemburu yang dibenci adalah cemburu yang tidak didasarkan dengan bukti yang jelas. Sikap membanggakan yang disukai Allah ialah seseorang yang membanggakan dirinya ketika berperang dan bersedekah, sedangkan sikap membanggakan yang dibenci Allah ialah sikap membanggakan dalam kebatilan.” [ HR Baihaqi]
Melalui hadis ini, jelas bahawa cemburu yang dibolehkan adalah cemburu yang berdasarkan data dan bukti yang nyata. Sementara itu, cemburu yang tidak dibolehkan adalah cemburu yang tidak didasarkan oleh bukti. Cemburu yang kedua ini berbahaya kerana boleh menimbulkan fitnah.
Cemburu di Kalangan Sahabat Rasulullah SAW
Rasa cemburu bukanlah sesuatu hal yang buruk dan patut dihilangkan atau ditolak. Namun, semua itu hendaklah berdasarkan kepada ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan dalam syariat. Para sahabat dan beberapa isteri Rasulullah SAW mengalaminya dan baginda tidak mencelanya. Ini bermaksud cemburu yang dibenarkan secara syarak.
Dalam sebuah riwayat menyebutkan, Sa’ad bin Ubadah mengatakan, “Seandainya aku melihat seorang lelaki sedang bersama isteriku, pasti aku akan pukul dia dengan sisi pedangku yang tajam!” Mendengar ucapannya Rasulullah SAW bersabda, “Tidak hairankah kalian terhadap kecemburuan Sa’ad? Sungguh aku lebih cemburu daripada Sa’ad, dan Allah SWT lebih cemburu lagi daripada aku.” [HR Bukhari]
Malah, isteri Rasulullah SAW juga mengalami hal ini. Sebuah riwayat menceritakan, “Suatu ketika, Rasulullah SAW berada di rumah salah seorang isteri baginda. Tiba-tiba isteri yang lain mengirim mangkuk berisi makanan. Melihat itu, isteri yang rumahnya kedatangan Rasulullah memukul tangan pelayan pembawa makanan tersebut, maka jatuhlah mangkuk tersebut dan pecah. Kemudian Rasulullah mengumpulkan kepingan-kepingan pecahan tersebut serta makanannya, sambil berkata,‘Ibumu sedang cemburu.’. Lalu Rasulullah SAW menyuruh pelayan itu untuk menunggu, kemudian baginda memberikan kepadanya mangkuk milik isteri yang sedang bersama beliau untuk diberikan kepada pemiliki mangkuk yang pecah. Mangkuk yang pecah itu baginda simpan di rumah isteri yang sedang bersama baginda.” [HR Al-Bukhari]
Ibnu Hajar menjelaskan tentang hadis ini, bahawa isteri Rasullulah SAW yang memecahkan mangkuk adalah Aisyah Ummul mukminin, sedangkan yang mengirim makanan adalah Zainab binti Jahsy.
Dalam beberapa hadis Rasullulah SAW yang lain, dalam beberapa kesempatan menunjukkan bahawa isteri Rasulullah SAW, Aisyah pernah cemburu kepada salah satu isteri Rasulullah SAW yang lain. Kecemburuan Aisyah pernah diungkapkan dalam sebuah riwayat, “Tidaklah aku cemburu kepada salah seorang isteri-isteri Rasulullah SAW sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Padahal aku belum pernah melihatnya” [HR Muslim]
Rasulullah SAW pernah bertanya pada isterinya, Aisyah, ”Apakah engkau pernah merasa cemburu?” Aisyah menjawab, “Bagaimana mungkin orang seperti diriku ini tidak merasa cemburu jika memiliki seorang suami seperti dirimu.” [HR Ahmad]
Dari Aisyah, “Aku tidak cemburu kepada seorang perempuan terhadap Rasulullah sebesar cemburuku kepada Khadijah sebab baginda selalu menyebut namanya dan memujinya.” [HR Bukhari]
Dalam hadis lain, “Ketika Rasulullah menyebut-nyebut kebaikan Khadijah, timbullah kecemburuan di hati Aisyah. Aisyah menceritakan, apabila Rasulullah. mengingati Khadijah, baginda selalu memujinya dengan pujian yang baik. Kemudian, pada suatu hari saya merasa cemburu hingga saya berkata kepada baginda, ‘Alangkah sering engkau mengingat perempuan yang hujung bibirnya telah memerah, padahal Allah telah menggantikan untuk engkau yang lebih baik darinya.’ Serta-merta Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah Azza Wa Jalla tidak pernah mengganti untukku yang lebih baik darinya, dia adalah perempuan yang beriman kepadaku pada saat manusia kafir kepadaku, dan dia membenarkanku pada saat manusia mendustakan diriku, dan dia juga membantuku dengan hartanya pada saat manusia menutup diri mereka dariku, dan Allah Azza Wa Jalla telah mengurniakan anak kepadaku dengannya ketika Allah tidak mengurniakan anak kepadaku dengan isteri-isteri yang lain.”[HR Ahmad]
Cemburu yang merupakan fitrah manusia, bersifat neutral dan tidak melampaui batas, agar dapat melindungi kewibawaan diri, kasih sayang dalam keluarga, serta menjaga daripada pencemaran imej dan sikap yang keterlaluan. Cemburu yang menunjukkan betapa sayang dan cinta tulus seseorang terhadap pasangannya, serta keinginan untuk menjauhi kehinaan, adalah bentuk cemburu yang dibenarkan dalam Islam, malah dianjurkan.
Cemburu seperti ini boleh dikatakan sebagai cemburu romantis, yang menunjukkan betapa dalamnya cinta seseorang terhadap pasangannya melalui sikap cemburu yang santun dan tidak berlebihan. Bahasa yang baik dan lembut dalam menyatakan rasa cemburu kadangkala mampu membahagiakan pasangan, terutamanya jika dia benar-benar layak untuk dicintai, dihargai, dan dirindui. Cemburu yang sedemikian memang dianjurkan dalam Islam.
Contoh Terbaik
Ketika rasa cemburu melanda pasangan suami isteri, sebaik mungkin berusaha untuk saling memahami antara satu sama lain. Misalnya, ketika isteri dilanda cemburu, seharusnya seorang suami berusaha memilih respon yang tepat, seperti memilih diam di saat isterinya sedang merungut, atau menenangkannya agar cemburunya reda, dan hatinya pasti kembali menjadi ceria.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberikan contoh teladan yang terbaik untuk kita semua. Marilah kita mengikuti sebagaimana akhlak Rasulullah SAW yang menghadapi Aisyah saat dia memecahkan pinggan makanan yang dikirim oleh Zainab binti Jahsy kerana ketika itu, Aisyah marah kerana cemburu.
Rasulullah SAW tidak marah, malah baginda memaklumi dan membela Aisyah RA dengan bersabda,
غَارَتْ أُمُّكُمْ
“Ibu kamu (Aisyah) sedang cemburu.” [HR Bukhari]
Lalu Rasulullah SAW membersihkan pecahan pinggan dan makanannya, kemudian menggantinya dengan pinggan yang baru.
Rasulullah SAW pun pernah menasihati salah seorang sahabat yang cemburu kepada isterinya sehingga dia curiga terhadap isterinya tersebut. Pada ketika itu sahabat mecurigai sehingga meragui anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai anaknya. Untuk menutup pintu kecurigaan tersebut, Rasulullah SAW mengajak sahabat tersebut berbual.
Marilah kita menyelami isi dialog di antara mereka,
“Isteriku melahirkan anak lelaki berkulit hitam dan aku tidak mengakuinya sebagai anakku,” kata lelaki itu seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.
“Apakah engkau memiliki seekor unta?” tanya Rasulullah SAW.
“Ya.”
“Jadi apa warnanya?”
“Merah.”
“Mungkinkah di antara mereka ada yang berwarna putih?”
“Ya, ada yang berwarna putih.”
“Bagaimana itu boleh terjadi?”
“Wahai Rasulullah, itu terjadi kerana faktor keturunan yang jauh.”
“Boleh jadi anakmu berkulit hitam kerana faktor keturunan yang jauh seperti itu.” Jawapan Rasulullah SAW ini membuat lelaki tersebut berfikir. Lalu Rasulullah tidak mengizinkannya menolak mengakui anak tersebut.
Dalam peristiwa yang lain, Rasulullah SAW juga memberi solusi untuk sahabat ketika diliputi kecurigaan terhadap isterinya.
Saat Perang Khandaq, ada seorang pemuda yang masih tergolong sebagai pengantin baru, Dia sering meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk pulang. Rasulullah SAW mengizinkannya untuk pulang pada siang hari sambil membawa senjata kerana baginda khawatir Bani Quraizhah boleh menyerangnya. Bila sampai di rumahnya, dia terkejut isterinya berada di luar rumah, dia mahu marah dengan mengisyaratkan tombaknya. “Pegang tombakmu, masuklah ke dalam rumah agar engkau tahu apa yang terjadi,” kata isterinya. Ternyata ada seekor ular besar sedang berlingkar di tempat tidur isterinya. Lalu pemuda itu melemparkan tombaknya ke arah ular tersebut. Mujurlah dia tidak jadi memarahi isterinya kerana rasa curiga.
Demikianlah Rasulullah SAW menyedarkan umatnya, jangan sampai kecemburuan membawa kepada kecurigaan tanpa alasan. Terkadang curiga itu timbul kerana lintasan-lintasan yang meragukan, yang jika diselidiki dengan lebih dalam dan
diuji berdasarkan kebenaran, ia sebenarnya tidak memiliki alasan cukup kukuh untuk dipertahankan. Tidak ada bukti, tidak ada yang dapat meyakinkan tuduhan-tuduhan itu. Hanya keraguan yang tidak berasas. Rasulullah SAW ingin menghilangkan keraguan-keraguan itu dalam rumah tangga umatnya. Rumah tangga semestinya harus dibangun dengan rasa saling percaya mempercayai, hanya dengannya keluarga sakinah mawadah wa rahmah akan tetap terjaga. Wallahu’alam bissawab.