Menyembuhkan Hati yang Sakit
Hati manusia, kata Ibn al-Qayyim al-Jauziyah, bagi tubuh adalah ibarat raja dengan tenteranya. Semua perintah kepada anggota badan bersumber daripada hati. Sebagaimana semua perintah bagi tentera bersumber daripada Raja.
Maka, memberi perhatian kepada kesihatan dan kesembuhan hati lebih penting, berbanding yang lain. Di sinilah tempat syaitan bersarang. Tidak ada yang selamat, kecuali orang yang selalu meminta pertolongan kepada Allah dan menjauhi sebab-sebab sakitnya.
Hati manusia ibarat badan. Ia boleh menjadi sihat dan sakit. Hati yang sihat, seperti badan yang sihat dan mempunyai daya tahan (imuniti), kebal terhadap virus. Sebaliknya, hati yang sakit, seperti badan dengan imuniti rendah, boleh diserang oleh virus yang lemah sekalipun.
Maka, hati mesti sentiasa kuat dan sihat, melalui apa? Iman dan ketaatan. Ia juga mesti dijauhkan daripada pelbagai dosa dan maksiat, serta penyelewengan, atau dibersihkan daripada segala yang memudaratkan, dengan cara bertaubat dan memohon ampunan daripada semua kesalahan
Penyakit hati ada yang boleh dihilangkan dengan ubat semulajadi, dan syarie. Sedih, marah, gelisah, contohnya, boleh diubati secara alami dengan menghilangkan sebabnya. Tetapi, ada penyakit yang akibatnya tidak dirasakan seketika, seperti kebodohan, syubhat, ragu dan penyakit syahwat.
Orang bodoh, ubatnya ialah belajar dan ilmu. Tetapi, kadang-kadang walaupun sudah belajar dan mendapat ilmu, ilmunya tidak sesuai dengan keperluannya, kerana itu penderitaannya tidak pernah berakhir. Begitu juga dengan penyakit syahwat, ragu dan syubhat. Tidak sembuh secara automatik, dengan meminum ubatnya. Kerana ubat itu belum tentu sesuai
Di sinilah, solusi atau ubat syarie yang diperlukan, dengan jenis dan sukatan yang tepat. Maka, keimanan, keyakinan dan kebersihan hati menjadi kunci ubat mujarab bagi hati yang sakit.
Oleh itu, para ulama menjelaskan, bahawa ilmu tauhid, fiqih, akhlak dan tasawwuf itu adalah ilmu maqasid, menjadi tujuan, kerana inilah yang akan menjadi ubat bagi hati-hati yang sakit agar sembuh dan kuat.
Sumber:
#UbatHati #PenyakitHati