[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 3
Masalah 2 : Tidak mahu mengabaikan kesalahan kecil pasangan.
Sebagai manusia, kita tak terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan. Kecil mahupun besar. Namun, ada pasangan suami atau isteri, yang sukar memberikan maaf walaupun dalam hal-hal yang kecil. Malah ada hal kecil yang menjadi besar sehingga berakibat kepada perceraian. Bagaimana suami atau isteri muslim sewajarnya menanggapi kesilapan kecil dari pasangannya?
Refleksi:
Ada satu peristiwa dalam al-Quran yang boleh kita renungkan.
Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: “Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ” Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi)”. [TMQ at-Tahrim (66): 3]
Dalam ayat ini, Allah SWT mengingatkan tentang sebuah peristiwa yang dialami Nabi SAW, iaitu ketika beliau meminta kepada isterinya Hafshah agar merahsiakan dan tidak memberitahukan siapa pun bahawa dia pernah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy. Namun, setelah Hafshah menyampaikan hal itu kepada ‘Aisyah, Allah pun memberitahu Nabi mengenai percakapan keduanya. Lalu Nabi SAW pun menegur Hafshah atas tindakannya yang telah menyebarkan rahsia beliau.
Berdasarkan hal ini, kita diajar supaya belajar berlapang dada dan tidak terlalu memperbesarkan kesalahan pasangan, selagimana ia tidak menyentuh perkara-perkara yang merosakkan agama.
Misalnya, seorang suami apabila mendapati isterinya melakukan kesilapan, hendaklah menegurnya terlebih dahulu dengan bijaksana tanpa marah-marah, menyindir, bersikap kasar, apatah lagi sehingga menjatuhkan maruah si isteri. Dan jika perkara lebih ringan, seperti ada urusan rumah semisal isteri terlupa menyidai kain yang dibasuh, suami juga boleh memilih mendiamkan lalu dia sendiri membantu isteri menyelesaikan urusan rumah tersebut.
Namun, jika kesalahan itu berkaitan dengan urusan agama, maka suami tidak boleh meremehkannya. Dia perlu menegur dan meluruskan kesalahan tersebut. Namun, tetap saja, teguran itu mestilah dilakukan dengan cara bimbingan, yang masih menitikberatkan rasa kasih sayang, lemah lembut dan akhlak mulia. Perbuatan meluruskan kesalahan ini tidak boleh dilakukan dengan bersikap menghukum di luar ketetapan syarak, atau dengan kekerasan.
Sikap mudah memaafkan, saling menasihati dan menegur secara makruf akan membantu pasangan suami isteri menjaga hubungan dari konflik dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik. Ini juga akan menjadikan pasangan saling menghormati dan mementingkan keharmonian dalam rumah tangga.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim