[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 6
Masalah 5 : Menghina dan merendahkan pasangan.
Terdapat suami yang tidak segan menghina dan merendahkan isterinya di hadapan anak-anak atau keluarganya. Bahkan sebahagiannya menganggap itu sebagai perbuatan biasa bagi menunjukkan bahawa kedudukan suami lebih superior dengan anggapan bahawa perbuatan tersebut bukti kejantanan suami.
Refleksi:
Nabi SAW ketika baginda ditanya mengenai kewajipan suami kepada isteri oleh Mu’awiyah Al Qusyairi, baginda bersabda: “Dan janganlah engkau memukul isterimu di wajahnya, dan jangan pula menjelik-jelikkannya serta jangan melakukan hajr selain di rumah” (HR. Abu Daud)
Sekiranya seorang suami ingin menegur atau menasihati isterinya, maka hendaklah ia dilakukan secara tertutup, jauh daripada pandangan dan pendengaran orang lain. Hal ini penting agar perasaan isteri tidak tercalar dan maruahnya tetap terjaga. Seorang suami juga perlu menyedari bahawa maruah isterinya adalah maruah dirinya sendiri. Justeru, dia bertanggungjawab menjaga perasaan serta kehormatan isterinya di hadapan orang lain, khususnya di hadapan anak-anak, supaya kewibawaannya sebagai ketua keluarga tidak tercalar. Sesungguhnya, apabila maruah seorang isteri direndahkan, maka pada hakikatnya kewibawaan suami sebagai pemimpin dan pendidik rumah tangga turut hilang. Selain itu, suami juga perlu sentiasa mengingati bahawa seorang suami atau ayah dituntun oleh Rasulullah SAW agar berakhlak baik kepada keluarganya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim