[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 7
Masalah 6 : Membebankan pasangan dengan hal-hal di luar kemampuannya
Ada suami yang meletakkan beban tidak wajar ke atas isterinya dengan permintaan yang mustahil dipenuhi. Contohnya, ada yang menghendaki isteri hanya melahirkan anak perempuan, dan jika gagal, dia mengugut untuk menceraikan. Ada juga yang menuntut kelahiran anak lelaki semata-mata. Bahkan, ada suami yang sampai hati mencela atau menghina isterinya hanya kerana kehamilan dan kelahiran yang berlaku di luar kawalannya.
Refleksi:
Terkait permasalahan ini, firman Allah SWT berikut wajar dijadikan renungan:
“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” [TMQ Asy-Syura (42): 49-50)
Zuriat merupakan anugerah daripada Allah SWT, dan tidak ada seorang pun manusia yang mampu menentukannya. Begitu juga dengan segala perkara yang berada di luar batas kemampuan manusia, ia tidak wajar dipaksakan atau dijadikan alasan untuk menyalahkan pasangan. Justeru, setiap pasangan perlu memahami tujuan perkahwinan serta memiliki kejelasan tentang matlamat hidup manusia, agar tidak melampaui batas dalam meletakkan harapan kepada sesama makhluk. Hal ini termasuklah dalam soal zuriat.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim