Meringankan Beban Perbelanjaan Suami Akan Membawa Kepada Kebaikan
Penulis: Najmah Saiidah
Sesungguhnya, Islam sebagai ad-din yang sempurna telah memberikan panduan yang sangat lengkap dalam seluruh aspek kehidupan, bahkan hingga hal yang sekecil-kecilnya, termasuk yang berkaitan dengan pengurusan harta. Islam memerintahkan keluarga Muslim untuk mengurus kewangan agar tidak terjebak kepada perbelanjaan yang diharamkan atau tidak disukai oleh Allah SWT.
Pada dasarnya, Allah tidak melarang kita untuk menikmati rezeki yang telah Allah anugerahkan. FirmanNya, “Katakanlah siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah Dia keluarkan untuk hamba-hambaNya, juga rezekiNya yang baik-baik.” [TQM Al-A’raf (7): 32].
Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Abdullah bin Amr RA bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah suka untuk melihat tanda-tanda kenikmatanNya pada hambaNya.”
Allah suka apabila hambaNya menikmati nikmat dan rezekiNya yang baik-baik, yang telah Allah anugerahkan kepadanya. Sebagai bukti bahawa kita menikmati nikmat dan rezekiNya, maka kita perlu berusaha untuk membelanjakan rezeki yang Allah berikan di jalan yang halal dan dengan sebaik-baiknya agar tidak akan membebankan suami kerana ketidakcekapan dalam menguruskan wang belanja.
Memberikan Kebaikan
Meringankan beban belanja suami bukanlah bermaksud bahawa seorang isteri mesti bekerja. Ini kerana mencari nafkah untuk memenuhi keperluan keluarga adalah kewajipan suami atau ayah. Namun begitu, maksud sebenar adalah seorang isteri hendaklah menerima dengan ikhlas nafkah yang diberikan suami yang telah berusaha sebaik mungkin mencari nafkah, seterusnya berusaha menguruskannya dengan baik. Akan tetapi, jika seorang isteri ingin bekerja, Islam tidak melarangnya, selagi suami mengizinkan, menjaga kehormatan diri, dan tidak mengabaikan tangungjawabnya sebagai ummun wa rabbatul bait.
Ajaran Islam menganjurkan isteri untuk tidak memaksa suami memberikan wang belanja yang melebihi kemampuan kewangan suami. Isteri hendaklah selalu bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh suaminya kepadanya. Namun begitu, suami juga perlu berusaha mencukupkan keperluan keluarga semampunya.
Apa yang tidak dibenarkan adalah menuntut sesuatu yang diluar kemampuan suami, terutamanya untuk keperluan sia-sia, bukan keperluan asas. Oleh itu, seorang isteri mestilah pandai menguruskan kewangan keluarga agar cukup dan tidak sampai membawa kepada kekurangan.
Sebenarnya, tanggungjawab memberi nafkah dalam keluarga terletak di bahu suami. Allah SWT berfirman, “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka…” [TQM An-Nisa’ (4): 34].
Meskipun terdapat pahala isteri yang membantu suami mencari nafkah, suami tidak boleh lepas tangan begitu sahaja apabila melihat isterinya turut membantu dalam mencari nafkah. Suami juga tidak boleh kedekut atau berkira untuk terus menafkahi keluarga meskipun pendapatan isteri lebih tinggi.
Harta yang diperolehi dari pekerjaan isteri adalah hak mutlak milik isteri. Dan jika ia digunakan untuk menafkahi suami serta anak-anak, hal tersebut termasuk sedekah dan perbuatan yang mulia.
“Apabila seorang muslim memberikan nafkah kepada keluarganya dan dia mengharap pahala darinya, maka itu bernilai sedekah.” [HR Bukhari].
Cara Isteri Menguruskan Harta Suami
Memang bukan mudah menguruskan perbelanjaan keluarga, apatah lagi dalam sistem sekular kapitalis yang mencengkam negara ini sehingga harga barang keperluan asas semakin membebankan. Namun begitu, keistimewaannya, Allah SWT telah memberikan panduan yang sangat terperinci dan mengutus manusia pilihan (Rasulullah SAW) sebagai teladan bagi kita. Kita tinggal menjalankannya.
Namun begitu, kita hendaklah berhati-hati dalam menguruskan harta yang diberikan oleh suami kepada kita. Dengan cara ini, kita boleh meringankan beban perbelanjaan suami, tentunya dengan sentiasa memperhatikan panduan syariat.
Terdapat beberapa perkara yang mesti kita ingat agar dapat meringankanbeban belanja suami, antaranya;
- Memahami dan menyakini bahawa rezeki adalah ketetapan Allah SWT
Pengurusan perbelanjaan keluarga muslim mestilah berlandaskan prinsip keyakinan bahawa pemberi rezeki adalah Allah SWT. Tugas manusia adalah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan keluarga agar dapat menunaikan semua tanggungjawab.
Suami hendaklah mempunyai komitmen untuk mencari rezeki yang halal yang akan membawa berkah dan menjauhi sumber rezeki haram yang akan membawa petaka. Allah telah menetapkan rezeki untuk hambaNya dan tidak akan pernah tertukar. Allah berfirman,
وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ
“Dan jika Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambaNya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya lagi Maha Melihat.” [TQM Asy-Syuraa(42): 27].
Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan, “Allah memberi rezeki kepada mereka sesuai dengan pilihanNya dan Allah selalu melihat manakah yang paling sesuai/baik untuk mereka. Sudah tentu Allah yang lebih mengetahui yang terbaik untuk mereka. Allah-lah yang memberikan kekayaan bagi mereka yang Dia nilai layak menerimanya. Dan Allah-lah yang memberikan kefakiran bagi mereka yang Dia nilai layak menerimanya.”
- Memahami bahawa wang belanja yang diberikan suami adalah amanah yang perlu dijaga
Ketika kita membelanjakan harta untuk keperluan apa pun dari pemberian suami, baik untuk hal mubah (harus) atau untuk hal sunah dan wajib, niatkanlah semata-mata kerana mengharapkan redha Allah SWT dan sebagai tanda mensyukuri nikmat yang telah diberikan Allah SWT. Oleh kerana itu, sudah seharusnya sebagai isteri kita perlu membelanjakannya sesuai denagn izin suami kerana ia merupakan amanah. Jika kita sentiasa mengingati hal ini, maka tentu sahaja kita akan berhati-hati membelanjakan harta tersebut.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda. “Sebaik-baik wanita ialah jika kau pandang dia menyenangkanmu, jika kau perintah dia mentaatimu, jika kau tinggalkan dia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya.” [HR Ahmad dan An-Nasa’i].
Abu Umamah al-Bahili RA mengatakan, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, dalam khutbahnya saat Haji Wada’, ‘Janganlah seorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya kecuali dengan izin suaminya.’ Ditanyakan (kepadanya), ‘Wahai Rasulullah, begitu juga dengan makanan?’ Baginda menjawab, ‘Itu adalah sebaik-baik harta kita.’”
- Mengutamakan menunaikan kewajipam
Sudah seharusnya keluarga Muslim membelanjakan harta untuk perkara yang mubah (harus) atau untuk ketaatan, dan bukan dijalan yang diharamkan. Dan penting pula disusun sesuai mengikut skala kepentingan sebagaimana tuntutan syariat. Antara lain, mendahului keperluan yang wajib, seperti keperluan asas daripada yang sunah atau yang mubah.
Dalam sistem sekular kapitalisme, tidak ada yang percuma. Keperluan-keperluan asas yang seharusnya menjadi kewajipan negara untuk memenuhinya, dibebankan kepada rakyat. Sehingga rakyat dibebankan dengan kos-kos yang bukan sedikit, setiap bulan kita dituntut untuk membayar elektrik, air, yuran sekolah anak, malah ada sebahagian kita yang perlu membayar khidmat keselamatan kerana negara tidak menjaminnya.
Demikian halnya dengan pelbagai akad-akad yang sudah kita lakukan, hendak atau tidak kita harus memenuhi kerana ia merupakan kewajiban memenuhi akad sebagaimana firman Allah dalam QS Al-Maidah ayat 1, “Yaa ayyuhalladziina aamanu aufuu bil ‘uquud (Hai orang-orang beriman penuhilah akad-akad kalian).” Dengan demikian, menjadi kewajipan kita untuk menunaikannya.
- Jangan berbelanja melebihi pendapatan
Islam telah menetapkan tanggungjawab kepada ayah untuk mencari nafkah yang halal bagi anggota keluarganya, sedangkan ibu bertugas membantu ayah mengatur pendapatan dan tidak boleh membebaninya diluar kemampuannya. Seorang ibu seharusnya dapat mengatur pengeluaran rumah tangganya sebijak mungkin, sesuai dengan keperluan sehingga terhindar dari idhaa’atul maal, iaitu mensia-siakan harta. Abu Bakar RA pernah berkata, “Aku membenci penghuni rumah tangga yang membelanjakan atau menghabiskan bekalan untuk beberapa hari dalam satu hari saja.”
- Berjimat dan bersederhana
Dalam keadaan lapang atau tidak, selayaknya seorang isteri mampu menjimatkan harta yang diberikan oleh suaminya dan menerapkan gaya hidup sederhana. Isteri perlu menahan diri dari membelanjakan harta untuk hal-hal yang kurang penting, apatah lagi hanya untuk memenuhi keinginannya.
Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah) untuk saat-saat dia memerlukannya nanti.” [HR Ahmad].
“Tidak akan miskin orang yang berjimat dalam pengeluaran.” [HR Ahmad].
- Membantu pendapatan keluarga
Tidak dapat dinafikan, keadaan ekonomi keluarga tidak selalu berada pada situasi yang baik, realitinya banyak ayah menghasilkan pendapatan yang kurang, bahkan ada yang kehilangan pekerjaan seperti yang terjadi pada masa pandemik. Sesungguhnya Islam tidah melarang para isteri bekerja atau berniaga untuk membantu suami, selagi suaminya mengizinkan dan tidak mengabaikan kewajipan utamanya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) serta kewajipan-kewajipan lain. Hanya sahaja, isteri tetap berkewajipan mendorong dan memotivasi suaminya untuk mencari nafkah atau berusaha bersama dan saling membantu dalam berniaga.
- Mengasingkan untuk simpanan dan bersedekah
Adalah satu amalan yang baik jika isteri dapat mengasingkan wang yang diberikan oleh suami untuk penyimpanan
dan bersedekah. Rasulullah SAW bersabda, “Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih (setelah memberi nafkah) untuk saat-saat dia memerlukannya nanti.” [HR Ahmad].
Khatimah
Demikianlah betapa terperincinya Islam mengarahkan kita, para isteri agar dapat mengurus pembelanjaan harta sehingga wang belanja yang diberikan suami tidak hanya boleh mencukupi keperluan keluarga, tetapi juga memberikan kebaikan dan keberkatan untuk anggota keluarga.
Sudah sepatutnya seorang isteri pandai mengatur kewangan kerana dengan ini kita boleh meringankan beban perbelanjaan suami. Semoga ini akan menjadi ladang pahala untuk kita dan memberikan kebaikan untuk keluarga kita. Amin. Wallahu’alam bissawab.