[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 1/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sebelum mengetahui hukum-hukum syarak untuk mengemban dakwah melangsungkan kehidupan Islam, tidak boleh tidak kita hendaklah mengetahui dua perkara secara mendalam.
Pertama, fakta hukum (manathul hukmi), iaitu realiti yang kita hendak mengetahui hukum asy-Syarik pada realiti itu.
Kedua, adalah nas-nas syarak yang terkait dengan realiti tersebut.
- Fakta hukum, iaitu kehidupan kita saat ini.
Sesungguhnya fuqaha telah menyebut negara (dar) yang penduduknya hidup secara Islami dengan sebutan negara Islam. Adapun negara yang penduduknya tidak hidup secara Islami disebut negara kufur atau negara yang diperangi (darul kufrin/darul harbin). Fuqaha telah menjelaskan bahawasanya negara Islam adalah negara yang Islam ada di dalamnya secara nyata, baik negara itu kecil seperti Madinah al-Munawwarah atau negara itu luas seperti Negara Islam pada masa Abbasiyah atau Uthmaniyah.
Islam tidak wujud secara nyata, kecuali apabila hukum-hukumnya diterapkan kepada rakyat dalam semua urusan kehidupan, seperti hukum-hukum muamalah, hukuman (uqubat), politik luar negeri, dan lain-lain. Penerapan Islam secara universal dan menyeluruh di dalam dan luar negeri tidak akan terealisasi, kecuali apabila keamanan negara Islam diterapkan di dalamnya dengan keamanan kaum Muslim.
Jika tidak, bagaimana mungkin penerapan Islam tanpa kekuatan dan kekuasaan kaum Muslim dapat terbayangkan? Sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu milik umat. Umatlah yang mengangkat penguasa dan membaiatnya dengan apa yang telah Allah SWT turunkan.
Umat mengkritik penguasa atas dasar itu. Umat bersama penguasa memerangi orang-orang yang melakukan kezaliman terhadap kewujudan negara dan ideologinya. Umat bersama penguasa mengemban ideologi kepada umat-umat dan bangsa-bangsa lain.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Imam (khalifah) itu sebagai perisai, (mereka) berperang dari belakangnya dan (mereka) berlindung dengannya.”
Termasuk ucapan yang diwariskan secara berturut-turut adalah, “Sesungguhnya Allah mencegah (serangan musuh) dengan kekuasaan yang tidak mencegah(nya) dengan Al-Quran.”
Tegasnya, sebuah negara tidak menjadi negara Islam, kecuali dengan dua perkara. Pertama, negara itu beserta penduduk di dalamnya tunduk kepada hukum-hukum Islam dalam semua urusan kehidupan. Kedua, keamanan negara itu beserta keamanan penduduknya mestilah di tangan keamanan kaum Muslim.
Apabila dua perkara itu terpenuhi secara bersamaan dalam sebuah negara, maka negara itu menjadi Darul Islam (negara Islam). Namun apabila salah satunya tidak terpenuhi, maka tidak menjadi Darul Islam, tetapi hanya menjadi Darul Kufri (negara kufur), walaupun semua penduduknya adalah kaum Muslim.
Sifat untuk sebuah negara diambil dari dalil-dalil syarak. Allah SWT berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di antara kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka para khalifah yang berkuasa di bumi, sebagaimana orang-orang sebelum mereka menjadi khalifah yang berkuasa, mengukuhkan agama mereka yang Allah redhai untuk mereka, dan mengganti ketakutan mereka dengan rasa aman.” [TMQ An-Nur (24): 55].
Mengukuhkan agama adalah dengan menerapkannya dan menjadikan kedaulatan agama pada masyarakat. Sedangkan rasa aman yang merata pada mereka adalah rasa aman yang diberikan kepada rakyat dengan kekuatan daripada rakyat (bukan daripada orang-orang kafir seperti halnya di Saudi Arabia). Sifat Darul Islam ada setelah menegakkan Negara Islam di Madinah al-Munawwarah dalam surat yang dibuat oleh Rasulullah SAW antara kaum Muslim dan kaum Musyrikin, serta orang Yahudi yang tinggal di pinggiran Madinah.
Di antara isi surat itu adalah, “Dan bahawa sesungguhnya apa saja yang terjadi di antara ahli surat ini dan suatu peristiwa atau perlindungan yang takut terjejas, maka dikembalikan kepada Allah dan Rasul-Nya. …”
Dengan demikian, hukum dalam negeri itu hanya milik Islam. Dalam surat itu juga tertulis, “Dan sesungguhnya orang Quraisy tidak mendapat perlindungan dan tidak pula orang yang menolong mereka, dan bahawa di antara mereka (ahli surat) ada pertolongan atas orang yang menyerang Yathrib (Madinah).”
Demikianlah, keamanan Yathrib dengan keamanan kaum Muslim dan dengan keamanan orang-orang yang tunduk kepada hukum Islam daripada orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Telah datang pada hadis mulia yang telah diriwayatkan oleh Mahkul, dia berkata, “Tidaklah Rasulullah SAW membahagi-bahagi harta rampasan perang, kecuali di Darul Islam.”
Pada hadis ini terdapat dalil bahawa sesungguhnya dar itu ada dua jenis, iaitu dar Islam dan dar selain Islam (dar harb atau dar kufur). Dar (negara) yang disifati dengan Islam itu bukan kerana zat atau penduduknya, tetapi hanya kerana hukum dan keamanannya. Keduanyalah yang menampakkan Islam pada sesebuah negeri, walaupun majoriti penduduknya terdiri daripada non-Muslim. Hal ini seperti yang terjadi pada negeri-negeri taklukan Islam kerana ketundukkan sesebuah negeri beserta penduduknya hanya kepada hukum Islam.
Adapun keamanan daripada kaum Muslim, ini merupakan tanda (amarah) bahawasanya negeri itu telah menjadi bahagian dari Darul Islam. Begitu juga apabila orang-orang kafir berjaya menduduki sebuah negeri dari Darul Islam, maka negeri itu menjadi dar kufur walaupun penduduknya terdiri dari kaum Muslim yang menerapkan sebahagian hukum-hukum Islam. Ini disebabkan keamanan beserta hukumnya telah dimiliki oleh orang-orang kafir, tidak dimiliki oleh kaum Muslim.
Berdasarkan sifat dar secara syarie di atas, negeri-negeri kaum Muslim pada hari ini semuanya merupakan dar kufur. Sebab tidak ada yang menerapkan hukum Islam secara keseluruhan, walaupun keamanan sebahagiannya berada di tangan kaum Muslim. Begitu juga walaupun sebahagiannya menerapkan sebahagian hukum-hukum Islam, seperti hukum-hukum pernikahan atau hukuman-hukuman lain.
Sesungguhnya yang diperhatikan (ibrah) itu bukan dengan menerapkan sebahagian hukum-hukum syarak dan tidak pula dengan pernyataan bahawa sesungguhnya agama negara adalah Islam atau bahawa Islam itulah yang menjadi sumber utama untuk menetapkan undang-undang dalam negara. Sesungguhnya yang diperhatikan hanya dengan menjadikan Islam untuk menghukumi semua urusan kehidupan dari sisi akidah Islam. Dengan demikian, Islam menjadi asas tunggal bagi setiap permasalahan dalam negara, seperti idea-idea, sistem-sistem, dan pemahaman-pemahaman.
Oleh kerana itu, segala sesuatu hendaklah memancar daripada akidah atau dibangun atas akidah. Tidak halal bagi penguasa untuk menerapkan, walaupun hanya satu hukum yang tidak memancar daripada akidah itu. Allah SWT berfirman, “Dan jalankanlah hukum di antara mereka dengan hukum yang telah diturunkan Allah.”
Juga firman-Nya, “Dan siapa saja mencari agama selain Islam, maka agama itu tidak akan pernah diterima darinya.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.