Hakikat Bahagia adalah Takwa – Shahirah
Oleh: Aliya ab Aziz
Aktivis Muslimah Malaysia, Shahirah Shafaruddin, mengungkapkan bahawa hakikat bahagia sebenar adalah apabila kita bertakwa.
“Bahagia yang hakiki itu sebenarnya bukan terletak pada banyaknya harta. Tapi orang yang betul-betul bahagia adalah orang yang bertakwa. Itulah hakikat bahagia yang sebenar,” katanya dalam siri Open Circle Siri Baiti Jannati bertajuk `Mengukir Bahagia Dalam Keluarga’, Sabtu (2/8/2025).
Beliau menyatakan, “Nilai kebahagiaan ini, kalau kita tengok gambaran kebaikan atau kebahagiaan di dunia, antaranya kita dapat pasangan yang soleh, rumah yang selesa, dan sahabat yang baik. Kalau pula kita tengok gambaran kebaikan atau kebahagiaan di akhirat, ia adalah apabila kita dapat masuk syurga, dipermudahkan hisab, dan selamat daripada ketakutan yang besar di padang mahsyar. Itulah nilai kebahagiaan yang boleh kita jadikan ukuran”.
Menurutnya, laporan Indeks Kebahagiaan Dunia 2025 menempatkan Malaysia di tangga ke-64 daripada 147 negara, turun daripada kedudukan ke-59 tahun sebelumnya.
“Kalau kita tengok indeks kebahagiaan yang dijalankan ini, dia mengambil kira beberapa faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk. Antaranya ialah sokongan sosial, pendapatan, kebebasan, kesihatan, dan juga persepsi individu terhadap rasuah,” katanya yang kemudiannya menyifatkan ukuran ini tidak mencerminkan kebahagiaan sebenar kerana berpaksikan nilai ukuran kapitalisme.
Lebih membimbangkan, Shahirah turut mengungkapkan statistik yang menunjukkan perceraian di Malaysia terus meningkat, khususnya dalam kalangan pasangan muda dengan usia perkahwinan di bawah 10 tahun, yang mana punca utama termasuk tiadanya persefahaman, keganasan rumah tangga, serta masalah kewangan.
Berdasarkan data 2023, beliau menjelaskan, “Kadar perceraian tertinggi dicatatkan bagi lelaki berusia 35–39 tahun dan wanita 30–34 tahun.”
Dalam konteks wanita milenial pula, beliau menyorot realiti beban berganda yang perlu ditanggung oleh para wanita hari ini yang menjadi cabaran dan hambatan bagi para wanita milenial mengejar kebahagiaan hidup. Setidaknya ada empat realiti beban berganda yang ditanggung wanita milenial hari ini:
1. Cabaran menyeimbangkan dua kerjaya dalam hidupnya.
“Mereka terpaksa, saya katakan terpaksa, seimbangkan antara kerjaya dan juga urusan rumah tangga. Wanita bukan sahaja perlu memenuhi tuntutan kerja, siapkan tugasan, capai prestasi yang ditetapkan, tapi dalam masa sama mereka juga perlu uruskan rumah tangga; jaga anak-anak, sediakan makanan, pastikan rumah kemas, jaga kebajikan keluarga. Jadi beban kerja yang berganda ini sebenarnya memberi tekanan tinggi dan keletihan,” ujarnya memperincikan hal ini menyumbang kepada tekanan mental serta fizikal wanita.
2. Kos sara hidup tinggi dan keciciran peranan di rumah.
Shahirah mengatakan bahawa fokus ibu bapa terhadap keperluan ekonomi hari ini telah merenggut masa berkualiti dengan anak-anak di rumah.
“Kalau kita tengok sekarang, gaji pula tak sepadan dengan kos sara hidup. Suami isteri terpaksa kerja lebih masa, buat OT, malah ada yang buat dua atau tiga kerja sehari semata-mata nak tampung kos hidup,” katanya.
3. Kelemahan sistem sokongan berkesan dari negara.
Shahirah turut menyingkap realiti membesarkan anak-anak memerlukan kos besar. Oleh itu, ramai pasangan membuat perancangan sebelum menambah anak kerana sistem sokongan masih tidak cukup membantu institusi keluarga hari ini.
“Selain itu, ada pula cabaran besar dalam kos penjagaan anak dan pendidikan. Anak memang amanah, rezeki, tapi dalam sistem hari ini yang tidak memberi sokongan menyeluruh, ibu bapa terpaksa merancang dengan teliti bila nak ada anak. Kenapa? Sebab sebaik saja anak lahir, ibu bapa akan fikir, “Lepas habis cuti pantang, siapa nak jaga? Nak hantar ke mana?” Semua tu melibatkan kos bulanan, tahunan, dari bayi bawah 2 tahun, ke prasekolah, tadika, sekolah rendah, hingga universiti. Walaupun ada sekolah kerajaan percuma, tetap ada kos tambahan macam yuran, kelengkapan sekolah, persediaan lain. Bayangkan kalau ada tiga, empat orang anak yang belajar serentak. Itu memang realiti pahit yang perlu ditelan,” ujarnya dilema.
4. Kekurangan sokongan daripada keluarga sendiri
Ibu berkerjaya ini juga menegaskan, sokongan pasangan dan keluarga sangat penting bagi wanita.
Beliau menjelaskan, “Kita tahu support system daripada suami dan keluarga sangat penting dalam apa jua keadaan. Kalau tak ada sokongan tu, beban wanita jadi makin berat. Suami yang tak membantu urus anak atau kerja rumah, atau tak faham keadaan isteri, boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga. Ia boleh timbulkan ketegangan dalam pengurusan keluarga. Dan akhirnya, wujud juga masalah keganasan rumah tangga dan tekanan sosial, yang memang, kalau kita tengok, wanita kerap hadapi. “
Tambahnya lagi, “Kalau kita tengok dalam situasi sekarang, bila berlakunya penceraian, nafkah anak-anak terutamanya macam diletakkan di bahu si ibu. Ia (perceraian) bukan hanya jadi masalah individu, tapi sudah jadi masalah sistemik kerana sistem tu sendiri. Bila ayah dan ibu bercerai, memang kita akan nampak ibu tunggal struggle untuk membesarkan anaknya kerana dia perlu menafkahi anak-anaknya. Lebih-lebih lagi bila si ayah lepas tangan”. Demikian ungkapannya tentang realiti sebahagian wanita milenial dalam kalangan ibu tunggal hari ni.
Dalam menghadapi cabaran ini, beliau juga menitipkan nasihat agar wanita milenial merawat cabaran dengan mengubah mind set.
Katanya, “Kalau kita terpaksa menjadi ibu yang bekerja dan merupakan pencari nafkah utama dalam keluarga, terutamanya ibu tunggal, kita perlu ubah pemikiran kita. Dan kita perlu niatkan mencari keredhaan Allah supaya wanita yang bekerja ni kekal kuat dari segi mental dan juga fizikal. Memang kalau kita sukar untuk ikhlas ataupun sukar untuk berfikiran terbuka tentang kerja, kita tengok kerja tu hanya sebagai beban, sebagai paksaan. Jadi kita ubah kita punya pekerjaan ni dengan minda yang positif. Kita tekankan bahawa Allah telah izinkan kita bekerja dan memberi manfaat kepada keluarga tercinta melalui jalan ni.”
Beliau juga menegaskan bahawa ibu bapa (suami dan isteri) adalah komponen utama dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga. Maka inilah yang perlu diperhatikan dan dikembalikan kefungsiannya dalam keluarga muslim.
Nasihat beliau, “Kita juga perlu mengenal dan menjalankan fungsi setiap anggota keluarga, terutamanya ayah dan ibu sebagai pengemudi keluarga. Peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga perlu jelas supaya ayah dan ibu tahu kedudukan mereka, supaya dapat saling meringankan beban.”
Sebagai penyelesaian, Shahirah mengajak umat Islam kembali kepada asas kekeluargaan berlandaskan syariat. Beliau menyifatkan rumah tangga sebagai benteng terakhir masyarakat.
“Sebab tu penting ya bagi setiap keluarga untuk menjadikan rumahnya tu rasa selamat, penuh berkah dan penuh rahmat Allah SWT. Jadi, ketika rumah tu kita rasa dinaungi dengan keberkahannya, insya-Allah kehidupan kita ni akan diliputi dengan kebaikan demi kebaikan, baik di dunia mahupun di akhirat kelak,” tegasnya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaBahagia