Negara Tidak Merdeka, Selagi Hukum Islam Tidak Diterapkan Secara Keseluruhan.
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Muslimah Ustazah Aisyah Rahmat menyatakan, selagi hukum-hukum Islam tidak dapat diterapkan secara keseluruhan di muka bumi ini, selagi itulah negara belum merdeka.
“Belum lagi kita ini dikatakan merdeka selagi hukum Islam tidak diterapkan secara keseluruhan di muka bumi ini, selagi itulah belum merdeka. Kerana apa? Sebab di tengah-tengah kehidupan kita masih diterapkan undang-undang warisan penjajah yang diberikan oleh British. Kalau di Malaysia, satu Suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1956. Jadi, kita belum lagi dikatakan merdeka, sebab merdeka itu mesti bebas sehingga dapat menerapkan hukum Allah SWT secara keseluruhan,” ujarnya dalam Kelas Tafsir Online bertajuk Merdekakah Kita?, Ahad (24/8/2025).
Beliau menambah, di Malaysia, hukum manusia lebih didahulukan daripada hukum Allah SWT. Sedangkan Allah SWT mengingatkan umat Islam mengambil Islam secara keseluruhan sama ada dalam konteks individu, kehidupan bermasyarakat dan kehidupan bernegara. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208,
“Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
Beliau menjejaskan, ada lima dimensi kemerdekaan dalam sebuah negara. Pertama, merdeka secara hakiki iaitu kedaulatan milik syarak sepenuhnya.
“Jadi, bila kita kata merdeka itu mestilah kedaulatan milik syarak, mestilah hukum Allah ditetapkan secara keseluruhan. Tapi realitinya pada hari ini berapa banyak perintah Allah dapat diterapkan dalam kehidupan kita sama ada dalam kehidupan bermasyarakat dan diperingkat negara. Peringkat individu boleh sekadar solat, puasa, nikah, cerai dan sebagainya, tapi hanya sekadar itu,” jelasnya.
Kedua, kemerdekaan daripada segi pemikiran iaitu pemikiran berasaskan ideologi Islam, tanpa tunduk kepada pemikiran penjajah.
“Pemikiran mestilah tunduk pada pemikiran Islam yang berlandas kepada akidah Islam, bukan pemikiran penjajah. Tapi realiti kita pada hari ini pemikiran penjajah masih lagi mendominasi, pemikiran kapitalisme yang berasaskan manfaat, pemikiran liberalisme yang mana halal haram sudah tidak diperhatikan dan pemikiran yang lain sehingga menyebabkan kerosakan di tengah-tengah kehidupan kita, maka umat wajib tunduk pada pemikiran Islam dan membebaskan pemikiran dari pemikiran asing,” ujarnya.
Ketiga, sebuah negara merdeka juga perlu mandiri dalam mengelola kekayaan negara tanpa terikat dengan sistem ekonomi penjajah.
“Tapi pada hakikatnya hari ini dalam mengelola kekayaan negara dah jadi haru biru, sudah tidak memahami apakah hak kepemilikan individu, hak kepemimpinan umum atau masyarakat dan juga hak kepemilikan negara. Jadi kalau dikatakan hak itu milik umat, milik rakyat maka semua rakyat boleh menikmatinya secara percuma,” tambahnya.
Keempat, dari segi politik, negara mestilah berdaulat ketika mengambil keputusan tanpa tunduk kepada agenda asing.
“Politik ni sebahagian dalam Islam. Dan politik dalam Islam ialah ‘ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan,‘ bermaksud mengatur/ memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri. Siapa yang mengatur? Tentulah penguasa, pemimpin yang telah diangkat oleh rakyat untuk menjadi wakil, untuk menjadi ketua dalam mengurusi urusan Rakyat. Jadi rakyat kena didahulukan, rakyat mesti diamankan, rakyat mesti disejahterakan,” jelasnya.
Lanjutnya, kisah Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Umar Al-Khattab RA perlu diperhatikan.
“Masa Umar Abdul Aziz, rakyatnya sejahtera sampai tak ada orang yang layak terima zakat, sebab tak ada orang miskin yang layak terima zakat. Begitu juga kisah Umar Al-Khattab yang sentiasa mengambil berat tentang keperluan rakyatnya. Inilah pengurusan seorang pemimpin kepada rakyatnya,” tegasnya.
Kelima, bebas secara fizikal iaitu bebas daripads penjajahan asing dan menguasai wilayahnya sendiri.
“Negara yang merdeka mesti bebas secara fizikal dan mampu menguasai negaranya sendiri tanpa perlu meminta bantuan asing atau negara penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan,” tambahnya.
Beliau menyimpulkan bahawa kemerdekaan itu mestilah kemerdekaan yang hakiki yang mana hukum-hukum Allah SWT dapat diterapkan dalam kehidupan sehingga Islam itu menjadi rahmat bagi sekalian alam.
“Kita hanya akan dapat kemerdekaan itu hanya dengan Islam, apabila hukum-hukum Allah SWT dapat diterapkan oleh sebuah negara. Dan negara itu adalah Khilafah, sebuah negara bebas, berdiri sendiri, tidak dijajah, dan tidak tunduk kepada negara-negara asing. Inilah negara yang sedang kita usahakan negara Khilafah a’la minhajin nubuwah,” simpulnya. []
#merdeka