[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 9
Masalah 8 : Menjauhkan pasangan daripada keluarganya.
Misalnya, ada suami melarang isterinya dari menghadiri majlis keluarganya sendiri (keluarga sebelah isteri), sedangkan si suami pula sentiasa menyuruh isterinya menghadiri majlis keluarganya (keluarga sebelah suami).
Refleksi:
Islam sangat menekankan kepentingan menjaga silaturrahim dengan keluarga dan kerabat.
Abdurrahman ibnu ‘Auf berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah ’azza wa jalla berfirman: Aku adalah Ar Rahman. Aku menciptakan rahim dan Aku mengambilnya dari nama-Ku. Siapa yang menyambungnya, nescaya Aku akan menjaga haknya. Dan siapa yang memutusnya, nescaya Aku akan memutus dirinya.” (HR. Ahmad 1/194, shahih lighoirihi).
Menjaga silaturrahim bukan hanya terbatas pada keluarga sebelah pihak sahaja, tetapi merangkumi kedua-dua belah keluarga — baik keluarga suami mahupun keluarga isteri. Demikian juga dalam hal berbakti kepada ibu bapa, tanggungjawab itu turut meliputi berbakti kepada mertua. Oleh itu, suami dan isteri perlu bekerjasama membina hubungan yang adil dan baik dengan keluarga masing-masing, dengan kesedaran bahawa perkara ini termasuk dalam ibadah yang dituntut oleh Islam.
Tidak wajar bagi suami atau isteri bersikap batu api atau mempengaruhi pasangannya untuk memutuskan hubungan dengan keluarganya. Berkaitan menghadiri majlis keluarga, jika majlis tersebut tidak mengandungi unsur maksiat kepada Allah dan tidak mengganggu peranan utama dalam rumah tangga, maka sewajarnya suami bersikap makruf dengan mengizinkan isterinya turut serta. Namun, jika majlis itu mengandungi perkara yang bercanggah dengan syariat — seperti ikhtilat (percampuran bebas antara lelaki dan perempuan) atau pelanggaran adab Islam — maka suami berhak melarang isterinya daripada hadir. Walau bagaimanapun, larangan tersebut hendaklah disampaikan dengan penjelasan dan nasihat yang baik agar isteri dapat memahami, menerima, dan redha dengan keputusan itu.
Komunikasi yang baik serta sikap belas kasihan antara suami dan isteri akan menghindarkan konflik yang tidak perlu, bahkan memperkukuh kebersamaan dalam menunaikan tuntutan menjaga silaturrahim dengan keluarga secara lebih baik.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim