3 Perkara yang Sering Dilupakan oleh Muslimah yang Telah Berkahwin
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Perkahwinan bukan sahaja mengubah status wanita bujang, malah mengubah rentak kehidupan. Tiada lagi bangun sendiri dan makan sendiri. Kini ada seorang lelaki bergelar suami yang akan sering menemani anda.
Terdapat hukum syarak yang sebelum ini tidak dikenakan ke atas seorang muslimah, tetapi kini wajib diberi perhatian dan dilaksanakan setelah berkahwin. Bukan sahaja perkara yang dahulunya haram kini menjadi halal, malah terdapat pelbagai kewajipan baru yang perlu diperhatikan dengan teliti dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan, sama ada dalam keadaan susah ataupun senang.
Sayangnya, tidak sedikit muslimah yang telah berkahwin melupakan beberapa adab dalam hubungan suami dan isteri. Kelalaian ini bukan sahaja boleh merosakkan keharmonian rumah tangga, malah perbuatan tersebut adalah haram dan sudah tentu berdosa di sisi Allah SWT.
Apakah perkara-perkara tersebut? Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh para muslimah:
- Suami yang wajib ditaati, bukan ibu bapa
Akhawat fillah, ingatlah bahawa apabila anda telah berkahwin, maka kehidupan anda kini berada dalam ‘genggaman’ suami. Percaya dan serahkan hidup anda kepada lelaki yang telah menjadi pendamping hidup anda. Sama ada dalam susah ataupun senang, jalani kehidupan bersama, gantungkan harapan pada suami, dan jadikan dirinya tempat untuk anda bersandar dan meluahkan air mata, bukan lagi ibu bapa.
Perkara paling penting bagi seorang muslimah yang telah berkahwin adalah ketaatan sepenuhnya perlu diberikan kepada suami. Hak suami menjadi sangat besar untuk ditunaikan, bahkan melebihi hak kedua ibu bapa.
سَأَلْت النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَيّ النَّاس أَعْظَم حَقًّا عَلَى الْمَرْأَة ؟ قَالَ . زَوْجهَا
Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling besar haknya terhadap seorang wanita?” Baginda menjawab, “Suaminya.” (HR. al-Hakim)
Begitu pentingnya kedudukan suami dalam rumah tangga, sehingga Rasulullah SAW pernah menganggap bahawa andai dibenarkan manusia sujud kepada sesama manusia, maka seorang isteri wajib bersujud kepada suaminya, sebagai tanda betapa besarnya hak dan kedudukan suami.
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لأَحَدٍ لأَمَرْتُ النِّسَاءَ أَنْ يَسْجُدْنَ لأَزْوَاجِهِنَّ لِمَا جَعَلَ اللَّهُ لَهُمْ عَلَيْهِنَّ مِنَ الْحَقِّ
“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang bersujud kepada yang lain, nescaya aku akan perintahkan kaum wanita untuk sujud kepada suami-suami mereka, kerana Allah telah memberikan kepada para suami hak atas kaum wanita.” (HR. Abu Daud)
Adalah satu kekeliruan besar apabila seorang isteri masih bergantung pada kedua ibu bapanya, lebih mendengar kata-kata mereka, dan menurut arahan mereka, namun pada masa yang sama mengabaikan kepentingan serta pandangan suaminya. Jika seorang isteri melakukan perkara ini, maka dia telah berdosa dan termasuk dalam kategori nusyuz terhadap suaminya.
Keadaan ini menjadi lebih parah apabila ramai ibu bapa tidak memahami hukum syarak berkaitan perkahwinan. Atas alasan ingin melindungi anak perempuan mereka, ibu bapa bertindak masuk campur dalam urusan rumah tangga anak. Mereka ingin sentiasa tahu keadaan anak perempuannya, dan apabila ada perkara yang tidak menyenangkan hati mereka, tanpa segan silu mereka campur tangan. Malah ada yang sampai memprovokasi anak perempuan untuk melawan suaminya.
Perbuatan seperti ini, baik dari pihak anak perempuan mahupun ibu bapanya adalah satu bentuk kemaksiatan di sisi Allah SWT. Ia merupakan dosa besar bagi seorang isteri yang membangkang suaminya dan lebih menurut kata orang lain, walaupun orang itu adalah ibu bapanya sendiri.
- Lupa menjaga aib suami
Wanita sememangnya makhluk yang suka bercerita. Namun, itu tidak bermaksud mereka bebas untuk membuka aib rumah tangga atau suami kepada orang lain. Mungkin benar, suami ukhti kurang beradab, kurang romantik, malas beribadah, atau ukhti terluka kerana dipoligami, tetapi semua itu bukan alasan yang dibenarkan oleh syariat Islam untuk menghebohkannya kepada orang lain, apatah lagi di media sosial.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk mendapatkan kasih sayang pasangan, tetapi juga membawa tanggungjawab besar untuk saling menjaga dan melindungi, termasuk menjaga rahsia rumah tangga. Salah satu ciri wanita yang solehah dan mulia di sisi Allah adalah kemampuannya untuk menjaga maruah dirinya dan suaminya. Firman Allah SWT:
“Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.” [TMQ an-Nisaa (4): 34]
Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النِّسَاء … إِذَا غِبْتَ عَنْهَا حَفِظَتْكَ فىِ مَالِهَا وَنَفْسِهَا
“Wanita yang baik adalah … jika engkau tidak ada di sisinya, ia menjaga kehormatanmu pada hartanya dan dirinya.” (HR. Ibnu Jarir)
Bersabarlah dalam menghadapi ujian rumah tangga. Jangan melampiaskan kekecewaan hati dengan bercerita ke sana sini, apatah lagi melalui media sosial.
Sungguh menghairankan, ada wanita yang sanggup menceritakan aib suaminya dan mengeluhkan sikap suaminya kepada orang lain bahkan kepada ramai orang, namun dia sendiri enggan berterus terang kepada suaminya. Ketika suami menunjukkan sikap atau membuat keputusan yang tidak dipersetujuinya, dia memilih diam, seolah-olah setuju atau tidak mahu membantah. Tetapi kemudian, semua amarah dan kekecewaan itu ‘meledak’ di luar rumah, dalam bentuk cerita dan aduan kepada pihak luar.
Lupakah ukhti, bahawa Allah SWT pernah memperlihatkan azab yang pedih bagi kaum wanita yang suka mengumpat dan membuka aib orang lain, termasuk suaminya sendiri?
لَمَّا عَرَجَ بِي رَبِّي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ ، يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ . فَقُلْتُ : مَنْ هَؤُلاَءِ يَا جِبْرِيلُ ؟ قَالَ : هَؤُلاَءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَالنَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ
“Ketika Rasulullah SAW dimikrajkan, beliau melalui sekelompok orang yang memiliki kuku-kuku dari tembaga. Mereka mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga tersebut. Lalu beliau bertanya kepada Jibril: Wahai Jibril, siapa mereka itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang suka memakan daging sesama manusia, dan orang-orang yang suka membicarakan keburukan orang lain.” (HR Ahmad dan Abu Dawud, dengan sanad yang baik, dari Anas RA)
- Lupa menahan ego di hadapan pemimpin rumah tangga
Salah satu ujian dalam perkahwinan adalah ketika kita terlalu mempertahankan ego di hadapan pasangan. Ini boleh menjadi punca awal kepada keretakan rumah tangga, dan sering kali ia boleh berakhir dengan perceraian. Setiap orang pasti mempunyai ego, tetapi jika kita mempertahankannya di hadapan suami, ia hanya akan menyebabkan pergaduhan dan dosa.
Suami adalah pemimpin dalam rumah tangga. Selagi dia bersikap baik kepada isterinya, tidak ada sebab bagi isteri untuk berkeras atau bersikap tegang dengan suami. Adakah para muslimah tahu bahawa salah satu punca perceraian yang paling tinggi adalah apabila isteri lupa merendahkan egonya di hadapan suami?
Banyak wanita yang telah berkahwin, terutama pasangan muda, sering terlupa bahawa suami adalah pemimpin yang Allah SWT tempatkan untuk memimpin isteri dan anak-anak. Mempertahankan ego untuk perkara-perkara kecil di hadapan suami adalah sesuatu yang tidak wajar. Contohnya, ketika anda ingin pergi jalan-jalan tetapi suami memilih untuk berehat di rumah kerana keletihan, ia tidak akan memberi manfaat. Apakah anda suka jika suami tetap menurut kehendak anda dalam keadaan marah? Fikirkan kembali dosa yang mungkin timbul kerana membantah keinginan suami.
Telah datang Jibril yang berkata, “Wahai Rasulullah, ini adalah Khadijah yang datang membawa sebuah bekas berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya dari Rabbnya dan aku, serta beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga yang terbuat dari mutiara, yang tidak ada kekacauan di dalamnya dan tidak ada kepayahan. (HR. Bukhari dan Muslim)
Jangan biarkan status atau pendapatan isteri yang lebih tinggi daripada suami membuatkan isteri menjadi tinggi hati. Contohilah Khadijah binti Khuwailid RA, walaupun beliau seorang wanita kaya dan bangsawan, beliau tetap merendahkan diri di hadapan Rasulullah SAW dan lebih mengutamakan kedudukan suaminya dalam keluarga. Semua orang di Mekah tahu bahawa Khadijah seorang yang kaya raya dan terhormat, sementara Rasulullah SAW hanya seorang pemuda miskin yang hidup bersama keluarga bapa saudaranya.
Kerendahan hati Khadijah dan pengabdiannya sebagai isteri kepada Rasulullah SAW lah yang menyebabkan beliau sudah dijanjikan sebuah istana di dalam syurga oleh Allah SWT. Berita ini disampaikan oleh Jibril AS kepada Rasulullah SAW.
Semoga Allah merahmati Khadijah dan wanita mukmin yang mengikuti teladan beliau.