Bagaimana sepatutnya menghadapi Pasangan yang Kurang Memberi Perhatian?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Siapa pun yang akan dan sedang menjalani bahtera rumah tangga, pasti berharap rumah tangga yang dibina bersama pasangan beroleh kebahagiaan dan ketenangan, serta penuh kasih sayang. Namun, perjalanan mewujudkan keinginan tersebut tidak semudah yang diucapkan. Kadang-kadang banyak menemui halangan, rintangan, ujian, dan kesukaran. Ini semua mesti dihadapi bersama.
Pada awal perkahwinan, biasanya pasangan suami isteri akan memberikan penuh perhatian dan sering berkomunikasi secara intensif, walaupun sesekali ada pertengkaran kecil di antara keduanya kerana berselisih faham. Akan tetapi, semuanya akan boleh diatasi bersama seiring berjalannya waktu. Selanjutnya, lahir lah buah hati yang mewarnai kebahagiaan rumah tangga. Kesibukan pasangan suami isteri semakin bertambah. Suami mesti lebih bersemangat untuk bekerja untuk menafkahkan keluarga seiring memenuhi keperluan rumah tangga yang semakin bertambah. Seterusnya, sang isteri yang sekarang sudah menjadi ibu, kesibukannya juga bertambah. Anak-anak biasanya merampas lebih banyak perhatian sang ibu berbanding bapanya.
Pasangan suami isteri pasti berharap interaksi antara mereka semakin hangat. Namun ternyata tidak begitu, kadang-kadang semakin hambar. Pasangan suami isteri berkeinginan memiliki quality time berdua. Hakikatnya, bertemu untuk tempoh yang lama sahaja agak sukar. Kadang-kadang, masing-masing sibuk atau asyik dengan urusan masing-masing. Ketika tidak ada masalah yang dihadapi, mungkin tidak perlu untuk berdua. Akan tetapi, ketika permasalahan menghampiri, seolah-olah merasa sendirian atau merasa diabaikan oleh pasangan. Memiliki pasangan yang kurang memberi perhatian, acuh tak acuh, atau sibuk memang menjadi cabaran tersendiri. Seolah-olah pasangan tidak peduli lagi dengan keberadaan pasangannya.
Suami yang tidak peka sering dengan mudah menyalah tafsirkan perasaan atau keinginan isterinya. Hal ini menyebabkan isteri merasa tidak diberi perhatian oleh suaminya. Demikian juga sebaliknya, ketika suami mengeluh dan meluah mengenai hal pekerjaannya, tetapi isterinya mungkin kurang merespon kerana sibuk mengurusi anak-anaknya. Suami juga merasa diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh isterinya. Keadaan ini semestinya diwaspadai oleh pasangan suami isteri agar jangan berlarutan, jika dibiarkan boleh menimbulkan pertengkaran.
Lalu, apakah tindakan yang mesti dilakukan agar perkahwinan tetap harmoni?
Pertama, memahami bahawa pasangan adalah sahabat kita. Kehidupan perkahwinan adalah kehidupan persahabatan antara suami dan isteri. Suami menjadi sahabat bagi isterinya, begitu pula sebaliknya. Mereka bersahabat secara sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Inilah yang mesti difahami dengan benar oleh pasangan suami isteri. Layaknya sahabat, keduanya saling memberi pandangan, mengingatkan, menasihati, dan berdiskusi ketika menghadapi masalah. Dengan demikian, ketika ada perbezaan pendapat di antara kedua-duanya, bukan ego peribadi yang muncul, tetapi justeru hendaklah berprasangka baik bahawa pasangan kita pun ingin menyelesaikan permasalahan ini bersama.
Selain itu, hubungan persahabatan ini akan membuatkan pasangan suami isteri saling memahami kelebihan dan kekurangan pasangannya, serta menerimanya dengan berlapang dada. Ini akan menjadikan pasangan suami isteri saling berempati sehingga tidak mudah berburuk sangka. Akan tetapi, tidak bererti toleran terhadap kesalahan dan kelemahan dapat merugikan pasangannya. Sikap ini akan memudahkan pasangan suami isteri berfikir jernih sebelum memberikan pendapatnya.
Kedua, saling berkomunikasi dan mencari penyelesaian secara bersama. Keharmonian keluarga dapat tercapai dengan komunikasi yang baik. Secara umum, komunikasi secara langsung atau lisan ini lebih baik dilakukan supaya tidak terjadi kesalah fahaman. Komunikasi yang baik akan membuat hubungan pasangan suami isteri semakin baik kerana berpaksikan rasa percaya, jujur, dan terbuka. Sehingga semua hal yang ingin kita sampaikan atau tanyakan kepada pasangan dilakukan secara langsung. Dengan cara itu akan jelas apa yang dipersoalkan. Selagi masih boleh bersemuka, lebih baik dilakukan bersemuka. Berkomunikasi langsung juga boleh menguatkan, serta bertentang mata dan bersentuhan boleh menambahkan kehangatan dan keharmonian dalam keluarga.
Ketika muncul masalah dalam rumahtangga, utamakan berkomunikasi untuk menyelesaikannya. Komunikasi merupakan hal yang sangat penting dalam keluarga. Saling berkomunikasi sangat diperlukan, bahkan dianjurkan oleh Islam dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Islam memerintahkan pasangan suami isteri bergaul secara makruf, saling menasihati, dan melakukan amar makruf nahi mungkar sehingga kehidupan keluarga penuh dengan ketenteraman sebagai sebuah persahabatan yang sempurna.
Jika perlu, kita boleh berbincang untuk menilai dan mencari penyelesaian terbaik demi memperbaiki keadaan yang sudah terjadi. Perbincangan sederhana seperti ini akan membuat pasangan semakin selesa dan merasa kita selalu ada untuknya. Pasangan akan merasa kita menyokongnya sehingga akan mengurangi rasa bersalahnya terhadap isteri dan anak-anaknya. Boleh juga melibatkan anak-anak untuk membantu memotivasi dan menghiburkan ayahnya sehingga boleh bangkit dengan lebih cepat.
Ketiga, saling percaya mempercayai dan memahami antara satu sama lain. Pernikahan menyatukan dua orang dari latar belakang dan keluarga yang berbeza. Oleh kerana itu, pasangan suami isteri perlu saling memahami kelebihan dan kekurangan pasangan, serta menerimanya dengan lapang dada tanpa ada rasa penyesalan. Seterusnya mesti saling memelihara kemuliaan dan kehormatan pasangan, serta beramar makruf nahi mungkar jika kelihatan ada hal-hal yang tidak sesuai dengan syariat.
Saling percaya mempercayai dan memahami akan menjadikan pasangan suami isteri berempati sehingga tidak mudah berburuk sangka. Namun mesti tetap bijak ketika berhadapan kesalahan dan kelemahan pasangannya. Sikap ini memudahkan pasangan suami isteri berfikir jernih sebelum memberikan pendapat dan menilai pasangannya.
Setiap pasangan suami isteri memiliki cara berbeza dalam mengungkapkan rasa cinta kepada pasangannya. Adakalanya pasangan kita kelihatan kurang memberi perhatian, tetapi tidak selalunya bererti dia mengabaikan kita. Boleh jadi hal tersebut merupakan caranya mendidik kita agar mandiri dalam menyelesaikan sebuah persoalan. Penting untuk mengetahui bahasa cinta pasangan kita. Dengan memahami bahasa cintanya, kita akan lebih mudah menunjukkan kasih sayang kepadanya.
Keempat, memberikan perhatian lebih dahulu kepada pasangan. Pasangan suami isteri mesti bekerjasama menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangga. Sikap saling menghargai, menyayangi, memahami, memaafkan, dan saling memberi perhatian mesti dimiliki pasangan suami isteri. Ketika beberapa sikap baik ini belum ada pada diri pasangan, kita boleh memberi contoh terlebih dahulu. Insyaallah jika mahu saling belajar, semua akan boleh terwujud dan akhirnya saling meredhai. Ini sebagaimana perkataan Abu Darda RA kepada isterinya, “Jika aku marah, buatlah aku redha kepadamu. Sebaliknya, jika engkau marah, aku pun akan membuat dirimu redha kepadaku. Kalau tidak demikian, tidaklah kita bersahabat.” Alangkah indahnya.
Ketika pasangan mengeluhkan suatu masalah, ada baiknya kita dengarkan dengan baik dan memberikan perhatian kepadanya. Tunjukkan bahawa kita peduli terhadap masalahnya. Kita boleh memotivasikan dan membantu menyelesaikan masalahnya. Biasanya pasangan pun akan melakukan hal yang sama nanti kepada kita. Dia menjadi seorang yang lebih ambil perhatian dan melindungi. Ada baiknya kita juga menyelitkan pujian atau ucapan terima kasih kepada pasangan sebagai tanda penghargaan. Dia akan merasa lebih percaya diri, diperhatikan, dan dihargai. Hal yang sama akan dilakukan pula oleh pasangan kepada kita.
Kelima, beraktiviti bersama. Pasangan suami isteri pasti memiliki kesibukan masing-masing. Akan tetapi, pasangan suami isteri mesti berusaha meluangkan masa bersama, seperti memasak makanan kegemaran. Boleh juga bersantai dan melakukan kegiatan ringan bersama. Pasangan suami isteri dapat bersenam atau berjalan kaki bersama anak-anak pada hujung minggu, walaupun hanya sebentar. Hal ini akan semakin mengukuhkan ikatan di antara pasangan suami isteri.
Aktiviti rutin yang biasanya dilakukan sendiri boleh dilakukan bersama pasangan. Kita boleh mengintensifkan solat berjemaah, saling membangunkan untuk solat tahajud bersama, sahur bersama ketika hendak melaksanakan puasa sunat, dan tadarus bersama. Kita juga boleh mengemas rumah, membersihkan rumah, atau berkebun bersama walaupun hanya sebentar. Kebersamaan dengan keluarga akan menumbuhkan sikap saling sayang dan menghormati yang lebih kuat di antara anggota keluarga. Yang tadinya acuh tak acuh akan semakin memberi perhatian terhadap pasangannya.
Keenam, bersabar menghadapi pasangan. Memang tidak mudah menarik perhatian pasangan yang acuh tak acuh dan sibuk. Namun, kita mesti tetap sabar dan berusaha membantu pasangan memahami bahawa dia mesti lebih responsif, perhatian, dan mendengarkan. Ini boleh terjadi kerana suami tidak melihat ada yang salah dengan apa yang dilakukannya selama ini.
Kejujuran dan percakapan terbuka merupakan cara tepat mengatasi ketidakseimbangan dan ketidakharmonian dalam hubungan. Oleh kerana itu, kita mesti terus berkomunikasi dan bekerja sama dengan pasangan untuk menguatkan hubungan perkahwinan. Teruslah menunjukkan kasih sayang kepada suami. Jangan menyerah. Dengan kesabaran dan usaha keras, kita pasti boleh mendapatkan perhatian pasangan. Kesabaran merupakan langkah utama ketika muncul perselisihan dengan pasangan. Kebaikannya tidak selalu boleh dilihat di depan mata, tetapi boleh berupa ganjaran dari Allah SWT.
Allah SWT berfirman, “Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ An-Nisa(4): 19].
Ketujuh, mendoakan pasangan. Apa pun yang terjadi di antara kita dan pasangan, hendaklah selalu mendoakan yang terbaik untuknya. Saling mendoakan merupakan hal penting dalam hubungan perkahwinan. Doakan dengan tulus agar Allah SWT memberi keselamatan kepada pasangan dan keluarga kita, serta meluaskan rezeki dan memudahkan semua urusan. Ini akan memberikan ketenangan kepada kedua belah pihak.
Kekuatan doa isteri merupakan senjata terbesar dan terampuh dalam setiap langkah dan usaha suami.
Rasulullah SAW mengatakan, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” [HR Tirmidzi].
Khatimah
Kehidupan perkahwinan tidak selalunya seindah harapan. Memang tidak mudah menyatukan dua peribadi yang berbeza, berasal dari latar belakang berbeza, serta memiliki kebiasaan, personaliti, dan keinginan yang berbeza pula. Kadang-kadang ada suami yang kurang memberi perhatian terhadap isterinya atau sebaliknya sehingga masing-masing merasa diabaikan. Boleh jadi hal ini kerana khilaf, bukan kerana sengaja.
Oleh kerana itu, saling menyelami dan berkomunikasi secara intensif dengan pasangan menjadi hal yang sangat penting dalam kehidupan perkahwinan.
Pasangan suami isteri mesti bahu membahu serta bekerja sama menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangganya. Jika pasangan suami isteri terus berusaha memperhatikan kewajipannya, rumah tangga yang penuh kedamaian akan terwujud. InsyaAllah. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#RumahTaatUmatKuat
#DakwahBermulaDiRumah