[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 7/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan kedudukan golongan selain kaum Muslim berdasarkan hubungan muamalah mereka dengan kaum Muslim. Maka Allah membahagikan mereka kepada dua golongan.
Allah SWT berfirman, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Mumtahanah (60): 8-9]
Terhadap satu golongan, kita memperlakukan mereka dengan baik. Mereka adalah ahli zimmi, iaitu orang-orang kafir yang hidup di tengah masyarakat kita. Adapun orang-orang mu‘ahad, kita wajib memperlakukan mereka sesuai akad perjanjian kita dengan mereka.
Sementara golongan yang lain, tidak dibenarkan untuk berkasih sayang dan saling membantu dengan mereka. Mereka adalah ahli harbi, iaitu orang-orang yang memusuhi kaum Muslim, melakukan konspirasi terhadap kaum Muslim. Mereka mengusir kaum Muslim daripada negeri-negeri mereka, serta membantu pihak lain untuk mengusir kaum Muslim.
- Menyingkap segala konspirasi yang dirancang untuk menghancurkan kaum Muslim, memesongkan serta memutarbelitkan idea-idea Islam. Hal ini menuntut agar wujudnya sebuah parti atau jemaah yang sentiasa berwaspada terhadap politik antarabangsa, pergolakan di pelbagai wilayah, serta keadaan dan kedudukan antarabangsa. Mereka (ahli parti dan jemaah) perlu berusaha untuk menegakkan kehidupan Islam dengan mendirikan negara Khilafah yang akan menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia.
Oleh kerana itu, apabila kaum Muslimin — lebih-lebih lagi para pemimpin mereka — tidak berwaspada terhadap situasi dunia dan pelbagai manuver politik dengan ketelitian yang tinggi, maka mereka akan ditindas oleh negara-negara musuh sehingga cita-cita luhur mereka musnah.
Kisah pertaruhan (moroohanah) antara Abu Bakar As-Siddiq RA dengan kaum Quraisy sebelum hijrah berhubung kemenangan yang silih berganti antara bangsa Parsi dan Romawi merupakan dalil terbaik tentang pentingnya penelitian terhadap politik antarabangsa dan situasi dunia oleh para pengemban dakwah. Sesungguhnya pertaruhan itu menjadi sebab turunnya firman Allah SWT pada permulaan Surah Ar-Rum, “Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan (oleh kerajaan Parsi)- Di negeri yang dekat (ke negeri Arab iaitu Syam dan Palestin) dan mereka selepas kekalahan itu akan menang (ke atas orang Parsi) – Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah jualah terpulang segala urusan sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika itu, bergembiralah orang-orang yang beriman – Dengan pertolongan Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ Ar-Ruum (30): 1-5]
Setelah ayat-ayat di atas menetapkan perhatian ini, ayat-ayat tersebut turut menggambarkan strategi masa hadapan terhadap situasi antarabangsa yang berakhir dengan pertolongan Allah kepada kaum Muslim atas bangsa Romawi dan Parsi, agar Negara Khilafah menjadi sebuah negara kuasa besar di dunia.
Di hadapan kaum Muslim pada masa kini terdapat strategi yang jelas serta pandangan ilahi tentang masa depan Islam di dunia. Antaranya adalah sesuatu yang qathie sebagaimana firman Allah SWT, “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).” [TMQ AN-Nuur (24): 55]
Juga seperti firman Allah SWT, “Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ At-Taubah (9): 33]
Selain itu, terdapat juga perkara yang bersifat zhanni, sebagaimana sabda Nabi SAW pada akhir sebuah hadis, “Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj (jalan) kenabian.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #thariqahnabi #metodesyarie #dakwahIslamKaffah #TegakKhilafah