MAULID NABI INSPIRASI KEMENANGAN
Oleh : Nurul Ilmi
Maulidur Rasul menjadi salah satu momentum kegembiraan bagi umat Islam kerana kelahiran Rasulullah SAW adalah nikmat teragung bagi umat manusia. Di Malaysia, sambutan Maulidur Rasul antara wasilah untuk memelihara rasa cinta kepada baginda. Sebagai seorang Muslim, kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti diletakkan melebihi rasa cinta kepada yang lain.
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga menjadikan aku lebih dicintainya daripada ibu bapanya, anaknya dan segenap manusia” [HR al-Bukhari].
Maulid Nabi: Isyarat Pembebasan Umat Manusia
Keputeraan baginda SAW ditandai dengan peristiwa-peristiwa luar biasa. Bonda Aminah dalam mimpinya melihat cahaya terpancar daripada Muhammad menjangkau ke Syam hingga ke arah istana Bizantium, iaitu sebuah negara kuasa besar ketika itu. Negeri-negeri Syam (Palestin, Lubnan, Jordan, Syria) ketika itu sedang dijajah Bizantium dan dijadikan pusat pemerintahan Rom Timur. Ibnu Rajab al-Hambali mengatakan bahawa cahaya itu adalah isyarat datangnya petunjuk di muka bumi yang menghapuskan semua kegelapan termasuklah syirik.
“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji” [TMQ Ibrahim (14):1]
Baginda membawa Islam yang menjadi rahmat bagi seluruh alam, membebaskan manusia daripada belenggu kesyirikan, ramalan bomoh, ketaksuban, zina, riba, perjudian, pembunuhan bayi dan kerosakan lain. Dengan kata lain, Islam membawa mesej pembebasan pemikiran yang mengeluarkan manusia daripada kekufuran kepada ketaatan hanya kepada Allah SWT. Mesej pembebasan ini menjadikan Muslim tidak gentar kepada manusia tetapi sanggup mati demi Allah SWT.
Ironi: Malapetaka Menimpa Umat Islam
Dengan mesej pembebasan yang dibawa Rasulullah SAW, maka secara prinsipnya penjajahan di Gaza sejak 1948 tidak sepatutnya berlaku. Kekejaman Zionis yang dipamerkan tanpa segan silu melahirkan musibah yang berpanjangan. Situasi ini adalah sebuah keaiban kepada umat Islam di seluruh dunia kerana Islam memiliki karakter khas sebagai pemimpin peradaban.
“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikan ke atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ at Taubah (9): 33]
Namun, diamnya para pemimpin negara umat Islam tanpa usaha yang efisien dan proaktif dalam berdepan isu Gaza memberi tanda bahawa ketundukan dan ketakutan umat Islam kepada musuh-musuh Allah dan RasulNya.
Pengajaran daripada Sejarah
Ketika Baghdad (pusat pemerintahan Khilafah) jatuh di tangan tentera Tatar yang dipimpin Hulagu Khan pada tahun 1258M, dilaporkan seramai 1,800,000 orang terbunuh, tidak terkecuali Khalifah Mu’tasim, kerabatnya serta sejumlah besar ulama dan pemimpin. Baghdad bermandi darah dan menjadi padang jarak padang tekukur, menandai tamatnya Khilafah Abbasiyah. Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Khilafah ketika itu menguasai 1/3 dunia? Hilangnya izzah (kemuliaan dan kehormatan) umat Islam dan keengganan berjihad telah merebak, diburukkan lagi dengan pengkhianatan pemimpin iaitu Wazir Mu’iyyuddin Muhammad ibnul Alqomi yang bekerjasama dengan pasukan Tatar. Dia melakukannya dengan harapan kepimpinan Khilafah berpindah kepada puaknya iaitu Syiah Batiniah. Sejarah ini telah mencatat bahawa kekuatan umat Islam boleh sirna apabila wujud pengabaian terhadap pelaksanaan jihad dan pengkhianatan pemimpin Islam. Tidakkah situasi yang sama sedang berlaku pada hari ini?
Kembalikan Izzah Ummah
Menghampiri akhir hayat Rasulullah SAW, sejumlah 3000 orang Muslim dihantar untuk menghadapi 100 ribu tentera Rom di Mu’tah. Setahun selepas itu, kaum Muslimin sekali lagi mengumpulkan kekuatan untuk mencabar Rom di Tabuk. Namun, sebaik sahaja Kaisar Heraklius mendengar Rasulullah SAW sendiri memimpin tentera umat Islam yang bergerak dari Madinah, tanpa berlengah Rom menarik diri dari Tabuk akibat gerun. Kegerunan Rom terhadap tentera Islam sememangnya berasas. Masih segar di ingatan mereka keberanian tentera Islam ketika berdepan dengan musuh yang jauh lebih kuat. Apatah lagi jika mereka didampingi Nabinya? Itulah izzah yang hanya dimiliki oleh umat yang taat kepada Allah dan rasulNya, serta tidak takut kecuali kepada kedua-duanya.
Namun begitu, di manakah izzah umat Islam pada hari ini? Pelbagai bencana dan penghinaan menimpa umat Islam di seluruh dunia. Malapetaka Gaza diperparah dengan pengkhianatan pemimpin yang tunduk kepada pengganas AS. Pengkhianatan ini terus berlangsung tanpa segan silu dari tahun ke tahun. Oleh itu, untuk mengembalikan kemuliaan dan darah umat Islam, setiap Muslim wajib bersatu menghadapi musuh. Al Izz bin Abdissalam yang digelar Sultonul ‘Ulama menegaskan bahawa ketika musuh menyerang dunia Islam, semua orang yang mengetahuinya wajib ikut menghadapi musuh. Imam Suyuti dalam kitab Tarikhul Khulafa menceritakan ketika para pemimpin, ulama dan rakyat bersatu dalam perjuangan, mereka mampu mengalahkan Tatar dalam perang Ain Jalut di bawah kepimpinan Saifudin Qutuz untuk selanjutnya membina semula Khilafah di Mesir.
Kemenangan Umat di Akhir Zaman
Sesungguhnya kemenangan Islam sudah dijanjikan sebagaimana sabda Nabi SAW “Kemudian akan ada Khilafah di atas manhaj kenabian’ [HR Ahmad, al Bazzar]. Janganlah kita merasa lemah kerana kelahiran baginda memberi isyarat bahawa Islam akan mengalahkan semua kekuasaan lain. Umat Islam tidak lemah tetapi dilemahkan oleh ketiadaan Khilafah dan pengkhianatan para pemimpin. Namun, kita tidak dapat meraih kemenangan itu dengan hanya berangan-angan, sebaliknya mesti berjuang sebagaimana Rasulullah SAW menempuhi pelbagai rintangan sebelum menegakkan pemerintahan di Madinah,
Umat Islam wajib mentaati Rasulullah SAW dan sebaliknya haram menyakiti hati baginda. Sayyidah Aisyah RA pernah bertanya “Siapakah yang membuatmu marah, ya Rasulullah? Semoga Allah memasukkan mereka ke dalam neraka.” Baginda menjawab:
أَوَمَا شَعَرْتِ أَنِّي أَمَرْتُ النَّاسَ بِأَمْرٍ، فَإِذَا هُمْ يَتَرَدَّدُوْنَ
“Tidakkah kamu merasa (marah) ketika aku memerintahkan manusia suatu perkara, tetapi mereka teragak-agak (melaksanakannya.).” [HR Muslim dan Ibnu Hibban].
Jelaslah bahawa bukti cinta kepada Nabi SAW adalah mentaati baginda tanpa ragu. Salah satu tindakan termasuk dalam mentaati Rasulullah SAW adalah dengan turut serta dalam memperjuangkan syariah dalam bentuk bernegara iaitu negara Khilafah yang akan menjadi kunci pembebasan dan kemenangan. Allahuakbar!