Hikmah Maulid Nabi SAW: Meneladani Metode Perubahan Politik ala Rasulullah SAW
Peringatan Maulid Nabi Muhammad SAW bukan sekadar momen ritual yang dipenuhi lantunan selawat dan doa semata-mata. Ia juga merupakan kesempatan refleksi untuk menggali hikmah agung daripada kelahiran Rasulullah SAW. Salah satu hikmah terbesar yang jarang diberikan perhatian adalah bahawa kelahiran baginda menandakan permulaan kepada perubahan besar dalam peradaban manusia: daripada masyarakat jahiliah menuju masyarakat Islam yang mulia.
Persoalannya: Adakah kita bersedia meneladani metode baginda dalam melakukan perubahan politik saat ini? Atau adakah kita masih terus mempercayai metode sekular seperti demokrasi yang telah berulang kali terbukti hanya memberikan janji-janji (janji tentang kemakmuran, kesejahteraan, keadilan dan sebagainya) yang tidak pernah terbukti sama sekali? Atau adakah kita berasa yakin dengan people power (gerakan massa) yang seringkali disertai dengan anarkisme (kekacauan) sehingga mengorbankan nyawa?
Isyarat Politik dalam Kelahiran Nabi SAW
Kitab Mawlîd al-Barzanjî karya Syeikh Ja‘far al-Barzanji mengisahkan peristiwa besar ketika Rasulullah SAW dilahirkan. Cahaya memancar sehingga menerangi istana Romawi di Syam. Tiang-tiang istana Kisra di Madain retak. Sepuluh menaranya runtuh. Api sembahan Parsi terpadam. Tasik Sawah mengering. Wadi Samawah tiba-tiba mengalirkan air.
Fenomena ini bukan sekadar kejadian kosmik. Ia adalah isyarat politik bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan ancaman langsung terhadap empayar Parsi dan Romawi pada ketika itu. Baginda lahir sebagai pemimpin perubahan politik global yang akan meruntuhkan tatanan kufur dunia dan membina peradaban baharu: peradaban Islam.
Di Pasar Dzil Majaz, Nabi SAW pernah berseru:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قُوْلُوْا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ تُفْلِحُوا
Hai manusia, ucapkanlah “Lâ ilâha illalLâh,” nescaya kalian beruntung! (HR Ahmad).
Seruan tersebut bukan semata-mata dakwah tauhid. Ia juga merupakan deklarasi visi politik bahawa perubahan sejati bermula daripada pengakuan terhadap kedaulatan Allah SWT.
Ketika menggali Parit Khandaq, Nabi SAW memukul batu besar sebanyak tiga kali. Pada pukulan pertama, baginda mengucapkan, “BismilLāh”. Lalu pecahlah sepertiga batu itu. Baginda bersabda, “Allāhu Akbar! Aku telah diberikan kunci negeri Syam. Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar melihat istana-istana merahnya dari tempatku ini.” Kemudian baginda mengucapkan, “BismilLāh”, lalu memukul sekali lagi sehingga pecah sepertiga lagi batu itu. Baginda bersabda, “Allāhu Akbar! Aku telah diberikan kunci negeri Parsi. Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar melihat kota-kotanya dan aku melihat istana putihnya dari tempatku ini.” (HR Ahmad dan an-Nasa’i).
Sejarah kemudian mencatat bahawa nubuwat tersebut menjadi kenyataan pada masa Kekhalifahan Umar bin al-Khattab RA. Pada ketika itu, dua negara kuasa besar, iaitu Parsi dan Romawi, benar-benar berjaya ditundukkan di bawah kekuasaan Islam.
People Power: Hanya Mengganti Rejim, Bukan Sistem
Pada era moden, ramai yang berharap berlaku perubahan politik melalui people power (gerakan massa). Sejarah Indonesia pasca-Reformasi 1998 adalah contoh nyata. Rejim Soeharto tumbang. Orde Baru runtuh. Namun, adakah secara politik Indonesia benar-benar berubah? Tidak! Rasuah semakin berleluasa. Oligarki semakin kukuh. Sumber daya alam milik rakyat tetap berada dalam genggaman swasta dan asing. Cukai semakin menjerut. Hutang negara beserta faedahnya semakin meningkat. Rakyat tetap miskin. Pengangguran semakin bertambah. Elit politik semakin bergelimang harta. Keadilan undang-undang semakin sukar ditegakkan. Mengapa demikian? Hal ini kerana, yang jatuh hanyalah rejimnya, bukan sistem politiknya. Sistem demokrasi sekular tetap dipertahankan. Sedang sistem inilah yang menjadi akar kepada kerosakan yang membelit negeri ini. Hal ini kerana dalam sistem demokrasi, kedaulatan (hak membuat undang-undang) berada di tangan manusia. Ertinya, pembentukan undang-undang diserahkan kepada hawa nafsu manusia.
Sedangkan Allah SWT dengan tegas telah menyatakan:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ
“Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah.” [TMQ Yusuf (12): 40]
Bahkan Allah SWT telah menegaskan:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْظَالِمُوْنَ
“dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ al-Maidah (5): 45]
Allah SWT juga telah mengingatkan:
أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.” [TMQ al-Maaidah (5): 50]
Jelaslah, demokrasi yang meletakkan kedaulatan (hak membuat undang-undang) di tangan manusia adalah sistem hukum jahiliah. Oleh itu, pertukaran rejim (penguasa) tanpa pertukaran sistem politiknya—ke arah sistem politik Islam—tidak akan pernah menghasilkan perubahan ke arah yang lebih baik.
Dakwah, Bukan Kerumunan Massa
Islam memiliki metode perubahan politik yang jelas dan tuntas. Rasulullah SAW tidak pernah menyeru kepada revolusi massa untuk menggulingkan rejim Quraisy. Baginda menempuh metode dakwah yang terarah melalui tiga tahap:
Pertama, Tatsqîf (Pembinaan): Baginda membina para sahabat dengan fikrah Islam agar keimanan mereka teguh dan mereka bersedia berjuang untuk perubahan.
Kedua, Tafâ‘ul ma‘a al-Ummah (Interaksi dengan Masyarakat): Baginda mendakwahkan Islam secara terang-terangan di tengah-tengah masyarakat, sambil membongkar kebusukan sistem kufur sehingga pandangan umum berpihak kepada Islam.
Ketiga, Thalab an-Nushrah (Mencari Pertolongan): Baginda mendapat pertolongan daripada ahlul quwwah (pemilik kekuasaan) untuk menegakkan sistem politik dan pemerintahan Islam.
Ketiga-tiga tahap ini ditempuh baginda tanpa sebarang keganasan dan kekerasan, apatah lagi melalui people power (gerakan massa) yang boleh menjurus kepada anarkisme (kekacauan). Pada akhirnya, khususnya melalui tahap thalab an-nushrah, baginda berjaya meraih kekuasaan (istilām al-hukum) secara damai daripada ahlul quwwah di Madinah yang disokong oleh majoriti penduduknya. Ketika itu, mereka menyerahkan kekuasaan secara sukarela kepada baginda. Sejak saat itu, baginda segera mengisytiharkan penubuhan Daulah Islam buat pertama kalinya.
Dengan metode ini, perubahan politik yang terhasil bukan sekadar kejatuhan seorang penguasa, tetapi tumbangnya keseluruhan sistem jahiliah yang diganti dengan sistem Islam. Hasilnya adalah tertegaknya peradaban Islam yang bertahan selama berabad-abad lamanya.
Landasan Sejarah: Baiat ‘Aqabah Kedua
Ibn Hisyam meriwayatkan: Ketika mereka berkumpul bersama Nabi SAW di ‘Aqabah, baginda bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya kalian semua membaiat aku untuk mendengar dan taat… serta untuk menolong dan melindungi diriku sebagaimana kamu melindungi diri, isteri dan anak-anak kalian.” (Ibnu Hisyam, Sîrah an-Nabawiyyah, 2/41).
Inilah Baiat ‘Aqabah Kedua yang menjadi landasan bagi penegakan Daulah Islam di Madinah. Hal ini sebagaimana ditegaskan oleh al-Mubarakfuri, “Sesungguhnya baiat ini adalah asas yang kukuh bagi penegakan Daulah Islam pertama, yang memerintah dengan wahyu yang telah Allah turunkan serta menyebarkan Islam ke seluruh dunia.” (Al-Mubarakfuri, Ar-Rahīq al-Makhtūm, hlm. 177).
Daripada nukilan di atas tampak jelas bahawa Rasulullah SAW menempuh perjuangan perubahan politik: daripada masyarakat jahiliah di Mekah (lemah, tertindas) menuju masyarakat Islam di Madinah yang penuh dengan rahmat dan keadilan di bawah naungan Daulah Islam.
Jalan Mana yang Kita Pilih?
People power (gerakan massa) setakat ini hanya memberikan euforia sesaat. Faktanya, people power sentiasa gagal mengubah sistem yang rosak, yang menjadi akar segala masalah. Sebaliknya, metode perubahan politik ala Rasulullah SAW telah terbukti berkesan dalam proses perubahan sehingga melahirkan sebuah peradaban agung.
Maka, jika umat Islam benar-benar ingin keluar daripada kitaran tirani dan ketidakadilan, jawapannya bukanlah demokrasi ataupun people power (gerakan massa). Jawapannya adalah meneladani metode dakwah dan perubahan ala Rasulullah SAW: menempuh tharîqah nabawiyyah, menegakkan Islam secara kâffah, dan membangunkan kembali sistem pemerintahan Islam. Itulah sistem Khilafah ‘alâ minhâj an-Nubuwwah sebagai penyambung Daulah Islam yang telah dirintis oleh baginda buat pertama kalinya.
Lebih-lebih lagi para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa Khilafah adalah kewajipan syarie, bukan sekadar pilihan politik. Salah seorang ulama besar mazhab Syafie, Imam al-Mawardi (w. 450 H), dengan tegas menyatakan:
الإمَامَةُ مَوْضُوعَةٌ لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا، وَعَقْدُهَا لِمَنْ يَقُومُ بِهَا فِي الأُمَّةِ وَاجِبٌ بِالإِجْمَاعِ
“Imamah (Khilafah) itu ditetapkan sebagai pengganti kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia. Mengangkat seorang imam (khalifah) bagi umat hukumnya wajib berdasarkan ijmak.” (Al-Mawardi, Al-Ahkâm as-Sulthâniyyah, hlm. 5).
Imam an-Nawawi (w. 676 H), salah seorang ulama muktabar mazhab Syafie, turut menegaskan:
وَأَجْمَعُوْا عَلَى أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْمُسْلِمِيْنَ نَصْبُ خَلَيْفَةٍ وَوُجُوْبُهُ بِالشَّرْعِ لاَ بِالْعَقْلِ
“Para ulama telah bersepakat bahawa wajib ke atas kaum Muslimin untuk mengangkat seorang khalifah (menegakkan Khilafah). Kewajipan ini adalah berdasarkan syariah, bukan berdasarkan akal.” (An-Nawawi, Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim, 12/205).
Bahkan Imam an-Nawawi menganggap batil pandangan yang menolak kewajipan menegakkan Khilafah. Kata beliau:
وَأَمَّا مَا حُكِىَ عَنِ اْلأَصَمِّ أَنَّهُ قَالَ لاَ يَجِبُ وَعَنْ غَيْرِهِ أَنَّهُ يَجِبُ بِالْعَقْلِ لاَ بِالشَّرْعِ فَبَاطِلاَنِ
“Adapun apa yang diriwayatkan daripada al-‘Asham bahawa Khilafah itu tidak wajib, atau daripada selainnya bahawa Khilafah wajib hanya berdasarkan akal semata-mata, bukan berdasarkan ketentuan syariah, maka kedua-dua pendapat ini adalah batil.” (An-Nawawi, Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim, 12/205).
Oleh itu, Peringatan Maulid Nabi SAW perlu diarahkan untuk memotivasi umat agar benar-benar melakukan perubahan politik ke arah Islam sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Bukan dengan terus mempertahankan sistem demokrasi sekular seperti yang ada pada hari ini. Hanya dengan cara itu, Peringatan Maulid Nabi SAW akan membawa makna yang jauh lebih mendalam.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb.
—*—
Hikmah:
Rasulullah SAW bersabda:
…ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ…
“…Pada akhirnya akan datang kembali era Khilafah yang tegas di atas metode Kenabian…” (HR Ahmad).
Sumber: https://buletinkaffah1.wordpress.com/2025/09/05/edisi-409-hikmah-maulid-nabi-saw-meneladani-metode-perubahan-politik-ala-rasulullah-saw/
#refleksimaulidnabi #muhasabah #maulidnabi #thariqahdakwahnabi #TegakKhilafah