[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 8/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sebagaimana janji Nabi SAW dengan penaklukan kota Rom selepas penaklukan kota Konstantinopel (Istanbul, Turki), serta janjinya untuk memerangi orang Yahudi dan mengalahkan mereka. Janji-janji serta pandangan ilahi ini menambah keteguhan hati untuk terus berjuang dan mengadakan perlawanan, serta menguatkan cita-cita untuk terus berjalan dalam mengemban dakwah demi melangsungkan kehidupan Islam.
- Mencari pertolongan (thalabun nusrah). Hal ini dilakukan setelah wujudnya pendapat umum yang lahir daripada kesedaran umum terhadap idea-idea Islam hasil daripada pergolakan pemikiran dan perjuangan politik. Masyarakat menjadi objek kegiatan parti atau jemaah. Dengan demikian, umat menjadi sedar akan ideologi Islam yang menjadi ideologinya, baik dalam bentuk akidah dan sistem mahupun dalam bentuk idea dan kaedah.
Umat sangat merindukan penerapan semua hukum Islam. Pada tahap inilah parti atau jemaah mula mencari pertolongan serta kekuatan daripada pusat-pusat kekuatan dalam kalangan umat Islam untuk menyingkirkan segala rintangan fizikal yang menghalangi jalan menuju penegakan negara. Hal ini kerana sesungguhnya umatlah yang memiliki kekuasaan. Umat yang akan menggantikan penguasa untuk memimpin dengan ideologi yang mereka kehendaki. Umat jugalah yang melaksanakan pelbagai tindakan fizikal bagi menghancurkan segala halangan yang menghalangi penerapan ideologi ini.
Semua ini diambil dan digali daripada dalil-dalil syarak serta sirah Nabi SAW. Maka, setelah Nabi SAW menentang pemikiran-pemikiran kufur dan para pemimpin kufur, tersebarlah berita dakwah Islam. Penyebaran ini bukan sahaja di Jazirah Arab, bahkan juga ke negara-negara jiran seperti Habsyah dan Rom. Akibatnya, kaum Quraisy semakin meningkatkan serangan mereka, baik secara fizikal mahupun non-fizikal, terhadap para pengemban dakwah.
Oleh itu, Rasulullah SAW mula mendatangi kabilah-kabilah di khemah-khemah mereka pada musim haji. Rasulullah SAW juga menawarkan dirinya, serta meminta pertolongan dan kekuatan daripada mereka untuk melindungi dakwah dan menegakkan negara.
Nabi SAW bersabda kepada mereka, “Wahai Bani Fulan! Sesungguhnya aku adalah Rasulullah kepada kalian. Allah memerintahkan kalian agar menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, agar kalian menghancurkan berhala-berhala yang kalian sembah selain Allah, serta agar kalian beriman kepadaku, membenarkanku, dan menolongku dengan kekuatan sehingga aku dapat menjelaskan agama Allah yang dengannya aku telah diutus.”
Kabilah-kabilah tersebut benar-benar memahami apa yang dicari oleh Rasulullah SAW daripada mereka. Kemudian Bani Amir bin Sha’sha‘ah mensyaratkan agar kekuasaan diberikan kepada mereka setelah Rasulullah wafat sekiranya Allah SWT memenangkan baginda atas orang-orang yang menentangnya.. Namun Rasulullah SAW menolak permintaan itu sambil bersabda, “Perkara itu milik Allah. Dia meletakkannya pada tempat yang dikehendaki-Nya.”
Dalam tahap (marhalah) dakwah ini, Rasulullah SAW menyandarkan aktiviti yang baru kepada aktiviti dakwah yang terdahulu, iaitu mencari pertolongan untuk menegakkan negara. Baginda tidak hanya memfokuskan aktiviti baru pada pembinaan dan interaksi, tetapi tetap bersama kaum Muslimin menyerang akidah dan idea-idea kufur, serta menentang para pemimpin kaum kafir tanpa kompromi.
Mereka bersama Nabi SAW mengerahkan segala kekuatan untuk mengambil kepimpinan manusia secara nyata. Serangan fizikal daripada kaum Quraisy serta berpalingnya kabilah-kabilah tidak mampu menghalangi mereka daripada tujuan tersebut. Dengan itu, kaum Muslimin di Madinah al-Munawwarah melalui kehadiran Mush‘ab bin ‘Umair telah berjaya mewujudkan pendapat umum tentang Islam yang menjadi persiapan masyarakat Madinah untuk meletakkan batu pertama bagi mendirikan negara.
Pada tahun ke-12 kenabian, datang 75 orang Muslim dari Madinah. Setelah berada di tempat perairan—sebagaimana tercatat dalam kitab-kitab sejarah—Rasulullah SAW membaiat mereka dengan Baiat ‘Aqabah II, iaitu baiat peperangan. Termasuk dalam pembaiatan itu disebutkan, “Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, atas dasar apakah kami membaiatmu?’ Baginda bersabda, ‘Kalian membaiatku atas dasar mendengar dan taat dalam keadaan suka mahupun malas, atas dasar memberikan nafkah dalam keadaan sempit mahupun lapang, atas dasar amar makruf nahi mungkar, serta berkata dalam agama Allah tanpa terkesan dengan celaan orang yang mencela. Dan atas dasar bahawa kalian menolongku apabila aku datang kepada kalian, membelaku sebagaimana kalian membela diri, isteri, dan anak-anak kalian. Maka untuk kalian adalah syurga.’ Maka kami pun berdiri dan membaiat baginda.” (HR Ahmad dan Baihaqi)
Dalam Sirah Ibn Hisyam disebutkan, “Kami membaiat Rasulullah SAW dengan baiat peperangan … atas dasar mendengar dan taat … dan agar kami tidak merampas kekuasaan daripada ahlinya.”
Di antaranya juga ucapan mereka, “Sesungguhnya kami mengambil baiat ini walaupun berisiko dengan kerosakan harta benda dan terbunuhnya orang-orang terhormat kami.”
Baiat perang ini menunjukkan bahawa orang-orang Ansar daripada suku Aus dan Khazraj benar-benar telah memberikan pertolongan untuk membangun negara. Mereka kemudian mempersiapkan diri untuk berkorban dengan harta dan jiwa yang paling berharga dalam menolong Rasulullah SAW. Setelah itu, baginda pun datang dan secara nyata berhijrah kepada mereka, setelah sebelumnya para sahabat baginda berhijrah terlebih dahulu.
Mereka dari suku Aus dan Khazraj telah bersedia untuk menyingkirkan setiap rintangan yang menghalangi Rasulullah SAW dalam menegakkan hukum Allah di Madinah. Namun terdapat kelompok-kelompok yang memusuhi dakwah, iaitu orang-orang Yahudi dan musyrikin. Mereka tidak menginginkan adanya pertolongan dalam usaha membangun negara Islam di Madinah. Mereka tidak menampakkan penentangan secara terang-terangan kerana kelemahan dan ketakutan mereka terhadap kekuatan kaum Muslimin.
Oleh sebab itu, mereka menghalang orang-orang yang turut serta dalam Baiat Perang dengan menggunakan kekuatan fizikal untuk melawan mereka pada permulaan berdirinya negara. Mereka benar-benar mula mengadakan pelbagai konspirasi dan tipu daya terhadap negara setelah ia berdiri. Mereka melakukan pelbagai tipu daya dan penipuan, bahkan memberikan bantuan kepada kaum musyrikin Mekah.
Maka, Baiat Aqabah II adalah untuk mencari pertolongan untuk menyingkirkan segala rintangan fizikal yang berpotensi menghalangi berdirinya negara Islam. Mencari pertolongan merupakan salah satu hukum daripada metode syarie dalam melanjutkan kehidupan Islam. Tindakan ini adalah fardhu bagi para pengemban dakwah dan juga umat. Semua wajib melaksanakannya demi menegakkan negara Islam.
Adapun dalil kewajipan menegakkan negara Islam adalah tuntutan yang pasti, dan petunjuknya juga bersifat pasti. Rasulullah SAW menanggung pelbagai kesukaran dan seksaan dalam usaha mencari pertolongan ini. Baginda benar-benar memulainya pada tahun ke-8 kerasulan dan berterusan sehingga berjaya memperolehnya pada tahun ke-12 kerasulan. Rasulullah SAW tidak menghiraukan seksaan yang dialami di Thaif dan penolakan daripada sebahagian kabilah.
Kewajipan menegakkan negara Islam berada di bawah metode syarak yang popular, “Sesuatu perkara wajib yang tidak dapat sempurna melainkan dengannya, maka sesuatu itu juga hukumnya wajib.”
Maka, mendirikan negara Khilafah adalah wajib. Kewajipan ini tidak akan sempurna kecuali dengan adanya kekuatan umat yang memberikan pertolongan kepada dakwah untuk menghancurkan segala rintangan fizikal yang menjadi penghalang kepada berdirinya negara. Adapun ahli nusrah daripada kalangan umat adalah mereka yang melakukan aktiviti fizikal—jika diperlukan—demi membangun negara.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.