SUAMI PUNCA PERCERAIAN
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Berapa banyak jumlah perceraian yang berlaku di negeri ini? Jika di Indonesia, jumlahnya sangat tinggi (setakat realiti semasa artikel ini di tulis). Berdasarkan statistik, dikatakan kadar perceraian di negeri ini adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik. Sebanyak 40 pasangan bercerai setiap jam, dan dikatakan kebanyakan penceraian melibatkan isteri menuntut suami untuk cerai. Jika dilihat sekilas datanya, lelaki mungkin beranggapan wanita atau isteri saat ini degil dan keterlaluan sehingga sanggup menuntut suaminya untuk bercerai. Bukankah meminta cerai itu satu perbuatan yang tercela?
أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّة
“Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau syurga atas wanita tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Disahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).
Hadis itu benar. Meminta cerai daripada suami tanpa alasan yang munasabah adalah perbuatan yang fasik. Tetapi bukankah sabda Nabi itu mengandungi perkataan “fiy ghairi maa ba’sin – dalam perkara yang tidak dibenarkan”?
Al-Ahwadziy dalam wacana at-Tirmidzi menyebut (من غير بأس) adalah segala sesuatu yang bukan kesusahan yang menimpanya sehingga meminta cerai daripada suaminya. Contohnya pergaulan buruk suami dengannya (su’u al-‘usyroh).
Para suami, fahamilah, wanita yang baik dan mulia, terutama yang taat kepada Allah, tidak akan mudah meminta cerai kepada suaminya melainkan masalah yang dirasainya sangat berat, atau dikhuatiri mendapat kemudaratan jika dia terus mempertahankan rumah tangga. Bagi isteri-isteri seperti ini, perceraian adalah jalan keluar yang terakhir.
Namun, kadangkala rumah tangga itu terasa seperti penjara yang menyeksa batin mereka. Ramai wanita terasa seperti tawanan yang dilayan dengan teruk oleh lelaki yang mengahwini mereka. Masalahnya ramai lelaki tidak faham cara melayani isteri dalam perkahwinan. Para suami, tidakkah anda faham bahawa ketika anda berkahwin dengan seorang wanita, dia sebenarnya telah menjadi tawanan dalam dunia anda?
Kedudukannya sangat tidak berdaya. Jika dia ingin menumpukan perhatian kepada anda dan menjaga anak-anaknya, maka dia bergantung kepada anda untuk mencari rezeki. Bukankah ini kedudukan yang begitu lemah? Saat dia memahami bahawa ketaatan seorang isteri memerlukan dia untuk mentaati suaminya, maka hidupnya ada dalam genggaman anda.
Untuk berpuasa sunat pun perlu menunggu restu suaminya. Jika hendak keluar dari rumah mesti mendapatkan keizinan suami. Bahkan untuk menziarahi ibu bapanya yang melahirkan dan membesarkannya, dia wajib mendapatkan keizinan suaminya.
Bagaimanapun, kedudukan isteri sebagai ‘tawanan’ tidak bermakna suami dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya terhadap isteri. Malah, Islam memerintahkan suami untuk berkelakuan baik dan menunaikan hak ‘tawanan’ mereka.
Nabi SAW bersabda:
أَلاَ وَاسْتَوْصُوْا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا فَإِنَّمَا هُنَّ عَوَانٌ عِنْدَكُمْ
“Hendaknya kalian berwasiat yang baik untuk para wanita kerana mereka sebenarnya hanyalah tawanan yang ditawan oleh kalian” (HR At-Thirmidzi no 1163, Ibnu Majah no 1851).
Islam memerintahkan supaya tawanan perang dilayan dengan baik, bukan sewenang-wenangnya. Dalam sesetengah keadaan mereka dibebaskan dengan wang tebusan, manakala yang lain dibebaskan secara percuma. Tawanan perang pun wajib diperlakukan dengan baik, inikan pula seorang isteri?
Islam memerintahkan para suami untuk menunaikan hak isterinya, seperti memberi makan, pakaian dan tempat tinggal, kerana mereka mempunyai hak serta kewajipan terhadap suami. Dan para isteri mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya secara makruf. (Al-Baqarah: 228).
Rasulullah SAW juga memberikan gambaran suami yang baik di mata Allah, adalah suami yang baik pergaulannya pada isteri mereka.
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا
“Orang yang imannya paling sempurna diantara kaum mukminin adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” (HR. Tirmidzi)
Ada segelintir lelaki yang berpegang kepada falsafah yang tidak masuk akal, mereka hanya faham isteri adalah tawanan yang wajib taat kepada suaminya. Mereka cepat menuntut kewajipan isteri, dan tegas melarang isteri melakukan ini dan itu, tetapi mereka menutup mata terhadap hak isteri dan tidak memberikan mereka pergaulan yang makruf.
Ada isteri yang mengeluh kerana suaminya tidak mahu membantunya mengasuh anak, sedangkan dia juga perlu mengurus rumah dan menyediakan makanan untuk keluarga. Sang suami selalu meminta semua pekerjaan rumah selesai dan selalu mengarah-mengarah sang isteri. Perlakuan sang suami persis warden penjara.
Ada juga isteri yang merungut kerana keliru menguruskan wang belanja dan keperluan peribadi, manakala suami pula seperti tidak kisah kerana merasakan rezeki sudah cukup walaupun hakikatnya ianya tidak mencukupi. Ketika sang isteri meminta dengan baik tambahan nafkah, suaminya justeru memarahinya. Bukankah pada pengemis pun kita tidak boleh mengherdik, bagaimana seorang suami boleh bercakap kasar dengan isteri yang menuntut haknya?
Ada juga suami yang melarang isterinya menyambung silaturrahim dengan kedua ibu bapanya, melarangnya mengikuti pengkajian agama, walaupun hanya ke majlis berhampiran rumah. Kerana sang suami berprinsip, sebaik-baik amalan isteri adalah di rumah, hanya di rumah. Sedangkan suaminya sendiri tidak dapat membimbing agama isterinya. Ironi sungguh.
Di dunia ini ramai lelaki yang hanya mempunyai separuh jiwa suami. Mereka tegas dalam menuntut kewajipan isteri, tapi lalai dalam memberikan hak isteri, dan mungkar dalam pergaulan terhadap isteri-isteri mereka. Jika lelaki seperti ini menjadi suami, dia hanya akan menghancurkan kehidupan wanita. Ironinya mereka merasakan bahawa tindakan mereka sudah betul. Mereka tidak faham bahawa kepimpinan seorang suami terhadap ‘tawanan’ bukan sahaja memerlukan ketegasan, tetapi juga tingkah laku yang baik terhadap isteri. Suami perlu ber-mujamalah, alias santun dan kasih sayang, mencukupkan nafkah mereka, dan menjaga silaturrahim dengan keluarga isteri.
Mentaliti suami yang bersikap keras terhadap ‘tawanan’ ini timbul kerana rapuhnya keimanan dan lemahnya ketaatan kepada hukum Allah. Kemudian semakin rapuh kerana keengganan untuk merenung syariat Islam yang mengatur kehidupan suami isteri. Tidak berguna jika dia rajin solat lima waktu, mengingati Allah, menghafaz al-Quran, tetapi jika peribadinya tidak ditundukkan oleh hukum syarak, dia tetap menjadi seorang yang biadap terhadap ‘tawanan’ itu iaitu isteri-isterinya. Semoga jumlah lelaki seperti ini akan berkurangan, kerana mereka hanya merosakkan masa depan wanita dan memusnahkan rumah tangga.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat