[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 14
Masalah 13 : Marah pada pasangan kerana gossip.
Apabila mendengar gossip atau desas-desus tentang pasangan, sebahagian suami atau isteri sekalipun mudah percaya dengan apa yang didengari tanpa peduli akan kebenarannya. Tidak cukup dengan itu, lalu terus ikut mencela atau menuduh tanpa bukti.
Refleksi:
Gosip atau kata-kata liar tentang seseorang sentiasa berhujung dengan keburukan bagi yang menyampaikan mahupun yang mendengar. Islam melarang tindakan bergosip, mengadu domba, dan mengumpat. Jika perbuatan ini berlaku dan sampai ke pendengaran ahli keluarga orang yang diperlakukan, sudah pasti ahli keluarganya akan merasa kecewa dan sedih. Malangnya, tidak semua orang bijak menanggapi gosip dan cenderung bersikap emosional. Maka tidak hairan, ada yang bertindak melulu, ikut mencela atau menuduh pasangan atau ahli keluarga yang menjadi sasaran gosip dengan kata-kata yang melampaui batas.
Terkait hal ini, Allah SWT telah memerintahkan supaya bertabayyun, yakni setiap berita yang sampai ke pendengaran kita hendaklah diperiksa terlebih dahulu. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
[TMQ Al-Hujuraat (49): 6]
Oleh itu, kita tidak boleh terus mempercayai kata-kata orang, sebaliknya kita perlu bertabayyun. Jika tidak, ia akan menzalimi orang yang tidak bersalah dan akhirnya menyesal pun sudah tidak berguna. Bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Apatah lagi jika dampak mempercayai gosip dan desas desus berita bohong bukan hanya merosakkan umat, bahkan berpotensi menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Nauzubillahi minzalik. Dan ingat, Allah SWT juga melarang umat Islam daripada berkata buruk. Mencela dan menuduh tanpa bukti adalah termasuk dalam perbuatan yang buruk.
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [TMQ An-Nuur (24): 19]