Perkara Terlarang oleh Lelaki Selepas Bercerai
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Perkahwinan sememangnya memerlukan kerjasama, keikhlasan serta kesediaan untuk saling mengalah dan mengetepikan ego masing-masing dalam dakapan kasih sayang. Kebersamaan merupakan segalanya, maka sifat saling bertolak ansur sepatutnya menjadi sikap wajib bagi suami mahupun isteri. Namun begitu, tidak semua lelaki atau wanita yang telah melangkah ke alam perkahwinan mampu melaksanakan perkara tersebut. Akibatnya, pintu penceraian pun mula kelihatan terbuka di hadapan mata.
Beruntunglah kerana Islam merupakan agama yang sempurna bagi manusia. Islam bukan sahaja mengatur dan mendorong umatnya untuk berkahwin, tetapi juga menyediakan jalan keluar sekiranya hubungan suami isteri tidak lagi dapat diperbaiki. Islam menghalalkan talak. Bahkan, Allah SWT telah menetapkan peraturan mengenai talak dengan begitu terperinci dan menyeru agar ia dilaksanakan dengan cara yang terbaik, iaitu secara ihsan.
“Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik…” [TMQ al-Baqarah (2): 229]
Pada zaman jahiliah dahulu, seorang lelaki boleh menceraikan isterinya sesuka hati. Kemudian, apabila tempoh ‘iddah isterinya hampir tamat, dia akan merujuknya semula hanya untuk menceraikannya sekali lagi. Perkara ini berulang-ulang dilakukan tanpa batasan. Sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat ini dan memerintahkan para suami agar berlaku secara makruf terhadap isteri mereka. Dan sekiranya mereka ingin menceraikan, maka lakukanlah dengan cara yang penuh ihsan, selaras dengan ketetapan syariat.
Ketika perkahwinan tidak lagi dapat dikekalkan, dan masing-masing mahukan kehidupan yang lebih baik secara berasingan, adalah lebih baik untuk memberi perhatian kepada isu-isu berikut, terutamanya untuk suami:
1. Menghebahkan keburukan bekas pasangan
Lelaki yang suka bercerita ke sana sini tentang keburukan bekas pasangannya bukanlah seorang yang bersikap matang atau gentleman. Sebaliknya, orang lain akan menganggap bahawa lelaki seperti itu sedang cuba mencari alasan untuk menutup kelemahan dirinya sendiri dengan menyalahkan orang lain. Perlu diingat, tidak semua pertelingkahan antara suami dan isteri berpunca daripada kesalahan satu pihak sahaja. Ada kemungkinan kedua-dua pihak turut menyumbang kepada keretakan rumah tangga.
Apatah lagi Allah SWT melarang setiap muslim daripada mengumpat, termasuk mengenai bekas isteri. Sekiranya perlu bercerita atas tujuan mendapatkan nasihat, maka lakukanlah dengan niat yang baik dan kepada pihak yang berkelayakan seperti kaunselor perkahwinan atau ulama.
2. Menceritakan konflik rumah tangga kepada anak-anak
Ada segelintir lelaki yang apabila terlalu marah kepada isteri, mereka mendedahkan pelbagai kisah konflik rumah tangga kepada anak-anak. Wahai saudara, sedarlah bahawa perbuatan ini memberi kesan buruk kepada emosi dan mental anak-anak. Bukan sahaja anak kecil, bahkan yang sudah remaja pun boleh terkejut dan terganggu apabila mendengar keputusan ibu bapa mereka untuk bercerai. Lebih-lebih lagi jika si ayah sendiri yang menceritakan perkara itu kepada mereka.
Cukup sampaikan kepada mereka bahawa keputusan ini amat berat untuk diambil, minta maaf kepada mereka kerana anda tidak dapat hidup bersama lagi dengan ibu mereka. Jika mereka bertanya, jawab dengan bijaksana dan tidak perlu memberi butiran yang terlalu mendalam. Jangan lupa untuk menguatkan hati mereka, dan katakan bahawa penceraian ini bukan kesalahan anak-anak, tetapi kesalahan ayah dan ibu mereka.
3. Menghalang bekas isteri untuk berkahwin semula
Jadilah seorang lelaki yang adil! Apabila anda sudah bercerai, maka tiada lagi ikatan antara kalian selain ukhuwah Islamiyyah. Oleh itu, biarkan bekas isteri anda memilih jalan hidupnya sendiri dan berbahagia bersama orang lain. Allah SWT mengharamkan sesiapa sahaja menghalang seorang muslimah daripada berkahwin dengan lelaki pilihannya. Bukan hanya bekas suami, walinya juga tidak boleh menghalang perkahwinan mereka.
Firman Allah SWT:
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ‘ maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh syarak).” [TMQ al-Baqarah (2): 232]
Begitu juga dengan pesan Nabi SAW:
“Seorang janda lebih berhak atas dirinya sendiri daripada walinya, dan seorang gadis harus dimintakan izinnya, dan izinnya adalah diamnya.” (HR. Muslim).
4. Tidak Mahu ‘Move On’
Beberapa tahun yang lalu, sebuah kajian yang dijalankan oleh sebuah badan penyelidikan di AS menunjukkan bahawa kehilangan pasangan adalah penyebab utama penderitaan bagi manusia, termasuk lelaki. Sehebat mana pun lelaki, mereka tetap memiliki perasaan. Sudah tentu, penceraian itu meskipun dilakukan dengan baik, iainya tetap menyakitkan. Apatah lagi jika kemudian melihat bekas pasangan hidup bahagia dengan suami baru.
Namun begitu, berlarut-larut dalam kesedihan bukanlah penyelesaian. Semua musibah itu adalah ketetapan dari Allah SWT, termasuk berakhirnya perhubungan jodoh, ia adalah sebahagian daripada takdir Allah, baik kerana kematian ataupun penceraian. Hadapilah dengan keimanan. Percayalah bahawa pasti ada hikmah di sebalik semua itu.
Mulailah untuk ‘move on’! Ambil peluang terbaik dalam pekerjaan, dakwah, dan keluarga. Kini adalah masa untuk mengejar kejayaan atau tugas-tugas yang selama ini tertangguh kerana menguruskan penceraian. Jangan lupa, sentiasa ada peluang untuk mendapatkan cinta yang baru. Lebih segar, lebih baru, dan lebih diberkati. Insya Allah.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#perceraian