[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 15
Masalah 14 : Pengabaian nafkah dengan sengaja
Isu pengabaian nafkah bukanlah hal terpencil. Ramai suami dilaporkan mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, sedangkan isteri kadangkala malu untuk meminta.
Terkait isu ini, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 1,189 aduan terhadap bekas suami yang gagal menunaikan perintah nafkah direkodkan di Selangor sejak 2022 hingga 31 Mei lalu, dengan jumlah aduan meningkat setiap tahun iaitu 332 kes (2022), 391 kes (2023) dan 422 kes (2024).
Daripada jumlah aduan itu, 1,099 kes didaftarkan sejak 2023 hingga Mei lalu dengan 71 peratus daripadanya telah diselesaikan. Berdasarkan kenyataan Dr Mohammad Fahami Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi), cabaran utama ialah bapa yang bekerja sendiri dan mengelak tanggungjawab, justeru pindaan undang-undang sedang dirangka untuk memastikan kebajikan ibu serta anak terus terpelihara.
Bukan hanya di Selangor, malah masalah pengabaian nafkah menimpa institusi keluarga muslim boleh didengari dan didapati di mana-mana pada zaman kini menunjukkan masalah meruncing isu penafkahan.
Refleksi:
Allah SWT berfirman yang maksudnya,
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 34]
Berdasarkan ayat ini, pemberian nafkah kepada isteri dan ahli tanggungan merupakan kewajipan yang dipikul oleh lelaki sebagai suami. Nafkah adalah tuntutan syarie yang tidak boleh diabaikan. Jika suami mengabaikan atau memandang ringan kewajipan ini, maka ia boleh menjerumuskannya ke dalam dosa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Cukuplah engkau berdosa jika menahan hak orang yang kau tanggung dan kau asuh.” [HR Muslim]
Ada satu hadis yang wajar direnungi oleh para suami /ayah agar bersemangat, tidak kedekut dan tidak culas dalam menafkahi keluarganya:
“Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang engkau keluarkan untuk seorang hamba, satu dinar yang engkau berikan kepada orang miskin, serta satu dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang engkau berikan kepada keluargamu.” (HR Muslim)
Demikianlah keutamaan menunaikan tanggungjawab menafkahi keluarga, ia mendahului amal soleh dan keperluan sedekah yang lainnya. Oleh itu, tunaikan nafkah dengan ikhlas, redha dan syukur. Mudah-mudahan Allah SWT menambahkan nikmat-Nya dan keberkatan dalam kehidupan dunia dan akhirat para pejuang nafkah keluarga Muslim!