Sudahkah Kita Mencintai Pasangan Sepenuh Hati kerana Allah SWT?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Menjalani mahligai kehidupan rumah tangga memang bukan suatu perkara yang mudah. Sebahagian orang mengatakan, ia tidak semudah membalikkan tapak tangan. Meniti kehidupan rumah tangga diibaratkan sebuah bahtera yang mengharungi lautan luas. Kadangkala hanya riak-riak kecil yang menemani perjalanan. Namun, kadangkala ombak besar dan angin kencang menghadang sehingga kapal terumbang-ambing. Malah, ada kalanya gelombang besar atau badai menghentam sehingga bahtera kita hampir terbalik. Oleh itu, kita mestilah berusaha keras mengendalikannya agar bahtera ini dapat kembali berlayar dengan normal mengharungi lautan.
Demikian juga halnya dengan bahtera rumah tangga kita, kadangkala suami atau isteri berasa kecewa terhadap pasangannya. Ada masanya perbezaan pendapat, perselisihan, dan ujian melanda keluarga kita. Secara ideal, keadaan ini perlu dihadapi dengan hati dan fikiran yang jernih serta terbuka, sentiasa berprasangka baik dan berlapang dada terhadap pasangan, serta menjadikan Islam sebagai panduan dalam menyelesaikannya.
Ujian dalam Perkahwinan Adalah Perkara Lumrah
Tiada keindahan yang melebihi indahnya pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan rumah tangga berlandaskan cinta kerana Allah SWT dan sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai pedoman. Satu tujuan yang ingin mereka capai dalam mengharungi kehidupan rumah tangga ialah memasuki syurga bersama-sama.
Dalam menjalani kehidupan rumah tangga, ada kalanya seorang mukmin diuji oleh Allah SWT. Sesungguhnya, hal ini merupakan perkara lumrah. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada ujian yang telah Allah SWT tetapkan ke atas dirinya. Begitu juga ujian dalam kehidupan perkahwinan, sama ada yang timbul daripada pasangan mahupun daripada faktor luar. Rumah tangga yang pada awalnya tenteram dan bahagia, seiring berlalunya waktu juga kadangkala dilanda badai dan tergoncang.
Setiap ujian perlu dihadapi oleh pasangan suami isteri agar perjalanan bahtera perkahwinan tetap stabil menuju sakinah, mawaddah, dan penuh rahmat Allah SWT. Oleh itu, situasi ini mesti segera diselesaikan. Berbuat makruf kepada pasangan adalah kewajipan yang perlu ditunaikan sehingga ketenangan dalam keluarga dapat terwujud. Allah SWT mengajarkan kita,
مَآ اَصَابَ مِنْ مُّصِيْبَةٍ اِلَّا بِاِذْنِ اللّٰهِ ۗوَمَنْ يُّؤْمِنْۢ بِاللّٰهِ يَهْدِ قَلْبَهٗ ۗوَاللّٰهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” [TMQ At-Taghabun (64):11]
Bukti Kita Mencintai Pasangan kerana Allah
Mencintai pasangan kerana Allah sebenarnya bukan hanya diungkapkan secara lisan semata-mata, tetapi perlu dibuktikan melalui perilaku dan sikap. Pasangan suami isteri hendaklah memupuk dan menyuburkan perkara ini agar kehidupan keluarga yang berkekalan, sakinah, mawaddah, dan rahmah dapat terwujud. Jadi, apakah sikap dan perilaku yang boleh menjadi bukti?
- Bersandar kepada Allah dan syariatNya dalam menjalani kehidupan perkahwinan.
Sebagai keluarga Muslim, pasangan suami isteri sewajarnya menjadikan Allah sebagai tempat bersandar. Ini bermakna menjadikan syariat Islam sebagai panduan dan penyelesaian bagi seluruh permasalahan yang berlaku dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram dijadikan landasan, bukannya hawa nafsu. Di sinilah pentingnya suami isteri memperkukuh pemahaman mereka tentang syariat Islam, kemudian berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya sesuai dengan tuntunan Allah SWT dan RasulNya.
Apabila syariat Islam dijadikan landasan dalam berkeluarga, maka apabila berlaku perbezaan pendapat dalam perjalanannya, ia dapat meminimumkan perselisihan dengan pasangan. Hal ini kerana syariat Islam merupakan aturan yang sempurna dan tetap, tidak lapuk ditelan zaman. Selama syariat Islam dijadikan pedoman dalam rumah tangga, keberkatan dan ketenteraman akan sentiasa tercurah kepada keluarga kita.
- Berusaha bergaul secara makruf dengan pasangan.
Allah SWT telah memerintahkan agar suami bergaul secara makruf dengan isterinya, demikian juga sebaliknya, sebagaimana sahabat yang saling melengkapi. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap para isterinya. Baginda tidak pernah bermasam muka di hadapan isteri-isterinya dan tidak pernah menunjukkan kecenderungan kepada wanita lain. Ini sesuai firman Allah SWT, “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)..” [TMQ An-Nisaa (4): 19]
Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam bergaul secara makruf dengan keluarganya. Daripada Mu‘awiyah al-Qusyairi, Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah hak seorang wanita atas suaminya?” Rasulullah SAW menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan dan engkau memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah memukulnya pada wajah, jangan mencaci maki, dan jangan menjauhinya, melainkan di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Majah].
- Berusaha memenuhi kewajipan yang merupakan hak pasangan.
Sebagaimana seorang sahabat dengan persahabatan yang sempurna, seorang suami dituntut untuk melaksanakan kewajipannya dan memenuhi hak-hak isterinya. Hal ini berlaku juga sebaliknya. Seorang suami wajib memberikan mahar dan nafkah kepada isterinya, melindungi, serta menjaga isteri dan anak-anaknya. Begitu juga seorang isteri, dia wajib menunaikan hak suaminya sepenuhnya serta mentaati permintaan dan perintah suaminya selama tidak terdapat pelanggaran hukum syarak di dalamnya.
Dari Ibnu Abbas, beliau berkata, “Hak isteri adalah persahabatan dan pergaulan yang baik daripada suami terhadapnya, setimbang dengan kewajipan isteri berupa ketaatan kepada suami yang diwajibkan atasnya.” Rasulullah SAW juga telah berwasiat dalam khutbah Haji Wada’, “Maka bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya kamu mengambil mereka kerana amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu farji mereka dengan kalimat Allah. Hak kamu atas wanita tersebut untuk tidak memasukkan orang yang kalian benci, maka jika isterimu melakukannya, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan bekas dan bagi mereka rezekinya dan pakaian dengan makruf.”
- Berusaha membahagiakan pasangan sesuai tuntunan Islam.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, diceritakan oleh sahabat Hushain bin Mihshan bahawa ibu saudaranya pernah mendatangi Rasulullah SAW untuk suatu keperluan. Setelah urusannya selesai, Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “Apakah kamu mempunyai suami?” dia menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimanakah sikapmu terhadapnya?” Dia menjawab, “Aku tidak pernah mengabaikannya, kecuali pada perkara yang memang aku tidak mampu.” Baginda bersabda, “Perhatikanlah kedudukanmu terhadapnya. Sesungguhnya yang menentukan syurga dan nerakamu terdapat pada (sikapmu terhadap) suamimu.” [HR Ahmad]
Suami adalah syurga dan neraka bagi isteri. Oleh itu, isteri mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagiakan suaminya. Hiasilah diri dengan sifat-sifat terpuji agar suami berasa tenteram. Hal ini dapat membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat bersama suaminya. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita adalah seorang isteri yang membahagiakan suaminya ketika dia memandangnya, mentaatinya ketika dia memerintahkannya, dan tidak menentangnya dalam urusan diri dan hartanya sehingga menyebabkan kebenciannya.” [HR Ahmad].
Rasulullah SAW juga bersabda, “Perlakukanlah wanita dengan baik kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Dan sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang rusuk itu ialah paling atas. Jika engkau ingin meluruskannya, engkau akan mematahkannya. Jika engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok. Maka perlakukanlah wanita itu dengan baik.” [HR Imam Bukhari].
Hadis ini menekankan bahawa seorang suami hendaklah berlaku baik, menyayangi, membahagiakan, dan sentiasa berusaha menasihati isterinya.
- Menerima kekurangan pasangan dan selalu mengingat kebaikannya.
Bagaimanapun, tiada manusia yang sempurna di muka bumi, termasuk kita dan pasangan. Hanya Allah Yang Maha Sempurna. Para suami hendaklah menyadari bahawa perempuan yang dinikahinya adalah perempuan biasa yang memiliki kelemahan dan kekurangan. Begitu juga sebaliknya, para isteri hendaklah menyedari perkara yang sama. Untuk itu, Allah SWT mengurniakan pasangan untuk mendampingi agar kebaikannya semakin sempurna dan semakin berkurang kelemahannya, serta saling melengkapi dan menguatkan.
Menerima kekurangan pasangan memang bukan perkara mudah. Namun, menerima kekurangan pasangan yang diimbangi dengan mengingati kebaikannya merupakan perkara penting dalam berumah tangga. Pasangan suami isteri perlu memahami bahawa setiap orang memiliki keterbatasan tetapi juga memiliki kelebihan. Berbincang dan sentiasa mengingati kebaikan pasangan akan menimbulkan sikap saling memberikan semangat. Dengan demikian, kekurangan tersebut dapat diubah menjadi kekuatan pada kemudian hari.
- Saling bersabar terhadap pasangan.
Rutin seharian dalam menjalani kehidupan rumah tangga kadangkala akan menimbulkan rasa ketepuan. Bahkan perilaku pasangan yang kurang menyenangkan kadangkala menimbulkan ketidakselesaan yang berakhir dengan perselisihan. Salah satu kunci kelestarian perkahwinan adalah bersabar dalam berinteraksi dengan pasangan. Kesabaran memberikan banyak keajaiban, bukan sahaja dalam hubungan suami isteri, tetapi juga kepada ahli keluarga yang lain. Sabar akan menjadikan hubungan suami isteri berkekalan dan bermakna.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para suami agar tetap sabar menghadapi sikap para wanita (isteri) yang kurang disukai. Walaupun terdapat sikap isteri yang tidak menyenangkan, ini tidak menjadi alasan bagi para suami untuk bermasam muka atau berlaku kasar. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah marah (lelaki muslim/suami) kepada seorang wanita muslimah (isteri). Jika tidak menyukai suatu perangai darinya, maka sukailah perangainya yang lain.” [HR Imam Muslim dan Imam Ahmad].
- Saling menasihati dan mengingatkan.
Mencintai pasangan kerana Allah SWT bermakna kita tidak membiarkan pasangan melakukan kesalahan atau pelanggaran hukum syarak walau sekecil apa pun. Persahabatan yang sempurna membuat pasangan suami isteri tidak pernah rela pasangannya melakukan kesalahan, baik yang disengajakan atau yang tidak disengajakan. Saling memberi nasihat menunjukkan wujud perasaan saling mencintai kerana Allah SWT. Tujuannya adalah menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhkan pasangan daripada melakukan maksiat kepadaNya.
Nasihat yang diberikan pada waktu dan dengan cara yang tepat, lemah-lembut, serta tidak menghakimi akan membuatkan pasangan berasa tenang dan tenteram ketika menerima nasihat. Saling menasihati dengan makruf akan menjaga kemuliaan pasangan. Apabila timbul masalah, ia tidak dihebahkan ke luar, tetapi diselesaikan bersama dengan perbincangan dan komunikasi yang berterusan.
Khatimah
Rasa cinta dalam menjalani kehidupan rumah tangga kadangkala ada pasang surutnya. Tidak semua pasangan suami isteri mampu konsisten terhadap rasa cinta tanpa dipupuk. Namun, cinta yang tumbuh kerana iman, amal soleh, dan akhlak mulia akan sentiasa bersemi dan tumbuh subur. Tidak lekang kerana ujian dan cubaan, tidak akan pudar kerana ada perkara-perkara yang mengecewakan, serta tidak putus walaupun ajal menjemput. Jika sudah mencintai pasangan hidup kerana Allah SWT, seorang lelaki akan menafkahi, melindungi, dan menjaga isterinya. Begitu juga seorang wanita akan taat dan berbakti kepada suaminya. Doa-doa terbaik akan terus mengalir untuk pasangan hidupnya ketika jauh mahupun dekat.
Perasaan cinta yang tulus kepada pasangan kerana Allah SWT akan membawa seseorang pada kemurnian cinta. Umat muslim yang berbuat demikian kelak akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT di syurga. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya, orang-orang yang saling mencintai, kamar-kamarnya di syurga nanti terlihat seperti bintang yang muncul dari Timur atau bintang Barat yang bercahaya.” Lalu ada yang bertanya, “Siapakah mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Mereka itu adalah orang-orang yang mencintai kerana Allah ‘Azzawajalla.” [HR Ahmad]
Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#mencintaimu #baitijannati