[Mafahim Islamiyyah] Metode Syarie untuk Melanjutkan Kehidupan Islam (Bahagian 10/12)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Sesungguhnya orang-orang yang menggunakan metode tersebut dalam melakukan perubahan tidak memahami perbezaan antara realiti yang sedang kita jalani sekarang dengan realiti yang telah ditegaskan oleh hadis-hadis tersebut. Sesungguhnya realiti pada masa kini, yang kita lihat sebagai kekufuran yang nyata (khalifah menerapkan hukum kufur), belum berlaku pada zaman kita ini. Sebaliknya, kita telah hidup di dalam negara kufur sejak kita baligh.
Kita dilahirkan dalam negara kufur dan hidup di dalamnya dengan sistem kehidupan selain Islam. Keadaan negara dan kehidupan kita tidak berubah sejak Khilafah diruntuhkan pada tahun 1924M, ketika Mustafa Kamal Attartuk dan banyak penguasa di dunia Islam mengumumkan bahawa mereka meninggalkan hukum Islam dan menggantinya dengan hukum-hukum kufur.
Apabila keadaan sudah sedemikian, menjadi kewajipan atas kaum Muslim yang menyaksikan kemungkaran besar itu untuk mengangkat senjata terhadap mereka yang melakukannya, dan membunuh sesiapa sahaja yang berdiri menentang penerapan hukum Islam.
Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka menunjukkan bahawa orang yang ditujukan (mukhathab) untuk mengangkat senjata dan memerangi penguasa adalah kaum Muslim yang telah menyaksikan perubahan Negara Islam menjadi negara-negara kufur. Sesungguhnya kekuasaan, kekuatan, dan keamanan pada ketika itu dimiliki oleh kaum Muslim. Mereka telah membaiat para khalifah dan para penguasa dengan baiat ketaatan agar mereka memimpin kaum Muslimin dengan hukum Islam.
Kemudian apabila datang seorang penguasa lain yang merampas serta merebut kekuasaan daripada para khalifah untuk memerintah kaum Muslim dengan selain hukum yang telah diturunkan oleh Allah, wajiblah atas kaum Muslim untuk menentang serta memeranginya sehingga dia kembali kepada Allah Taala. Jika tidak, maka mereka hendaklah membunuhnya serta membaiat penguasa lain yang akan memerintah mereka dengan hukum yang telah diturunkan oleh Allah. Sebab, hadis pertama telah menegaskan dengan kalimat: “Kecuali apabila kamu melihat kekufuran secara terang-terangan, di mana kamu mempunyai bukti nyata daripada Allah tentang kekufuran itu.”
Ini bermakna bahawa sebelum ini kalian tidak melihat kekufuran terbuka daripada pihak berkuasa, tetapi kemudian kalian menyaksikannya. Maka hadis itu adalah seruan (khithab) kepada orang yang telah menyaksikan perubahan daripada Islam kepada kufur. Sedangkan hadis yang kalimatnya berbunyi: “Para sahabat bertanya: ‘Adakah kami tidak memerangi mereka?’ Nabi bersabda: ‘Tidak, selagi mereka masih menegakkan solat bersama kalian.’”
Maknanya, janganlah kalian memerangi para penguasa selagi mereka masih menerapkan hukum Allah. Namun apabila mereka meninggalkan hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum lain (hukum kufur), maka perangilah mereka untuk mengembalikan penerapan hukum Allah. Hadis itu juga merupakan seruan bagi mereka yang menyaksikan perubahan para penguasa dalam pelaksanaan Islam.
Adapun berhubung membunuh orang-orang murtad, sama ada dalam kalangan penguasa mahupun rakyat, maka ia bukan bidang kuasa individu mahupun parti-parti tertentu. Sebaliknya, ia hanyalah bidang kuasa penguasa Muslim. Oleh itu, adalah wajib bagi kaum Muslim untuk berjuang mengikut metode syarie bagi melahirkan seorang penguasa yang menerapkan Islam secara menyeluruh, termasuk melaksanakan semua had serta membunuh orang-orang murtad.
Maka realiti yang sedang kita hadapi pada hari ini dan realiti yang menuntut perubahan adalah menyerupai realiti yang dihadapi oleh Rasulullah SAW di Mekah sejak baginda diutuskan. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi para pengemban dakwah untuk meneliti dalil-dalil serta hukum-hukum syarak yang boleh diterapkan ke atas realiti semasa yang kita hidup di dalamnya, agar kita terikat dengannya dalam melaksanakan aktiviti perubahan.
Sebahagian ulama berpendapat tentang kebolehan melakukan aktiviti fizikal untuk perubahan berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA, baginda berkata, “Aku dan Nabi SAW berjalan sehingga kami sampai ke Kaabah, kemudian Nabi SAW berkata kepadaku, “Duduklah,” dan baginda menaiki bahuku, kemudian aku cuba bangun bersamanya. Baginda menyedari bahawa aku tidak cukup kuat untuk bangun, maka baginda turun dan duduk keranaku. Rasulullah SAW bersabda: ‘Naiklah engkau ke atas bahuku!’ Aku pun naik, lalu baginda berdiri bersamaku. Sehingga aku merasa seandainya aku mahu, nescaya aku boleh sampai ke ufuk langit. Kemudian aku naik ke atas Baitullah. Di atasnya terdapat patung yang diperbuat daripada gangsa atau tembaga. Aku memerhatikannya dari kanan, kiri, depan dan belakang. Setelah aku dapat memegangnya, Rasulullah SAW memberi isyarat kepadaku. Aku pun menjatuhkan patung itu, lalu ia pecah berderai sebagaimana pecahnya botol. Kemudian aku turun dan berjalan bersama Rasulullah dengan cepat sehingga kami menyelinap melalui rumah-rumah kerana bimbang dilihat oleh manusia.”
Hadis yang dijadikan dalil oleh sebahagian ulama ini tidak menunjukkan kebolehan melakukan aktiviti fizikal dalam mengemban dakwah kerana beberapa sebab berikut:
a. Hadis itu menjelaskan tentang aktiviti individu Rasulullah SAW. Baginda melakukannya secara sembunyi-sembunyi dan tidak memerintahkan sahabat untuk melakukan hal yang sama. Bahkan baginda sangat berhati-hati—sebagaimana kata Ali bin Abi Talib—agar tidak dilihat oleh seorang pun manusia.
b. Aktiviti Rasulullah SAW itu bertentangan dengan sabdanya kepada para sahabat ketika mereka meminta izin untuk membalas kejahatan dengan cara yang sama: “Kita belum diperintahkan sedemikian.” Apabila terdapat percanggahan antara perbuatan dan perkataan, maka didahulukan perkataan.
c. Aktiviti itu berlaku lebih awal daripada sabda Nabi dalam baiat Aqabah II kepada sahabat Ansar: “Kita belum diperintahkan sedemikian.” Ketika mereka meminta izin untuk memerangi penduduk Mina yang merupakan kaum musyrik. Jika terdapat dua dalil yang kelihatan bertentangan, dan dapat diketahui yang mana lebih awal, maka yang terdahulu dinasakh (dimansuhkan) dengan dalil yang datang kemudian.
d. Jika aktiviti fizikal ini dibandingkan, ia menyerupai tindakan Nabi Ibrahim AS terhadap berhala-berhala kaumnya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan kebatilan akidah mereka yang menyembah berhala yang tidak mampu menolak mudarat ke atas dirinya sendiri.
Aktiviti sebegini lebih dekat kepada aktiviti pemikiran berbanding aktiviti fizikal. Ini kerana Nabi Ibrahim tidak menjatuhkan mudarat ke atas sesiapa pun daripada kaum musyrik, sebaliknya mendorong mereka untuk berfikir tentang hakikat berhala-berhala yang mereka sembah. Jika berhala-berhala itu lemah untuk membela diri sendiri, maka sudah tentu ia tidak berhak untuk disembah.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.