[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 16
Masalah 15 : Membenci keluarga mertua dan kerabatnya
Suami berterus terang bahawa dia membenci keluarga dan kerabat isterinya. Bagaimana jika situasi tersebut juga berlaku oleh isteri kepada keluarga suaminya?
Refleksi:
Dalam kehidupan rumah tangga, hubungan menantu dan mertua sering kali menjadi cabaran yang tidak kecil. Ada yang beranggapan menantu tidak memiliki kewajipan untuk menghormati atau membantu mertua, lalu bersikap acuh tak acuh. Padahal, akad pernikahan bukan hanya menyatukan dua insan, tetapi juga mempertautkan dua keluarga besar. Maka, sudah sepatutnya lahir tanggungjawab moral, sosial, dan agama di dalamnya.
Islam menekankan agar seorang Muslim berbuat baik kepada ibu bapa dan kerabat. Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membangga-banggakan diri;” [TMQ An-Nisaa’ (4): 36]
Bagi seorang suami, mertua adalah ibu bapa kepada isterinya. Ibu bapa kita memiliki jasa besar dalam membesarkan, mendidik, dan menyerahkan anak untuk menjadi pasangan hidup. Maka, menghormati mertua juga bererti menghargai isteri. Begitu juga sebaliknya, bagi isteri kepada ibu bapa suami.
Rasulullah SAW bahkan mengajarkan kepada kita supaya menghormati yang lebih tua,
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
“Bukan termasuk kami orang yang tidak merahmati yang lebih kecil dan menghormati yang lebih besar.“ [HR at-Tirmidzi. Ash Shahihah : 2196]
Oleh itu, suami tidak boleh begitu saja membenci mertua dan kerabat isteri. Sikap ini bukan sekadar perasaaan peribadi, tapi turut memberi kesan pada hubungan, yang mana akan cenderung memisahkan isteri daripada keluarganya. Meletakkan isteri dalam dilema antara menjaga perasaan suami dan keluarganya sendiri. Walhal, isteri telah lama hidup bersama mereka, dengan kenangan serta kedudukan istimewa yang hanya Allah ketahui.
Ada syair berbunyi:
“Kekasih dari kekasihku adalah juga kekasihku,
dan musuh dari kekasihku adalah juga musuhku.”
Sepatutnya kita hendaklah menghadapi kekurangan atau perkara- perkara yang tidak menyenangkan (jika ada) dari pihak keluarga dan kerabat dengan sabar, sepakat dan bijaksana, tanpa perlu memunculkan konflik antara satu sama lain. Perlu juga diingat bahawa, jika pasangan membenci keluarga mertua tanpa alasan syarie, sebenarnya dia sedang menyakiti hati pasangannya.
Maka, cintailah keluarga pasanganmu, pertamanya kerana Allah. Dan kedua kerana cinta kepada pasangan kita, suami isteri. Andai kebencian muncul hanya kerana perkara duniawi, serahkanlah urusannya kepada Allah. Namun, jika terkait hal-hal syarie, maka suami tetap perlu menasihati isterinya dengan cara yang baik, tanpa melukakan hatinya. Dan isteri perlu mendengar dengan lapang dan bersikap matang. Kedua-dua, suami dan isteri, perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian terbaik secara bersama dalam menghadapi ujian kekeluargaan tersebut.
Kesimpulannya, menghormati mertua bukan hanya adab, tetapi sebahagian daripada ajaran Islam. Dengan menghargai keluarga pasangan, kita sebenarnya berusaha menjaga keharmonian rumah tangga dan membuka jalan kepada terwujudnya keluarga sakinah, mawaddah, wa rahmah.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim