Protes Boleh, Rusuh Jangan: Islam Ajarkan Demonstrasi Beradab
Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)
Jika ada yang kata “Demonstrasi itu tidak ada faedahnya”, eh jangan silap ya. Demonstrasi alias tunjuk perasaan itu adalah sebahagian daripada cara rakyat menyuarakan isi hati dan fikiran mereka. Ia bukan sekadar menjerit-jerit di jalanan, tapi membuktikan rasa cinta mereka terhadap negeri, merupakan tindakan amar makruf nahi mungkar, sekaligus sebagai tanda mereka masih peduli terhadap kebijakan pemerintah yang zalim.
Cuba bayangkan, jika rakyat diam sahaja, pihak penguasa akan semakin bertindak zalim. Nak naikkan barang? Okey. Nak tingkatkan kadar cukai? Okey, teruskan. Nak potong subsidi? Boleh sahaja. Jadi, kita yang terkesan ini cuma mampu gigit jari. Disebabkan itu, demonstrasi sangat penting. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Demonstrasi bukan bererti rakyat bebas sesuka hati membuat rusuhan. Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Islam juga tidak mengajar umatnya membuat kerosakan.
Rasulullah SAW pernah bersabda,
“Seorang Muslim adalah orang yang kaum Muslimin lainnya selamat dari lisan dan tangannya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Ertinya, jika rakyat melakukan demonstrasi, dalam masa yang sama mereka menyebabkan orang lain merasa takut, merosakkan fasiliti awam, membakar tayar, malah mereka juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk tanpa kawalan. Ini semua bukan cara Islam ajar berdemonstrasi. Ini semua justeru menambah masalah.
Demonstrasi Anarki = Zalim Berganda
Pertama, zalim kepada diri sendiri. Penat menjerit dan berteriak, tetapi pesannya tidak sampai kerana tertutup oleh citra buruk daripada kerosakan yang dilakukan. Apa yang viral justeru pembakaran dan penjarahan.
Kedua, zalim kepada orang lain. Pelajar-pelajar sekolah terpaksa bersekolah di atas talian (secara online) selama seminggu. Peniaga kecil tidak boleh berniaga kerana jalannya ditutup. Fasiliti awam rosak, justeru rakyat juga yang menyumbangkan dana untuk tujuan pembaikan. Jadi, alih-alih mahu menyampaikan aspirasi, demonstrasi anarki malah menyebabkan rakyat bertambah sengsara.
Islam mengajarkan bil hikmah wal mau’izhah hasanah, iaitu sampaikan dengan hikmah dan nasihat yang baik. Jika amar makruf nahi mungkar dengan cara yang merosakkan, yang berlaku adalah makruf-nya hilang, munkarnya bertambah.
Lalu, bagaimana demonstrasi yang benar?
Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, pendiri Hizb ut-Tahrir mempunya pandangan unik terkait cara menasihati penguasa. Beliau menekankan bahawa perjuangan politik dalam Islam bukan dengan kekerasan fizikal, apatah lagi huru-hara, tapi dengan dakwah pemikiran.
Menurut beliau, rakyat boleh bahkan wajib memuhasabah penguasa. Apakah caranya? Iaitu dengan menyampaikan aspirasi, protes, dan kritik secara terbuka, dengan syarat semua itu dilakukan tanpa kekerasan. Intinya, fokus untuk menyedarkan, bukan menakut-nakutkan. Syaikh Taqiyuddin menyebut ini sebagai jalan damai untuk perubahan.
Tips Demonstrasi ala Islam, Non-Anarki, Tapi Tetap Kuat
Pertama, niat yang lurus. Demonstrasi bukan untuk tujuan bergaya atau untuk tujuan content TikTok. Luruskan niat untuk beramar makruf nahi mungkar, cari redha Allah, dan memperjuangkan hak rakyat.
Kedua, bahasa damai. Poster, sepanduk, dan seruan hendaklah menggunakan bahasa yang tajam namun sopan. Kritik keras boleh, asalkan tidak berlaku caci maki yang kasar apatah lagi menghina peribadi (personal attack).
Ketiga, tertib dan terorganisasi. Demonstrasi jangan dilakukan secara spontan atau mengejut tanpa perancangan. Dalam pengaturan demonstrasi perlu ada komando, ada aturan barisan, dan ada koordinator. Ingat, Rasulullah SAW mengajarkan keteraturan dalam setiap urusan.
Keempat, jangan merosakkan fasiliti awam. Ia adalah hak rakyat, bukan hak penguasa. Oleh itu, jangan sampai kita merosakkan barang milik sendiri.
Kelima, menguatkan hujah seruan dengan sandaran dalil dan data. Aspirasi yang kita sampaikan mestilah berkualiti. Sertakan dalil Al-Quran, hadis, dan data lapangan agar suara kita mempunyai autoriti moral dan intelektual.
Keenam, fokus pada tuntutan, bukan keributan. Jangan mudah terprovokasi. Jika ada penyusup yang sengaja mencetus kekacauan, jangan ikut. Ingat, tujuan utama kita adalah menyampaikan aspirasi, bukan mencipta headline buruk di media.
Ketujuh, doa dan tawakal. Jangan lupakan senjata kuat umat Islam. Demonstrasi boleh dilakukan secara lantang, tetapi doa lebih lantang di langit.
Mengapa Islam Mendorong Perubahan Damai?
Ini kerana Islam ingin perubahan sistem, bukan sekadar pergaduhan sesaat. Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan, jika umat ingin mengubah keadaan, maka lakukan dengan kesedaran politik dan pemikiran. Didik umat, membangun opini, dan arahkan agar rakyat mengetahui dan memahami solusi Islam. Jika umat sudah sedar, perubahan besar boleh berlaku tanpa perlu bakar membakar.
Lihat sejarah Rasulullah SAW di Mekah. Baginda menghadapi penguasa Quraisy yang zalim, tapi baginda tidak pernah memimpin tindakan rusuhan. Apa yang baginda lakukan adalah tabyin (penjelasan), dakwah, dan menegakkan hujjah. Sehingga akhirnya, Islam menang bukan dengan kekacauan, tapi dengan strategi dakwah dan pertolongan Allah.
Bayangkan jika demonstrasi yang kita lakukan mampu membangkitkan kesedaran umat, menyebabkan rakyat faham bahawa solusi itu ada pada syariat Islam, lalu akhirnya mendorong perubahan besar menuju sistem Islam kaffah. Setiap orang yang turut sedar dan berubah, pahalanya akan mengalir kepada kita juga inshaAllah. Itu baru namanya demonstrasi yang bernilai amal jariyah.
Oleh itu, demonstrasi bukan sekadar kerumunan massa, tetapi sarana dakwah amar makruf nahi mungkar. Jangan sampai niat baik tercalar gara-gara aksi anarki. Islam cintakan kedamaian, cintakan ketertiban, dan menolak kerosakan.
Jadi, jika kita mahu menyampaikan aspirasi, sampaikanlah dengan elegan, damai, dan penuh adab. Hal ini kerana sesungguhnya, memuhasabah penguasa dengan cara Islami bukan hanya sebahagian daripada hak rakyat, tetapi ia juga merupakan kewajipan umat. Selain itu, cara yang ditempuh Islam adalah lebih indah, iaitu fokus pada kebenaran, menolak kezaliman, tanpa merosakkan apa pun.
#demonstrasi #muhasabahpemimpin #tukarsistem #demokrasisistemgagal