Dunia Islam Memerlukan Transformasi Menyeluruh
Pengantar:
Tatanan global di bawah kapitalisme pada masa ini sebenarnya sedang berada dalam keadaan yang tidak stabil. Termasuk dalam bidang ekonomi. Banyak negara, termasuk negara-negara maju sekalipun, sedang berhadapan dengan masalah ekonomi masing-masing. Lebih-lebih lagi apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini meningkatkan perang perdagangan atau perang tarif terutama terhadap pesaing utamanya iaitu China. Banyak negara, termasuk di Dunia Islam, turut menerima kesannya.
Persoalannya: Apakah motif di sebalik perang dagang atau perang tarif yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat, khususnya terhadap China? Apakah pula kesannya terhadap ekonomi global? Bagaimana pula kesannya kepada negara-negara membangun, khususnya di Dunia Islam? Seterusnya, bagaimana cara Dunia Islam menghadapi kesan perang dagang atau perang tarif Amerika Syarikat ini? Bagaimana agar Dunia Islam dapat melepaskan diri daripada jeratan ekonomi kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dan China? Dan bagaimana pula caranya supaya Dunia Islam dapat berdikari dalam bidang ekonomi sehingga mampu menjadi subjek, bukan sekadar objek, dalam percaturan ekonomi antara kuasa-kuasa besar?
Itulah antara persoalan yang dikemukakan oleh pihak Redaksi kepada Pakar Ekonomi Islam, Ustaz Dwi Condro, Ph.D, dalam ruangan Hiwar kali ini. Berikut adalah hasil wawancara tersebut.
Ustaz, apakah sebenarnya bentuk perang dagang yang sedang dilancarkan oleh Amerika pada masa ini?
Secara ringkas, perang dagang berlaku apabila terdapat dua negara atau lebih yang saling membalas dasar perdagangan yang merugikan antara satu sama lain. Kebiasaannya dimulakan oleh satu pihak. Dalam konteks Amerika Syarikat, perang dagang yang dijalankan boleh dikatakan sebagai rangkaian dasar ekonomi yang sengaja dirancang untuk melindungi industri dalam negeri serta menekan negara lain dari sudut ekonomi (protectionism). Dasar perlindungan tersebut biasanya dilaksanakan melalui penerapan tarif, larangan eksport atau import, serta sekatan terhadap akses kepada teknologi penting.
Mengapa Amerika Syarikat membuat keputusan ini?
Amerika Syarikat memutuskan untuk melancarkan perang dagang ini sudah tentu kerana beberapa alasan strategik. Perang dagang bukan semata-mata soal ekonomi, tetapi juga merupakan strategi multifungsi, iaitu: keselamatan nasional dan geopolitik, seperti melindungi kepentingan nasional, menghadapi ancaman global, serta memperkukuh kedudukan Amerika Syarikat dalam tatanan dunia yang sentiasa berubah.
Apakah reaksi China terhadap perang tarif Trump (AS)? Bagaimana pula pengaruhnya terhadap ekonomi dunia, khususnya Dunia Islam?
Berdasarkan fakta yang dapat kita perhatikan, reaksi China terhadap perang tarif yang dilancarkan oleh Donald Trump sejak tahun 2018 adalah sangat tegas, strategik, dan penuh perhitungan, kerana ia menyentuh kelangsungan ekonominya sebagai sebuah kuasa global.
Dapat dikatakan bahawa perang tarif yang sedang berlangsung pada masa ini merupakan salah satu perang dagang terbesar dalam sejarah moden, yang akan membawa kesan yang sangat luas, termasuk terhadap ekonomi dunia dan negara-negara di Dunia Islam.
Pengaruhnya terhadap Dunia Islam sangat pelbagai. Negeri-negeri umat Islam pengeluar minyak, seperti Arab Saudi, Iran dan Iraq, terjejas kerana permintaan minyak dari China dan Amerika Syarikat menurun, sehingga menekan harga minyak dunia. Ketidakstabilan harga minyak ini sudah tentu akan mengganggu hasil pendapatan serta fiskal mereka.
Sementara itu, negara-negara industri pembuatan dan pengeksport produk primer, seperti Malaysia, Indonesia dan Turki, turut terkesan kerana berada di tengah-tengah rantaian bekalan global yang terganggu.
Adakah Indonesia juga terkena perang tarif AS. Apakah kesannya?
Benar. Indonesia turut terkesan dengan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China. Walaupun Indonesia bukan sasaran utama, kesannya tetap berlaku secara tidak langsung, namun pengaruhnya amat signifikan; terutamanya dalam aspek perdagangan, pelaburan dan kestabilan ekonomi makro.
Contohnya, banyak bahan mentah industri Indonesia seperti elektronik, tekstil dan automotif yang berasal daripada atau bergantung kepada China mengalami gangguan. Apabila eksport China ke Amerika Syarikat menurun, banyak produk China membanjiri negara lain, termasuk Indonesia. Hal ini mencetuskan persaingan yang semakin sengit bagi industri tempatan.
Di sisi lain, beberapa syarikat Amerika Syarikat mula memindahkan operasi pengeluaran keluar dari China. Malangnya, pemindahan itu dilakukan ke Vietnam dan India, bukan ke Indonesia, kerana peraturan serta infrastrukturnya dianggap lebih bersedia.
Ada yang mengatakan perang tarif ini mencerminkan pertarungan ekonomi dan kerakusan ekonomi kapitalisme. Benarkah demikian?
Pandangan tersebut memang ada benarnya. Terutamanya jika dilihat dari sudut persaingan hegemonik, eksploitasi, dan dominasi pasaran yang merupakan ciri utama kapitalisme global.
Dalam konteks perang tarif ini, Amerika Syarikat sebagai kuasa kapitalisme lama merasa kedudukannya terancam oleh China sebagai kuasa kapitalisme baharu yang berkembang pesat. Maka tercetuslah “pertarungan antara kapitalis” untuk merebut supremasi dunia.
Siapakah yang mendapat keuntungan daripada perang tarif Ini?
Dalam perang tarif ini, buat sementara waktu kita belum dapat melihat siapa pemenangnya. Namun, dapat dilihat bahawa ada kelompok tertentu yang mendapat keuntungan, khususnya dalam jangka pendek, terutama jika mereka berada di kedudukan yang strategik.
Sebagai contoh: pengeluar besi, aluminium atau semikonduktor di Amerika Syarikat. Mereka mendapat perlindungan daripada persaingan produk import murah, kerana tarif menjadikan produk luar negara lebih mahal. Syarikat besi Amerika Syarikat sempat menikmati peningkatan jualan selepas tarif ke atas besi dari China dan negara lain dilaksanakan.
Negeri-Negeri Islam seolah-olah sangat terpukul dengan dasar AS ini. Mengapa negeri-negeri Islam begitu lemah? Apa penyebabnya?
Bagi menjawab persoalan ini, sudah tentu kita tidak dapat mengabaikan akar permasalahan di Dunia Islam yang bersifat struktural dan bersejarah secara mendalam. Hakikatnya, banyak negeri umat Islam yang sangat lemah dalam menghadapi tekanan ekonomi global, termasuk dasar-dasar agresif seperti perang tarif daripada kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
Apa contohnya? Kita dapat melihat bahawa negeri-negeri umat Islam sangat lemah dan rapuh dari sudut ekonomi dan politik, contohnya: pergantungan ekonomi terhadap komoditi mentah. Banyak negeri umat Islam, seperti Arab Saudi, Indonesia, Algeria, Nigeria, dan Iran masih bergantung kepada eksport bahan mentah: minyak, gas, kelapa sawit, serta bijih logam.
Dari sisi politik ekonomi, kita juga dapat melihat ketiadaan integrasi ekonomi yang kukuh antara negeri-negeri umat Islam. Negara-negara Islam tidak membentuk blok ekonomi yang mantap, seperti Kesatuan Eropah. Perdagangan sesama negara Islam hanya menyumbang kurang daripada 20% daripada jumlah keseluruhan perdagangan mereka. Akibatnya, mereka lebih banyak bersaing sesama sendiri berbanding bersinergi.
Apakah yang perlu dilakukan oleh Dunia Islam apabila ditekan oleh perang dagang negara lain?
Jika negeri-negeri Islam ditekan oleh perang dagang atau dasar ekonomi agresif daripada negara lain, seperti tarif, sekatan, atau pembatasan teknologi, reaksi mereka cenderung berbeza-beza; bergantung pada kekuatan ekonomi, kepimpinan politik, dan kedudukan geopolitik masing-masing. Namun secara umumnya, reaksi negeri-negeri umat Islam masih lemah, reaktif dan berpecah-belah.
Bagaimanakah syariah Islam membangun negara dengan ekonomi yang kukuh?
Untuk mewujudkan ekonomi yang kuat, perlu ada perubahan mendasar pada asasnya, iaitu dengan menerapkan sistem ekonomi Islam. Kita mengetahui bahawa sistem ekonomi Islam mengajarkan bahawa penataan ekonomi perlu bermula dengan penetapan pembahagian pemilikan ekonomi secara benar.
Dalam ekonomi Islam, pembahagian pemilikan terbahagi kepada tiga, iaitu: pemilikan individu, pemilikan umum, dan pemilikan negara. Pembahagian ini amat penting, antaranya untuk mengelakkan berlakunya perampasan sektor pemilikan umum (contohnya) oleh pihak yang tidak sewajarnya; sama ada pihak swasta dalam negeri mahupun luar negeri. Contohnya, perampasan terhadap sektor perlombongan, gas, minyak bumi, perhutanan, sumber air, jalan raya, pelabuhan laut, lapangan terbang, dan sebagainya.
Jika pembahagian pemilikan ini telah jelas dan benar, maka sistem ekonomi Islam akan mengatur bagaimana pembangunan dan pengembangan ekonomi yang sepatutnya, iaitu bertumpu pada pembangunan sektor ekonomi nyata dan bukannya sektor ekonomi tidak nyata. Dengan cara ini, insya-Allah krisis demi krisis ekonomi tidak akan berulang lagi.
Tonggak terakhir dalam ekonomi Islam adalah pengagihan harta kekayaan oleh individu, masyarakat dan negara. Dengan adanya tonggak ekonomi ini, insya-Allah sistem ekonomi Islam akan menjamin bahawa seluruh rakyat akan terpenuhi semua keperluan asas (primer) mereka. Sistem ekonomi Islam juga menjamin agar seluruh rakyatnya dapat berpeluang memenuhi keperluan sekunder dan tertier. Itulah sekurang-kurangnya gambaran secara globalnya.
Apakah faktor-faktor yang perlu dipersiapkan agar dunia Islam mempunyai kemandirian ekonomi?
Transformasi yang menyeluruh dan bersepadu dalam pelbagai aspek diperlukan untuk membangunkan kemandirian ekonomi Dunia Islam. Bukan hanya pada aspek teknikal ekonomi, tetapi juga dari segi ideologi, kepimpinan, serta kerjasama antara negeri-negeri umat Islam.
Antara faktor penting yang perlu dipersiapkan, contohnya adalah dengan membina blok ekonomi Islam yang saling melengkapi, bukan saling bersaing.
Sebagai contoh: satu negeri boleh menumpukan pada sektor tenaga, negeri lain pada pertanian, dan yang lain pada industri teknologi. Dengan cara ini, dapat diwujudkan rantaian bekalan bersama. Selain itu, boleh dimulakan dengan membentuk Pasaran Bersama antara negeri-negeri umat Islam, mata wang bersama, termasuk sistem perdagangan bebas bersama.
Mampukah Islam mewujudkan tatanan ekonomi dunia yang adil dan sejahtera?
Islam, dari segi prinsip dan sistem, mampu mewujudkan suatu tatanan ekonomi dunia yang adil dan menyejahterakan. Syaratnya, syariah Islam mesti diterapkan secara menyeluruh (kâffah), bukan sekadar pada tahap individu atau simbolik semata-mata, tetapi juga dalam struktur negara dan pengurusan ekonomi global.
Dalam Islam, negara memegang peranan paling penting dalam menegakkan peraturan ekonomi Islam agar dipatuhi dan diikuti oleh seluruh lapisan rakyat. Rakyat pula, dengan kesedaran iman, akan melaksanakan aktiviti ekonomi dengan penuh keikhlasan selaras dengan aturan syariah yang telah diterapkan oleh negara.
Negara dan rakyat perlu saling membantu, menjaga, mengawal, dan saling menyokong. Di samping itu, perlu ada mekanisme semakan terhadap pelaksanaan aturan ekonomi supaya ia sentiasa berjalan mengikut koridor syariah Islam.
Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam menghadapi perang dagang AS pada masa ini?
Bagi menghadapi perang dagang Amerika Syarikat atau tekanan ekonomi global secara umum, umat Islam tidak boleh sekadar bersikap reaktif atau emosional. Apa yang diperlukan adalah langkah yang strategik, sistematik dan berjangka panjang; baik di peringkat negara mahupun individu sebagai sebahagian daripada umat.
Masyarakat mempunyai peranan yang amat penting dan strategik untuk terus-menerus berdakwah, menyebarkan, serta membentuk pandangan umum mengenai ekonomi Islam, baik ditujukan kepada sesama masyarakat mahupun kepada negara. Dengan itu akan lahir kesedaran umum di tengah masyarakat tentang kewajipan penerapan syariah Islam, termasuk ekonomi Islam di dalamnya, yang insya-Allah akan membawa rahmat bagi seluruh alam.
WalLâhu a’lam.
Sumber: https://alwaie.net/hiwar/dunia-islam-butuh-transformasi-total/
#ekonomi #isuglobal #ekonomiislam #Kesatuanislam #TegakDaulahIslam #KesempurnaanIslam #KapitalisGagal #KeburukanKapitalis #PerangTarif #PerangDagang