[Mafahim Islamiyyah] Hukum Dharar (Bahagian 4/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Dalam riwayat lain dengan tambahan, “Dan juga dia tidak pernah lari ketika bertemu musuh.” Dia tidak pernah lari ketika bertemu musuh dalam peperangan kerana kekuatan jiwanya dengan sesuatu yang ditetapkan padanya sebagai hasil dari puasa dan solatnya yang telah disifatkan pada hadis tersebut.
Ini berarti bahawa ibadahnya tidak berpengaruh terhadap perang dan tetap (tsabat) pada musuh. Juga tidak menjadikan tubuhnya lemah sehingga dia lari ketika bertemu musuh kerana lari dari peperangan adalah haram. Demikian pula adanya bahaya pada situasi tertentu pada seorang muslim yang dapat membebaskannya dari peperangan.
Allah SWT berfirman, “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkanNya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ Al-Fath [48]: 17).
Orang yang mampu untuk berperang lalu dia disuruh berangkat tetapi tidak berangkat, maka Allah akan mengazabnya dengan azab yang pedih. Allah SWT berfirman, ” Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (TMQ At-Taubah [9]: 39).
Ada muslim yang menimpakan bahaya terhadap dirinya agar menjadi ulil al-dharar (orang-orang yang mendapat bahaya), iaitu orang-orang yang telah disebut Allah pada ayat di atas. Ia melakukannya agar dibebaskan dari perang. Akibatnya, dia termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berpaling dari perang dan berhak mendapat azab Allah Taala. Ini kerana dia telah mengerjakan suatu perbuatan yang secara pasti mendatangkan kepada sesuatu yang haram, iaitu berpaling dari perang. Sesungguhnya kaedah syarak menyatakan, “Perantara kepada perkara yang haram adalah haram.”
Allah telah mencela orang-orang yang duduk meninggalkan perang dan orang-orang yang membuat-buat alasan untuk duduk meninggalkan perang. Allah SWT berfirman, “…dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.” (TMQ At-Taubah [9]: 81).
Jika begitu, bagaimana pula dengan orang yang menimpakan bahaya ke atas dirinya hingga menyebabkan dia terpaksa duduk (tidak turut serta) akibat meninggalkan peperangan?
Bahaya yang menghalang pelaku jika dia melakukannya sendiri dari melaksanakan fardhu yang dibebankan kepadanya, itu termasuk di bawah kaedah, “Perantara kepada perkara yang haram adalah haram.”
Sesungguhnya bahaya yang mengenai dirinya menghalangi dari melaksanakan fardhu yang dibebankan kepadanya dan bahaya yang mendatangkan kepada haram, iaitu duduk menjauh dari pelaksanaan kefardhuan, seperti jihad fi sabilillah, mengemban dakwah Islamiah, berhaji, mencari rezeki, dan lain-lain. Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah bin Umar ketika beliau telah mendengar Ibnu Umar berkata, “Sesungguhnya aku akan puasa terus sepanjang hari dan akan solat terus sepanjang malam selama hidupku.”
Kemudian Nabi SAW bersabda kepadanya, “Jangan kerjakan, berpuasalah dan berbukalah, tidur dan bangunlah. Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak ke atas kamu, kedua matamu mempunyai hak ke atas kamu, isterimu mempunyai hak ke atas kamu, keluargamu mempunyai hak ke atas kamu, maka berikanlah haknya kepada setiap orang yang mempunyai hak.”
Demikianlah, bagi seorang muslim ada hak-hak bagi Allah, hak-hak bagi manusia, dan hak-hak bagi dirinya. Semua hak dan kewajipan khusus tersebut dituntut darinya dengan cara mewajibkan. Oleh kerana itu, tidak boleh baginya membebankan tubuhnya dengan aktiviti apa pun yang berada di luar kemampuannya yang tubuhnya tidak sanggup melaksanakan hak-hak yang wajib ini.
Sungguh, Rasulullah SAW telah melarang membebankan tubuh di luar kemampuannya dengan solat sunnah dan puasa sunnah supaya tubuh itu mempunyai kemampuan (capability) untuk melaksanakan hak-haknya. Namun, bagaimana apabila bahaya itu datang dari dirinya sendiri, selain solat dan puasa sunnah, seperti manusia memotong tangannya dan memakan zat-zat yang menyebabkan penyakit kronik yang menghalanginya daripada melaksanakan hak-hak tersebut?
Apakah bentuk bahaya yang dilakukan oleh manusia terhadap dirinya sendiri dan mencegahnya dari melaksanakan beban-beban syarak yang diwajibkan atasnya? Sesungguhnya manusia itu telah mengerjakan perbuatan haram kerana Rasulullah SAW bersabda, “Dan dia (Daud) tidak lari kalau bertemu musuh.”
Juga sabdanya, “Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak atas kamu, tubuh kamu mempunyai hak atas kamu, … Maka berikanlah haknya kepada setiap yang mempunyai hak.” Juga sabdanya, “Cukup seseorang berdosa apabila dia menelantarkan orang yang ditanggungnya,” yakni orang yang mempunyai keluarga seperti dirinya dan orang-orang yang mempunyai hak nafkah atasnya. Dengan demikian, bahaya yang dia jatuhkan terhadap dirinya dan yang membawa kepada ketidakmampuan memberi nafkah bagi keluarganya adalah haram.
Siapa saja yang menimpakan bahaya terhadap dirinya, maka hukumnya haram. Apabila dia masih hidup, maka dia mendapat hukuman berupa takzir kerana telah melakukan tindakan jenayah terhadap dirinya, tatkala syarak telah melarangnya dengan larangan yang pasti.
Dalil terkait hal ini adalah sesuatu yang datang pada hadis berikut, “Rasulullah SAW telah melarang puasa wisol. Kemudian ada beberapa lelaki muslim berkata kepada beliau, ‘Sesungguhnya engkau melakukan puasa wisol, ya Rasulullah?’ Beliau bersabda, ‘Siapakah di antara kalian yang menyamaiku? Sesungguhnya ketika malam aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku’, lalu ketika mereka membangkang untuk berhenti wisol, Nabi melakukan wisol bersama mereka sehari, lalu sehari lagi. Kemudian mereka melihat bulan sabit, Nabi SAW lalu bersabda, ‘Seandainya bulan sabit terlambat, nescaya aku tambah puasa wisol kalian.’ Seakan-akan Nabi memarahi ketika mereka membangkang untuk berhenti wisol.”
Kemarahan Rasulullah SAW tidak pernah terjadi, kecuali terhadap perbuatan haram. Sedangkan perbuatan pada hadis ini mencakup pelanggaran mereka kepada Rasulullah SAW dan mencakup puasa wisol mereka tanpa berbuka dan tanpa sahur. Yang demikian ini termasuk perkara yang menimpakan bahaya pada tubuh, di mana bersama perkara itu manusia tidak mampu melaksanakan kewajipan-kewajipannya. Dengan demikian, kemarahan Rasulullah SAW kepada mereka merupakan hukuman yang berupa takzir atas perbuatan haram mereka.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Dharar #HukumSyarak