[Mafahim Islamiyyah] Hukum Dharar (Bahagian 3/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Manusia Menimpakan bahaya terhadap Dirinya Sendiri
Lafaz dharar (bahaya) telah datang pada sabda Nabi SAW dengan bentuk umum yang mencakupi setiap bahaya, baik manusia itu menimpakan bahaya terhadap orang lain atau terhadap dirinya sendiri. Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang membahayakan mereka. Dia juga melarang mereka mendatangkan bahaya pada diri mereka.
Benar-benar telah di datangkan dalam Sahih Bukhari-Muslim, sesungguhnya Nabi SAW melihat seorang lelaki tua berjalan dipapah oleh dua orang anaknya, lalu Baginda bertanya tentangnya. Orang ramai memaklumkan bahawa dia telah bernazar untuk ke Kaabah dengan berjalan kaki. Baginda bersabda, ‘Allah tidak berhajat kepada orang tua ini menyeksa dirinya,’ lalu Baginda memerintahkannya menaiki tunggangan (kenderaan).” Dalam riwayat lain, “Sesungguhnya Allah yang Maha Cukup dari memaksanya orang ini terhadap dirinya.”
Rasulullah SAW pernah ditanya tentang lelaki yang bernazar berdiri di bawah terik matahari, tidak duduk dan tidak makan selama sehari, serta tidak berteduh dan tidak berbicara. Kemudian beliau bersabda, “Berjalanlah dia, maka bernaunglah, berbicaralah, duduklah, dan sempurnakan puasanya.” (HR Bukhari).
Nabi SAW juga bersabda, “Apabila kalian mendengar wabah penyakit di sebuah negeri, maka janganlah memasukinya! Namun bila suatu negeri terkena wabah penyakit dan kalian sedang berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar dari sana!” (Muttafaq`alaih).
Nas-nas di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya mendatangkan bahaya terhadap diri sendiri adalah makruh. Sebabnya, tuntutan untuk meninggalkan dalam beberapa hadis di atas adalah tuntutan yang tidak pasti sehingga tidak berdosa melakukannya. Namun apabila meninggalkannya kerana mengikuti perintah Allah, maka akan dipuji dan diberi pahala.
Juga ditunjukkan oleh nas-nas lain bahawa sesungguhnya apabila manusia mendatangkan bahaya terhadap dirinya, maka yang demikian ini disunnahkan. Dari nas-nas ini adalah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah ra., “Sesungguhnya Nabi SAW penah melaksanakan solat malam hingga kedua kakinya bengkak.” (HR Bukhari).
Adapun Allah SWT menyeru beliau melalui firman-Nya, “Dan pada sebahagian malam hari, solat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
Diriwayatkan dari Atha’ bin Rabah, dia berkata, “Ibnu Abbas ra. pernah berkata kepadaku, ‘Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita Habasyah yang berkulit kuning dan berperawakan tinggi besar?’ Lalu dia berkata, ‘Dia adalah Su’airah al-Asadiyyah. Dia pernah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menderita penyakit ayan (epilepsi) dan auratku sering tersingkap (ketika penyakit menyerang semula/relapse), maka berdoalah kepada Allah untukku agar Dia menyembuhkanku.’
Kemudian, Rasulullah SAW pun bersabda, ‘Jika engkau mahu, maka aku akan berdoa kepada Allah untukmu agar Dia menyembuhkanmu dari penyakit yang menimpamu. Allah akan mencatat seluruh amal baik dan amal burukmu. Lalu jika engkau mahu, bersabarlah, maka syurga untukmu.’ Su’airah memilih bersabar. Dengan kesabarannya, dia berharap agar dapat masuk syurga. Kemudian, dia berkata lagi, ‘Sesungguhnya auratku sering tersingkap, maka berdoalah kepada Allah untukku agar (auratku) tidak tersingkap.’ Selanjutnya, Rasul SAW pun mendoakannya.
”Perempuan ini memilih bersabar atas bahaya sebagai ganti agar dia mendapatkan syurga. Rasulullah SAW benar-benar telah mengukuhkan atas pilihannya dan penerimaannya atas bahaya yang menimpanya.
Terdapat pula nas-nas yang menunjukkan bahawa sesungguhnya apabila manusia menimpakan bahaya terhadap dirinya dan bahaya itu mencapai had tertentu, maka yang demikian ini hukumnya haram. Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja membunuh dirinya dengan senjata tajam maka senjata tajam pada tangannya akan memukul perutnya di Neraka Jahanam selamanya. Dia kekal di dalamnya selamanya. Siapa saja yang membunuh dirinya dengan racun, maka racun di tangannya dihisapnya di Neraka Jahanam selamanya. Dia kekal di dalamnya selamanya. Siapa saja terjun dari gunung lalu dia membunuh dirinya, maka dia akan terjun di dalam Neraka Jahanam selamanya dan dia kekal di dalamnya selamanya.”
Dengan demikian, bahaya yang mendatangkan kematian hukumnya haram. Begitu juga apabila dari bahaya dikhuatiri mati maka juga haram. Sahabat benar-benar memahami masalah itu dari firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya)”. (TMQ An-Nisa’ [4]: 29—30).
Telah diriwayatkan dari Amru bin Ash, bahawasanya dia berkata, “Pada malam yang dingin aku mimpi indah (keluar mani), itu terjadi semasa perang Dzatus Salaasil. Aku khuatir kalau aku mandi, maka aku akan rosak. Kemudian aku bertayamum dan solat subuh bersama teman-temanku.” Orang-orang menuturkan keadaan tersebut kepada Nabi SAW, lalu beliau bersabda, “Hai Amru, aku dengar kamu solat dengan teman-temanmu sedangkan kamu junub.” Lalu aku memberi khabar kepada beliau akan sesuatu yang mencegahku mandi dan berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar Allah Taala berfirman, ‘Dan janganlah kalian membunuh diri kalian.’ Kemudian Nabi SAW tersenyum dan tidak berkata apa-apa.”
Imam Bukhari telah mendatangkan hadis ini dalam bab “Apabila orang junub takut sakit atas dirinya, atau mati, atau takut kehausan, maka bertayamum”, maka bahaya yang mendatangkan kepada kematian atau bahaya yang mungkin mendatangkan kepada kematian adalah haram atas seseorang untuk menimpakan bahaya pada dirinya. Ini sesuai indikasi firman Allah Taala, “Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka,…” (TMQ An-Nisa’ [4]: 30).
Rasulullah SAW juga melarang manusia daripada menjatuhkan diri ke dalam bahaya yang boleh menghalangi pelaksanaan kewajipan menurut syarak. Beliau SAW bersabda, “Puasa yang lebih disenangi Allah adalah puasa Daud dan solat yang paling disukai Allah SWT adalah solat Daud. Dia tidur selama setengah malam, bangun solat pada sepertiga malam, dan tidur lagi pada seperenam malam, dia berpuasa sehari dan berbuka sehari.”
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.