[Asam Garam Rumah Tangga] Siri 23
Masalah 22 : Tidak adil dalam mendidik pasangan tentang hak-hak suami-isteri
Sebahagian suami bersikap tidak adil dalam mendidik pasangan. Mereka hanya menekankan tentang hak-hak suami, tetapi mengabaikan hak-hak isteri. Malah, ada yang melarang isterinya daripada membaca buku atau mendengar majlis ilmu yang membicarakan tentang hak-hak isteri.
Refleksi:
Allah SWT berfirman-Nya:
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)” [TMQ Al-Baqarah (2): 228]
Oleh itu, seorang suami perlu menyedari bahawa isterinya juga memiliki hak ke atas dirinya, sebagaimana suami mempunyai hak ke atas isteri. Mengetahui hak-hak pasangan antara satu sama lain termasuk dalam tuntutan ilmu agama. Maka, tidak wajar bagi seseorang menghalang pasangannya daripada menuntut ilmu agama secara benar, baik, dan menyeluruh.
Rasulullah SAW bersabda,
“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim” (HR. Ibnu Majah no. 224)
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” [TMQ at-Tahrim (66): 6]
Hakikatnya, ilmu rumah tangga dalam Islam, termasuk hak dan kewajipan suami isteri, adalah inti penting dalam membina keluarga yang tenteram dan berkekalan. Kekurangan ilmu agama, atau sikap menyembunyikan dan memilih-milih ilmu, boleh menyebabkan pasangan menjadi jahil tentang urusan rumah tangga menurut Islam. Akibatnya, mereka tidak tahu mana yang merupakan hak dan kewajipan masing-masing. Situasi ini akhirnya boleh membawa kepada konflik yang lebih serius seperti pertengkaran, kezaliman, dan keretakan rumah tangga.
Selain itu, adalah satu kesalahan jika kita hanya mengambil sebahagian daripada syariat lalu menolak sebahagian yang lain. Sikap menghalang pasangan daripada memahami hak-haknya yang telah ditetapkan syariat sama sahaja seperti menidakkan ajaran agama dan bersikap memilih-milih dalam beragama. Orang yang bersikap memilih-milih dalam mempelajari atau melaksanakan hukum syariat adalah orang yang mengikut hawa nafsu. Dia hanya memilih bahagian yang dianggap menguntungkan dirinya dan sejalan dengan hawa nafsunya, sementara bahagian yang bertentangan dengan hawa nafsunya ia abaikan. Perbuatan ini termasuk perbuatan yang dicela oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 85)
Oleh itu, tidak wajar seorang suami menghalang isterinya daripada mempelajari hak-haknya di sisi agama, atau mempraktikkan hak-hak tersebut. Memahami hak dan kewajipan suami isteri sangatlah penting, agar setiap pasangan jelas dengan peranan dan tanggungjawabnya dalam rumah tangga. Bukankah Rasulullah SAW sendiri sangat menekankan pendidikan kepada isteri-isterinya?
Sheikh ‘Abdul ‘Adzim al-Badawi menyatakan, “Hak isteri yang menjadi kewajipan suami adalah suami mengajarkan isteri; mengajarkan perkara-perkara dharuri (yang wajib diketahui) berkaitan dengan perkara agama, atau suami mengizinkan isteri untuk menghadiri majlis ilmu. Kerana keperluan isteri untuk memperbaiki agamanya dan membersihkan (menyucikan) jiwanya tidaklah lebih remeh dibandingkan keperluan isteri terhadap makanan dan minuman yang wajib dipenuhi oleh suami.”
Justeru, seorang suami yang baik pastinya akan berusaha menegakkan keadilan, dan menunaikan hak setiap ahli keluarganya sesuai dengan tuntunan syariat, bukan sekadar mengutamakan pemenuhan hak-hak dirinya sendiri.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#AsamGaramRumahTangga
#SolusiMasalahRumahTangga
#KaunselingKeluargaMuslim