Larangan Membuka Aib Pasangan
Penulis: Najmah Saiidah
Dalam sebuah hubungan, khususnya hubungan antara suami dan isteri, akan ada kekurangan dan kelebihan di mata pasangan masing-masing, baik suami di mata isteri mahupun isteri di mata suami. Adanya kekurangan mahupun kelebihan ini tentu saja tidak akan terlepas dari manusia sebagai makhluk yang memang telah diciptakan dengan segala kekurangan dan kelebihannya masing-masing.
Ketika seseorang telah berkahwin, maka isteri dan suami boleh dikatakan telah menjadi satu kesatuan. Mereka bagaikan pakaian bagi satu sama lain. Fungsi utama pakaian adalah menutup aurat. Ertinya, suami isteri masing-masing wajib berusaha menutupi aib pasangannya, dan pantang mengungkapkannya kepada orang lain, meskipun keluarga sendiri.
Bagaimanapun juga, manusia penuh dengan kekhilafan, begitu juga pasangan suami isteri. Sebaik-baiknya pasangan kita, pasti akan ada kekurangan, aib, cacat, atau cela. Justeru, pasti lebih baik jika kita menyimpan rapat-rapat semua itu dan terus berusaha untuk memperbaikinya.
Sesungguhnya Islam, sebagai din yang sempurna, telah memberikan aturan kepada kita tentang kewajipan menjaga aib pasangan. Lantas, bagaimana Islam mengaturnya?
Haram Mengungkap Aib Pasangan
Islam mengajarkan kita untuk menjaga atau menutup aib orang lain dan tidak menyebarkannya, lebih-lebih lagi berkaitan dengan aib keluarga atau pasangan. Seorang isteri dilarang menceritakan aib suaminya kerana menjaga aib keluarga, hukumnya wajib.
Terdapat banyak hadis yang melarang kita membuka aib pasangan, “Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” [HR Muslim]
“… Kerana barang siapa yang mencari-cari aib saudaranya, nescaya Allah akan mencari-cari aibnya, dan barang siapa yang aibnya dicari-cari oleh Allah, nescaya Allah akan mempermalukan dia meskipun dia berada di dalam rumahnya sendiri.” [HR Abu Daud dan At-Tirmidzi]
Menjaga rahsia dan menutupi aib atau kekurangan pasangan adalah amanah. Oleh kerana itu, seorang muslim wajib untuk menjaga amanah tersebut. Tidak salah jika Rasulullah SAW memberikan label yang buruk kepada mereka yang suka menyebarkan rahsia atau aib pasangannya kepada orang lain kerana mereka telah mengkhianati pasangannya dan mengkhianati amanah. Dari Abu Sa’id al-Kudri, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian mendedahkan rahsia (isteri)nya tersebut.” [HR Muslim]
Dalam sabdanya yang lain, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya seburuk-buruk manusia kedudukannya di sisi Allah SWT pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang menunaikan hajatnya kepada seorang wanita (isterinya) dan dia menunaikan hajatnya kepada lelaki tersebut (suaminya), kemudian lelaki tersebut menyebarkan rahsianya.” [HR Muslim]
Penekanan “manusia yang paling buruk di hari kiamat” dan “seburuk-buruknya manusia di sisi Allah SWT” merupakan adanya celaan terhadap perbuatan tersebut. Ini bermaksud bahawa perbuatan yang disebutkan dalam hadis, iaitu membuka aib pasangan adalah haram hukumnya. Tindakan membuka rahsia keluarga akan menghilangkan rasa saling percaya dan menimbulkan rasa saling curiga di antara kedua pasangan.
Terdapat ulama yang mengatakan bahawa “rumah yang paling cepat rosak” adalah rumah yang salah seorang daripada suami isteri menyebarkan rahsianya, sering mengeluhkan pasangannya serta mencelanya. Rumah tersebut menjadi tempat milik semua orang, tidak ada kehormatan sedikit pun di dalam rumah tersebut. Tidak ada penghargaan bagi kesucian hubungan suami isteri.
Suami atau isteri yang melakukan hal tersebut adalah orang yang sedikit rasa malunya, dan lemah imannya, maka tidak ada cela bagi teman hidupnya apabila berpisah darinya dan tidak kembali lagi kepadanya.
Terkait seorang isteri yang sentiasa mencela suaminya dan tidak bersyukur atas suaminya, Rasulullah SAW bersabda, “Allah tidak melihat kepada wanita yang tidak berterima kasih kepada suaminya, sedangkan dia memerlukannya.” [HR Baihaqi]
Dalam sabdanya yang lain, “Aku melihat ke dalam neraka, yang aku lihat kebanyakan penduduknya adalah wanita, mereka berbuat ingkar kepada salah seorang di antara mereka sepanjang masa, kemudian dia melihat satu kesalahan saja darimu, maka dia berkata, ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikit pun darimu.” [HR Bukhari]
Dari dua hadis ini makin jelaslah bahawa menyebarkan aib keluarga adalah salah satu perbuatan tercela. Pelakunya tentu tidak akan mendapatkan kebaikan sedikit pun dari Allah SWT, baik di dunia mahupun di akhirat. Hal ini kerana haram hukumnya mendedahkan aib atau kekurangan pasangan tanpa ada keperluan yang dibenarkan.
Lebih dari itu, dalam ajaran Islam pun ada ancaman dengan azab yang mengerikan pada hari kiamat kelak bagi siapa pun yang menyebarkan aib pasangannya. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” [HR Ahmad]
Dalam riwayat lain menyebutkan, “Perumpamaan orang yang membuka aib pasangannya itu seperti orang yang digigit beberapa ular hitam pada hari kiamat nanti.” [HR Thabrani]
Oleh kerana itu, sudah sepatutnya setiap pasangan suami isteri menjaga aib pasangan masing-masing, biarlah aib itu diketahui oleh pasangan sendiri dan Sang Pencipta saja. Ini kerana dengan menyebarkan permasalahan ke tengah-tengah masyarakat, itulah yang boleh membuatkan rumah tangga semakin retak hingga menyebabkan perceraian dan masalah yang berpanjangan.
Lalu bagaimana jika seorang isteri atau suami membuka aib pasangannya kepada seseorang dengan maksud untuk menyelesaikan masalah, sejauh mana Islam mengaturnya?
Sejauh Manakah Islam Membenarkan Membuka Aib Pasangan?
Dalam Islam, sudah sepatutnya suami isteri saling menutupi dan saling menjaga aib pasangannya. Jika seorang isteri atau suami membongkar aib pasangannya, bererti itu sama saja dengan menelanjangi dirinya sendiri dan keluarganya. Hanya saja memang aturan ini tidak bersifat mutlak, ada situasi jika di dalamnya ada uzur syarak, tidak salah sekiranya seseorang membuka aib pasangannya. Tentu saja bukan membuka aib kepada khalayak, hanya kepada orang-orang yang berkepentingan saja dan hal ini sesuai dengan tuntunan syarak.
Imam An-Nawawi dalam karyanya Al-Adzkar li al-Nawawi menyebutkan ada beberapa keadaan yang seseorang diperbolehkan membuka aib orang lain, termasuk pasangan. Di antaranya ketika melaporkan sebuah kezaliman dan dalam rangka untuk menghentikan kezaliman itu. Jadi dalam rangka amar makruf nahi mungkar.
Oleh kerana itu, dalam Islam, ketika seseorang dizalimi, dia boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa, polis, atau hakim. Lebih-lebih lagi jika kezaliman itu membahayakan isteri, bahkan sehingga mengancam jiwa.
Seorang isteri atau suami tidak dilarang untuk menceritakan aib pasangannya dalam rangka untuk mendapatkan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapinya. Misalnya, seorang isteri atau suami menyampaikan aib pasangannya terkait dengan masalah keluarganya kepada ulama yang terpercaya. Tujuannya agar ulama, ustaz, atau ustazah yang diminta pendapatnya boleh memahami kedudukan sebenar dan memberikan pendapatnya dengan tepat selari dengan realiti yang terjadi. Namun, menurut Imam Nawawi alangkah baiknya jika nama orang yang berkaitan disamarkan dengan hanya menyebut seorang lelaki atau seorang isteri.
Adapun hujah dibenarkan menyebut aib ketika meminta pendapat orang terpercaya adalah hadis Hindun yang menyebut aib suaminya sebagai orang yang kedekut, sebagaimana hadis riwayat Aisyah berikut,
قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.
“Pernah suatu ketika Hindun Umm Mu’awiyyah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah orang yang sangat kikir, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Rasulullah SAW pun menjawab, ‘Silakan ambil untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik!’”
Demikianlah, sesungguhnya Islam telah memiliki aturan yang lengkap dan mendalam tentang segala hal, termasuk tentang membuka aib pasangan. Jangan sampai aib keluarga atau pasangan kita didedahkan kepada orang lain.
Keharmonian keluarga hendaklah betul-betul dijaga dan dipelihara dengan baik, salah satunya dengan selalu menutupi aib keluarga atau pasangan. Jika keluarga kita ingin bahagia dunia akhirat, sekecil apa pun aib rumah tangga kita, jangan sampai orang lain mengetahuinya. Menjaga kemuliaan suami dan isteri sama ertinya dengan melindungi kehormatan sendiri. Itu bermaksud, menutupi aib suami atau isteri bererti sama dengan menutupi aib dirinya sendiri. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#aibkeluarga #kehormatankeluarga