Jangan Terpedaya dengan Pengakuan Palsu Britain terhadap Palestin
Oleh: Ustaz Arief B Iskandar
Akhirnya Britain mengiktiraf Palestin! Sudah tentu Palestin versi mereka, iaitu sekeping tanah kecil yang masih berbaki daripada tubuh umat Islam yang telah dicincang. Palestin mini. Baki Palestin. Palestin muzium. Supaya dunia boleh berkata, “Lihat, sudah ada negara Palestin, kan?”
Jangan terpedaya. Hakikatnya, pengiktirafan Britain itu bukanlah pengembalian hak, melainkan penghinaan yang terselindung. Sebahagian kecil Palestin diberi label “Palestin”. Sedangkan sebahagian besar—yang nyata dijajah Israel dengan restu Barat—tetap dianggap sah milik penjajah Zionis. Bukankah ini ibarat pencuri yang setelah merompak rumah orang, kemudian melemparkan kunci gudangnya sebagai “ganti rugi” sambil berkata, “Tengoklah, aku baik. Aku akui gudang itu milikmu. Rumah besar itu tetap milikku.”
Lebih ironi, Britainlah dalang utama. Sejak dahulu lagi merekalah yang menanam bom jangka di jantung Dunia Islam dengan Deklarasi Balfour (1917). Britainlah yang membuka jalan bagi penghijrahan besar-besaran Yahudi ke Palestin. Britain jugalah yang melindungi Zionis sehingga lahirnya entiti penjajah bernama “Israel”.
Maka, apabila hari ini Britain berkata, “Kami mengiktiraf Palestin,” itu bukanlah hadiah, tetapi racun yang disalut madu.
Dalam kaca mata Islam, pengiktirafan separuh hati ini jelas sekali tidak menyelesaikan masalah. Malah semakin mengukuhkan rancangan pecah dan perintah agar umat Islam terus berbalah tentang sempadan, sementara penjajah Zionis terus ketawa.
Allah SWT telah memperingatkan:
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan rela (redha) kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau mengikuti agama mereka (yang telah terpesong itu).” [TMQ al-Baqarah (2): 120]
Jadi, adakah kita mahu terus hanyut dalam perangkap pengiktirafan separuh, bahkan palsu daripada penjajah lama? Atau adakah kita akan kembali kepada jalan yang benar: menyatukan umat Islam di bawah satu kepimpinan global (Khilafah) yang mampu mengerahkan seluruh kekuatan untuk membebaskan Palestin sepenuhnya?
Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa darah, maruah dan harta seorang Muslim adalah suci dan mesti dilindungi:
المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه ولا يخذله
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak menyerahkannya (kepada musuh) dan tidak meninggalkannya (tanpa pertolongan).” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Jelaslah bahawa penyelesaian untuk Palestin bukanlah menanti belas kasihan Britain atau Barat. Penyelesaian itu hanya wujud dalam kekuatan umat yang bersatu di bawah Khilafah. Khilafahlah yang akan menggerakkan seluruh potensi kaum Muslim untuk mengusir Zionis daripada tanah suci.
Sehingga perkara itu terlaksana, setiap pengiktirafan separuh, bahkan palsu gaya Britain hanyalah sandiwara politik murahan. Ia umpama pencuri yang berpura-pura memohon maaf sementara masih duduk selesa di kerusi empuk hasil rompakan.
Busuknya Peranan Britain dalam Isu Palestin
- 1897 – Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland
Di sinilah lahirnya rancangan rasmi Zionis antarabangsa: menubuhkan “tanah air nasional Yahudi” di Palestin. Sejak awal, Britain sudah menjadi penyokong projek ini kerana mempunyai kepentingan geopolitik di Timur Tengah.
- 1917 – Deklarasi Balfour
Surat Lord Balfour (Menteri Luar Negeri Britain) kepada Lord Rothschild (tokoh Yahudi yang kaya raya) yang berisi janji Britain untuk menyokong penubuhan rumah nasional Yahudi di Palestin. Ringkasnya: Britain menyerahkan tanah umat Islam kepada Zionis, sedangkan ia bukan miliknya.
- 1917–1948 – Mandat Britain ke atas Palestin
Selepas runtuhnya Khilafah Uthmaniyah, Britain secara rasmi menjadi “penjaga” Palestin melalui sistem mandat. Namun, bukannya menjaga, Britain malah membuka pintu seluas-luasnya untuk penghijrahan Yahudi, melatih ketenteraan Zionis, serta menekan perlawanan rakyat Palestin.
- 1948 – Nakbah (Malapetaka)
Apabila Britain berundur, mereka meninggalkan bom jangka. Zionis mengisytiharkan “Negara Israel”, dan serta-merta berlaku pengusiran besar-besaran rakyat Palestin. Lebih 700 ribu Muslim diusir dari tanah mereka, kampung-kampung dibakar, dan bermulalah tragedi kemanusiaan yang abadi.
- 1967 – Perang Enam Hari
Israel, dengan sokongan penuh Barat, menguasai Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Gaza, Sinai, dan Bukit Golan. Britain dan sekutunya hanya berpeluk tubuh, bahkan memberi legitimasi.
- 1993 – Oslo Accord
Britain dan Barat kembali memainkan peranan: mendesak Palestin agar menerima “negara mini” di sebahagian kecil wilayah. Palestin diperangkap untuk menandatangani perjanjian yang mengiktiraf kewujudan Israel di sebahagian besar tanah mereka sendiri.
- Hari Ini – Pengiktirafan Palsu
Britain berpura-pura mengiktiraf Palestin. Namun, yang diiktiraf hanyalah sebahagian kecil wilayah yang masih tersisa. Sebahagian besar, termasuk Al-Quds, tetap dianggap sah milik Israel. Drama lama dengan pelakon lama.
Hasilnya, apabila Britain hari ini berkata, “Kami mengiktiraf Negara Palestin,” janganlah terlalu gembira. Itu bukan pengiktirafan. Itu adalah pengebumian. Palestin dijadikan negara kecil-kecilan, muzium penderitaan yang tidak berubah. Sebaliknya, projek besar Zionis — menguasai tanah umat Islam dari Sungai Nil hingga Sungai Eufrat — tetap dipelihara oleh Barat.
#FreePalestine #FreePalestineWithJihadAndKhilafah #BreakTheSiege #ArmiesToGaza #ArmiesToPalestine