Wahai para suami, Jangan Pernah Mengherdik/Membentak Isterimu
Penulis: Najmah Saiidah
Kita memahami bahawa Islam memberikan kepimpinan rumah tangga kepada lelaki, bermakna seorang bapa mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga yang dipimpinnya. Ke manakah isteri dan anak-anaknya akan dibawa kelak? Kepimpinan tersebut adalah bersifat mengatur dan melayani (ri’ayah), bukan kepimpinan pemerintah atas rakyatnya atau majikan ke atas pekerjanya. Sebagaimana firman Allah SWT,
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” [TMQ An-Nisa’ (4): 34]
Kepimpinan (al-qawamah) dalam ayat ini adalah kepimpinan yang mengatur dan melayani (ri’ayah), bukan kepimpinan diktator dan kontrol. Menurut bahasa Arab, maksud kepimpinan lelaki ke atas wanita (qawamah ar-rijal ‘ala an-nisa`) ialah al-infaq ‘alayha wa al-qiyam bi ma terawatjuhu (menafkahi isteri dan memenuhi keperluannya).
Pendapat mufasir ialah lelaki merupakan penanggungjawab/pemimpin ke atas wanita kerana dua perkara iaitu lelaki dijadikan secara fitrah lebih kuat kudratnya daripada wanita untuk melakukan pekerjaan di luar rumah dan lelaki dibebani dengan kewajipan nafkah keluarga.
Ibnu Kathir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “árrijalu qawwamuna ‘ala an-nisa” ialah lelaki adalah pemimpin bagi wanita, ertinya pemimpin, ketua, hakim, dan pendidik bagi wanita apabila mereka menyimpang. “Bima fadhalallahu ba’dhahum ‘ala ba’dhin” bermaksud kerana lelaki lebih utama daripada perempuan, dan lelaki lebih baik daripada perempuan, dan kenabian juga khusus untuk lelaki. Begitu juga untuk ketua negara, badan kehakiman, dan sebagainya.
Imam Ath-Thabari berkata, “Maksud dari ayat ini ialah lelaki adalah pelindung (pemimpin) bagi wanita dalam mendidik dan mengajak mereka kepada apa yang diperintahkan Allah SWT. Hal ini disebabkan kelebihan yang diberikan kepada lelaki atas wanita, dari segi mahar, nafkah, perbelanjaan rumah tangga, dan sebagainya. Inilah kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada lelaki. Dengan demikian, mereka menjadi qawwam (pemimpin) bagi kaum perempuan, iaitu pelaksana tugas yang diberikan Allah SWT kepada mereka.”
Ibnu Abbas RA mengatakan, “Maksud ayat ini ialah lelaki adalah umara’ (pemimpin) bagi wanita, dan wanita wajib mentaati suaminya dalam perkara-perkara yang diperintahkan Allah kepada mereka. Taat kepada suami ialah dengan berbuat baik kepadanya, menjaga hartanya, dan memuliakan suami atas rezeki dan nafkah yang telah diberikannya kepada isterinya kerana Allah SWT telah melebihkan suami dengan itu.”
Imam Adh-Dhahak berkata, “Ayat ini bermaksud lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita. Mereka memerintahkan isterinya supaya mentaati Allah. Jika mereka enggan mentaati, maka lelaki boleh memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan (mencacatkan mereka), dan Allah SWT telah melebihkan lelaki daripada wanita kerana rezeki dan nafkah yang diberikanNya kepada mereka.”
Allah SWT menggunakan kalimat “ba’dhahum ‘ala ba’dhin,” bukan kalimat lain, seperti “bima fadhala ar-rijaalu ‘ala an-nisaa.” Di sinilah letaknya ketinggian balaghah, atau sastera al-Quran. Kalimat ini membawa maksud bahawa kebaikan atau kelebihan adalah bertujuan untuk kebaikan dan manfaat kedua-dua pihak. Oleh itu, tidak ada diskriminasi tersirat atau merendahkan wanita di sini, kerana suami adalah sama dengan isteri, dan sebaliknya
Kepimpinan Suami Tidak Boleh Sewenang-wenangnya
Gambaran sebenar tugas suami sebagai qawwam ialah dia merupakan nakhoda kapal rumah tangga. Dengan kesempurnaan hikmahNya, Allah SWT telah melantik suami sebagai qawwam (pemimpin). Si suamilah yang kelak akan disoal dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT tentang keluarganya, sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi Muhammad.,
“Seorang lelaki (suami) adalah ketua keluarganya dan suatu hari nanti dia akan ditanya (bertanggungjawab) tentang mereka.” [HR Al-Bukhari Muslim]
Dalam menjalankan tanggungjawab ini, seorang suami tidak boleh bersikap acuh tak acuh, keras, kasar dan biadap terhadap keluarganya. Sebaliknya, dia hendaklah memiliki akhlak yang mulia, penuh kelembutan dan berkasih sayang. Dan sikap lemah lembut ini adalah rahmat dari Allah SWT sebagaimana firmanNya ketika memuji RasulNya yag mulia,
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّٰهِ لِنْتَ لَهُمْ ۚ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيْظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوْا مِنْ حَوْلِكَ ۖ
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. [TMQ Ali ‘Imran (3): 159]
Suami Tidak Boleh Mengherdik Isteri
Seorang suami yang diamanahkan sebagai pemimpin, wajib membimbing rumah tangganya ke jalan yang diredhai Allah SWT. Untuk mencapai ini, kesabaran yang luar biasa diperlukan. Namun, sebagai manusia, kita tidak terlepas dari dosa. Seorang suami boleh melakukan kesilapan dan melampiaskan kemarahannya kepada isteri apabila melihat isteri melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Di sinilah Islam memberikan garis panduan yang melarang sekeras-kerasnya suami menjerit atau membentak isteri dan sebaliknya menyuruh suami melayan isteri dengan baik, seperti yang dinyatakan dalam firman Allah,
وَالَّذِيْنَ يُؤْذُوْنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنٰتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوْا فَقَدِ احْتَمَلُوْا بُهْتَانًا وَّاِثْمًا مُّبِيْنًا
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” [TMQ Al-Ahzab(33): 58]
Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda, “Orang yang paling sempurna imannya di antara orang-orang mukmin ialah yang paling baik akhlaknya di antara mereka, dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya terhadap isterinya.” [HR At-Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Hadis lain yang diriwayatkan oleh Maisarah bin Ali, “Barangsiapa yang menggembirakan isterinya, seakan-akan dia menangis kerana takut kepada Allah. Barangsiapa yang menangis kerana takut kepada Allah, maka Allah telah mengharamkan tubuhnya ke dalam neraka. Sesungguhnya apabila suami isteri saling memberi perhatian, Allah akan memandang mereka berdua dengan belas kasihan yang besar. Apabila suami memegang telapak tangan isteri, maka bergugurlah dosa-dosa suami isteri itu melalui celah-cela jari mereka.
Perbuatan suami mengherdik atau menengking isteri sudah tentu akan menyakitinya, sedangkan Islam memerintahkan suami untuk menyenangkan isteri. Membentak isteri adalah perbuatan yang menyalahi beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diperkatakan sebelum ini. Islam memerintahkan para suami untuk bergaul dengan isterinya dengan cara yang mulia, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik di antara kamu terhadap isteri-isteriku..” [HR Tirmidzi]
Begitu juga Islam memerintahkan para suami untuk melayan isteri dengan baik, tidak memaksa, dan juga tidak menyusahkan mereka. Apatah lagi melayannya dengan kasar, termasuk dalam kes ini membentak kepadanya. Lagipun isteri merupakan ibu kepada anak-anaknya yang telah dijaga oleh isterinya dengan susah payah dan melakukan pengorbanan sejak kecil, walaupun mereka masih dalam kandungan. Isteri mestilah dilayan dengan baik, seperti dalam firman Allah,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا يَحِلُّ لَكُمْ اَنْ تَرِثُوا النِّسَاۤءَ كَرْهًا ۗ وَلَا تَعْضُلُوْهُنَّ لِتَذْهَبُوْا بِبَعْضِ مَآ اٰتَيْتُمُوْهُنَّ اِلَّآ اَنْ يَّأْتِيْنَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ ۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا
“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” [TMQ An-Nisa’ (4): 19]
Islam Ada Penyelesaiannya
Allah SWT meletakkan tanggungjawab kepimpinan dalam rumah tangga kepada suami. Ini bermakna suami bertanggungjawab atas segala yang berlaku dalam rumah tangganya. Kejayaan beliau mendidik isteri dan anak-anak mengikut tuntunan Islam akan membawa rahmat kepada keluarganya. Apabila seorang suami bertindak sebagai pemimpin, dia hendaklah bijak dalam berurusan dengan orang bawahannya. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya, menganggap dirinya yang paling benar, atau memiliki kekuasaan penuh yang tak tertandingi.
Malah, dalam perjalanan kehidupan rumah tangga mereka, apabila ditimpa keburukan atau ujian kerana kederhakaan seorang isteri, Islam turut memberikan jalan penyelesaian kepada para suami untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang bijak. Islam telah memerintahkan seorang suami, sebagai ketua rumah tangga, untuk memberi peringatan dan nasihat kepada isterinya. Allah SWT menunjukkan cara untuk menyelesaikan konflik dalaman keluarga seperti dalam firmanNya yang berikut,
وَالّٰتِيْ تَخَافُوْنَ نُشُوْزَهُنَّ فَعِظُوْهُنَّ وَاهْجُرُوْهُنَّ فِى الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوْهُنَّ ۚ فَاِنْ اَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوْا عَلَيْهِنَّ سَبِيْلًا ۗاِنَّ اللّٰهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” [TMQ An-Nisa’(4): 34]
Ayat ini jelas menunjukkan apa yang patut dilakukan oleh seorang suami apabila isterinya menderhaka kepadanya. Bukan dengan mengherdiknya, tetapi dengan menegurnya dengan baik, memisahkan tempat tidurnya, dan memukulnya dengan ringan, tanpa meninggalkan kesan, dan tidak dilakukan di tempat yang berbahaya. Semua ini adalah sebahagian daripada ta’dib (pendidikan) seorang suami untuk isterinya.
Rasulullah SAW juga memberi contoh kepada kita dalam menasihati isterinya. Bukan dengan menjerit, tetapi dengan menggunakan bahasa yang tegas dan mendidik. Diriwayatkan dalam sebuah kisah bahawa ketika Aisyah berkata kepada Rasulullah bahawa Shafiyah (salah seorang isteri baginda) adalah seorang gadis yang pendek, mendengar hal itu, Rasulullah segera menegur Aisyah agar tidak merendah-rendahkan orang lain seperti kalimat yang baru saja diucapkan oleh isteri tercintanya, “Sesungguhnya kamu telah mengatakan satu perkataan yang jika dicampur dengan air laut akan merosakkan air laut.” [HR Tirmidzi]
Daripada hadis ini dapat kita ketahui bahawa walaupun Rasulullah SAW sangat menyayangi Aisyah, baginda tetap bertindak tegas demi kebaikan isterinya.
Khatimah
Justeru, Islam telah memberikan panduan kepada kita khususnya kepada para suami dalam menjalankan peranan sebagai ketua keluarga. Walaupun seorang suami adalah orang yang bertanggungjawab terhadap keluarganya, dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap ahli keluarganya. Dia tidak boleh menyakiti isterinya dengan membentak kepadanya.
Islam tetap mewajibkan dia mendidik isterinya dengan cara yang soleh. Dengan kata-kata yang tegas misalnya, tanpa menyakiti perasaan isterinya sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW. Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat