[Khilafah Rasyidah] Mengenal Khilafah Rasyidah (Muqaddimah) (Bahagian 2/2)
Penulis: dr. Hamdan Fahmi
[Sambungan dari Bahagian ½]
Cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh Daulah Islamiah ada dua jenis. Masing-masing jenis memiliki beberapa turunan. Sesuai dengan kemampuan yang ada, kami akan menyebutkannya disertai dengan penjelasan dan perincian.
Kemudian akan kami paparkan hasil ijtihad kami untuk menghadapi, menangkis, dan menolak. Seterusnya sudah tentu agar dapat mengalahkan berbagai cabaran itu dan mengungguli berbagai kekuatan kebatilan dan permusuhan yang berdiri di belakang berbagai cabaran itu.
Jenis cabaran pertama adalah cabaran luar negeri.
Cabaran ini utamanya ada tiga:
Pertama, perang fizikal dengan segala bentuk dan jenisnya serta segala turunannya.
Kedua, politik penyelewengan dan penyesatan, serta perang pemikiran dengan segala macamnya.
Ketiga, embargo, baik secara politik, pemikiran, mahupun ekonomi.
Adapun jenis cabaran dan kesulitan yang kedua adalah cabaran-cabaran dan kesulitan-kesulitan dari dalam negeri. Ini adalah kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh negara dan orang-orang yang mengatur berbagai urusan negara, serta secara umum dihadapi oleh seluruh rakyat yang hidup di bawah kekuasaan negara.
Jenis cabaran ini di antaranya ada yang berkaitan dengan luar negeri, seperti ahli politik yang menjadi ejen asing sebagai warisan sistem sebelumnya. Di antaranya ada yang berkaitan dengan keterbatasan kemampuan dibandingkan dengan besarnya cabaran. Di antaranya juga ada yang berkaitan dengan tahap kesedaran dan pemahaman yang dimiliki umat dan hal-hal lain yang menjadi sebab kesulitan-kesulitan itu.
Secara umum cabaran-cabaran dalam negeri dapat dihadkan dalam lima perkara, yang darinya boleh diperincikan bentuk-bentuk lain yang berhubungan dan menjadi pecahannya. Kelima-lima perkara itu adalah.
- Aktiviti mobilisasi secara pemikiran mahupun maknawi untuk menghadapi akibat-akibat peperangan dengan segala jenisnya.
- Keterbatasan kemampuan dibandingkan dengan besarnya cabaran dalam negeri dan luar negeri. Perkara ini berkaitan dengan masalah peningkatan persenjataan dan berbagai persiapan secara militer.
- Penerapan Islam secara revolusioner dan berbagai kesulitan yang menghadang, khususnya pada masa awal.
- Pembasmian pelbagai realiti rasuah yang diwarisi daripada sistem dan aktiviti terdahulu untuk mereformasikan bentuk rasuah dalam semua aspek sama ada politik, ekonomi mahupun sosial. Perkara ini mempunyai empat cabang.
- Pendidikan dan kurikulum.
- Akhbar dan media massa.
- Mata wang dan pelbagai mata wang dalam edaran.
- Keperibadian penguasa dan pegawai yang bermasalah, serta pelbagai kerosakan yang disebabkan oleh warisan sistem terdahulu dalam bidang pemerintahan, keadilan, atau kewangan.
Inilah cabaran dan kepayahan utama, baik dari luar mahupun dalam negara, yang bakal dihadapi oleh daulah. Saya akan mengemukakan masalah yang disertai dengan pembahasan, analisis, dan penjelasan. Saya akan merumuskan penyelesaian syarie untuk menyelesaikan masalah ini, jika memang ada penyelesaian syarie yang diperoleh daripada bukti terperinci.
Saya akan berusaha merumuskan penyelesaian-penyelesaian politik bersifat administratif yang berkaitan dengan berbagai cara dan sarananya. Perkara ini, seperti yang sudah saya sebutkan, merupakan pintu persiapan dan usaha untuk mengambil hukum sebab musabab.
Hal itu tentu saja disertai dengan keimanan dan keyakinan bahawa kemenangan pada akhirnya akan berada di pihak umat Islam melalui pengaturan Daulah Islamiah.
Allah SWT berfirman, “ Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (TMQ Al-Hajj: 38—39).
“ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (TMQ Ar-Rum: 47).
“ Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (TMQ Al-Qasas: 5—6).
“ Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (TMQ Ghafir: 51).
“ Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (TMQ An-Nur: 55).
Kami memohon kepada Allah SWT agar menjadikan ini sebagai pengetahuan baru yang akan menambah perbendaharaan pengetahuan para pengemban dakwah. Dengan demikian, mereka akan mengaktifkan akal dan pemikiran mereka untuk melakukan inovasi dan pengkajian dalam masalah yang sangat penting ini. Sebagaimana kami juga memohon kepada Allah SWT agar menuntun kami dalam berijtihad kepada kebenaran.
Kami juga memohon kepada Allah SWT agar pengetahuan ini memberikan manfaat kepada saudara-saudara kami, para pengemban dakwah, pada tahapan ini dan nanti setelah Daulah Khilafah Islamiah Rasyidah Kedua tegak kembali dalam waktu dekat dengan seizin Allah Taala.
Sumber: dr. Hamdan Fahmi, Khilafah Rasyidah.