[Mafahim Islamiyyah] Kedudukan Adat dalam Undang-Undang Islam (Bahagian 2/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 1/5)
Definisi Urf (Adat)
Urf secara etimologi adalah lawan dari kata nukr (munkar). Urf bererti perkara yang popular (al-amru al-makruf) yang tidak majhul (tidak dikenal). Urf juga bermakna bahagian tertinggi dari sesuatu sehingga dikatakan urful jabal (puncak gunung), urful faros (bulu tengkuk kuda), dan urfud diik (balung ayam).
Secara terminologi (istilah), urf adalah perkara yang telah menjadi adat kebiasaan manusia, baik berupa ucapan atau aktiviti. Imam Ghazali telah mendefinisikan urf dengan perkataannya, urf adalah perkara yang telah menyatu dalam jiwa melalui akal dan telah diterima dengan baik oleh tabiat/watak.
Adapun urf yang sedang menjadi pembahasan kami adalah adat/tradisi dari jemaah atau perkara yang telah menjadi adat kebiasaan masyarakat dari kelompok masyarakat dan telah berjalan dalam kehidupannya, baik berupa ucapan atau perbuatan.
Hakikat Urf (Adat/Tradisi)
Pada hakikatnya, urf dihasilkan dari sekumpulan pemikiran dan pemahaman yang menguasai masyarakat. Juga dari berbagai sistem dan undang-undang yang telah dijadikan solusi hukum oleh manusia dalam memecahkan perkara mereka sejak zaman dahulu. Kemudian pemikiran-pemikiran dan sistem-sistem ini menjadi adat istiadat dan standard bagi manusia. Mereka kembali kepadanya dalam hukum-hukum, aktiviti-aktiviti, dan berbagai perselisihan mereka, baik mereka memahami sumbernya atau tidak.
Urf—sekadar contoh pada kaum muslim, keluar dari pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum Islam yang telah ditabanni oleh kaum muslim dan telah dijadikan pelarian hukum sejak beberapa abad yang lalu. Misalnya, sebahagian adat istiadat yang ada pada hari ini, seperti mengunjungi sanak saudara pada hari-hari kebesaran, membuat makanan untuk keluarga mayit, aktiviti walimah dalam pernikahan, dan lain-lain. Semua contoh tersebut adalah adat kebiasaan dan adat istiadat yang bersandar kepada dalil-dalil syarak.
Hanya saja, di sana terdapat adat istiadat yang telah berubah dan telah menjadi adat istiadat yang menyalahi Islam. Hal demikian disebabkan lenyapnya negara Islam dan menggunakan hukum selain Islam dalam kehidupan manusia, seperti sekularisme, patriotisme, nasionalisme, dan lain-lain dari sistem-sistem buatan manusia.
Kedudukan Ulama Kaum Muslim terhadap Urf
Berkata para ulama muslim, iaitu orang-orang yang telah mengambil urf, “Sesungguhnya urf itu ada yang benar dan ada yang rosak . Urf yang benar adalah urf yang tidak menyalahi syarak, sedangkan urf yang salah adalah urf yang menyalahi syarak.
Sebahagian ulama menganggap bahawa urf yang benar adalah salah satu sumber undang-undang Islam. Seorang fakih atau mujtahid menjadikannya sebagai petunjuk untuk sampai kepada hukum-hukum dari sebahagian masalah-masalah yang terjadi dan tidak ada nasnya.
Sebahagian ulama mengambil petunjuk dengan urf untuk menentukan dalil yang umum dan mengambil faedah dari dalil mutlak. Mereka juga menjadikan urf itu sebagai hukum dalam sebahagian situasi untuk menerima perkataan-perkataan daripada salah seorang yang terlibat dalam perkara itu ketika tiada saksi secara syarie bagi tiap orang dari mereka.
Para ulama telah menyandarkan perkataan tersebut kepada pandangan sebahagian daripada para imam terdahulu. Contohnya adalah Imam Malik yang telah membangun sebahagian hukum-hukumnya berdasarkan aktiviti penduduk Madinah. Ini berdasarkan adat istiadat dan adat kebiasaan penduduk Madinah al-Munawwarah.
Perbezaan Abu Hanifah dan para sahabatnya setelahnya dalam sebahagian hukum-hukum syarak dengan sebab perbezaan adat kebiasaan.
Ketika Imam Syafie tinggal di Mesir, beliau telah mengubah sebahagian hukum-hukum hasil ijtihadnya ketika bermukim di Baghdad. Ini kerana sebab berubahnya adat kebiasaan di Mesir dengan adat kebiasaan di Baghdad. Dengan demikian, Imam Syafie memiliki dua mazhab, yakni mazhab qadim dan mazhab jadid (yang lama dan yang baru).
Mereka juga telah berdalil atas hujah urf (adat kebiasaan) dengan dalil-dalil berikut:
Pertama, dari Al-Quran al-Karim dengan firman Allah SWT, “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” (TMQ Al-A’raf: 199).
Kedua, dari sunnah Nabi dengan sesuatu yang mereka nisbahkan kepada Rasulullah SAW, “Apa saja yang menurut pandangan kaum muslim itu baik, maka bagi Allah juga baik.”
Penetapan Rasulullah SAW terhadap sebahagian adat kebiasaan yang ada pada orang Arab sebelum beliau diutus, seperti akad mudarabah berserta syarat-syaratnya. Telah datang bahawa Abbas bin Abdul Muthalib ketika dia menyerahkan harta untuk akad mudarabah, dia mensyaratkan kepada amil agar tidak membawa harta melalui laut, tidak membawa harta turun ke jurang, dan tidak digunakan untuk membeli haiwan yang mempunyai hati yang basah (haiwan yang hidup).
Apabila amil melanggar syarat-syarat itu dan ditimpa kerugian, maka amil hendaklah mengganti kerugian tersebut. Kemudian perkara tersebut pun sampai kepada Nabi SAW, lalu beliau menganggap baik perkara itu.
Ketiga, daripada ijmak ialah akad pertukangan dan pesanan. Dengan keduanya, urf benar-benar berjalan tanpa sebarang penafian daripada sahabat. Oleh itu, yang seperti ini termasuk kategori ijmak, manakala ijmak sahabat merupakan salah satu sumber perundangan dalam Islam.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.
#MafahimIslamiyyah #Urf #HukumSyarak #Adat