[Mafahim Islamiyyah] Kedudukan Adat dalam Undang-Undang Islam (Bahagian 3/5)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 2/5)
Kedudukan Urf
Sebahagian fuqaha muslim seperti Malikiyah dan Hanafiyah telah menganggap urf sebagai dalil. Kemudian datanglah sebahagian hukum-hukum yang mereka hasilkan daripada adat istiadat dan adat kebiasaan selaras dengan hukum-hukum syarak. Masyarakat Islam di Madinah al-Munawwarah dan di daerah lainnya dari kota-kota Islam, orang-orang Islam di sana menjalani kehidupan dengan kehidupan Islam, baik di rumah-rumah, di jalan-jalan raya, di gedung-gedung ilmu, dan di semua urusan kehidupan.
Mereka telah lahir sebagai seorang muslim dan berkembang menjadi dewasa sebagai seorang muslim. Mereka hidup dalam naungan negara Khilafah yang telah menerapkan hukum Islam kepada mereka dan memelihara urusan mereka dengan Islam, tidak ada sesuatu selain Islam. Oleh itu, adat istiadat dan adat kebiasaan mereka memancar dari idea-idea dan pemikiran-pemikiran Islam, walaupun sebahagian mereka tidak memahami dalil-dalil syarak bagi adat istiadat dan adat kebiasaan mereka.
Namun setelah negara Khilafah berjaya diruntuhkan pada awal abad ke-20 Masihi, maka orang-orang kafir telah memerangi kaum muslim dengan budaya sekular kapitalisme. Mereka juga telah memerintah kaum muslim dengan sistem-sistem mereka. Semuanya ini telah menjadikan adat istiadat dan kebiasaan kaum muslim yang menyalahi Islam.
Contohnya, percampuran (ikhtilat) antara kaum keluarga dan sanak saudara lelaki dan wanita dalam kehidupan tertentu tanpa merasa berdosa. Padahal hukum syarak yang sangat popular keberadaannya adalah wajib memisahkan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan khusus, dengan menundukkan padangan daripada sesama kerabat sekiranya mereka bukan mahram. Misalnya ayah, saudara lelaki, pakcik dari ayah, pakcik dari ibu, dan lain-lain.
Muncul juga majoriti wanita dalam kehidupan umum yang mengenakan busana tidak syarie. Berlakunya percampuran dan perhimpunan aktiviti-aktiviti kaum Muslim setiap Jumaat, lebih-lebih lagi selepas solat Jumaat. Perkara ini akhirnya menjadi kebiasaan bagi majoriti kaum Muslim. Padahal Allah SWT berfirman, “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), …” (TMQ Al-Jumu’ah: 10).
Pengemban dakwah juga dihadkan, dan aktiviti mengubah kemungkaran hanya bagi lelaki tanpa menyertakan kaum wanita, kecuali sedikit. Padahal mereka faham bahawa semua itu (tanggungjawab dakwah) dituntut daripada semua kaum muslim, tidak membezakan antara lelaki dan perempuan. Seperti inilah petunjuk dari nas-nas syarak, sirah Rasulullah SAW, dan ijmak sahabat.
Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (TMQ Ali Imran: 104).
Jelaslah bahawa lafaz itu umum mencakupi setiap orang muslim, lelaki atau perempuan. Seperti inilah yang telah diperbuat oleh Khadijah, Sumayyah, Asma’, Aisyah, dan seorang perempuan yang telah membenarkan ijtihad Khalifah Umar dan perempuan-perempuan yang lain.
Ulama mazhab Maliki dan Hanafi telah memutuskan bahawa apabila kewujudan masyarakat adalah Islam dan hidup secara islami, hukum yang ditetapkan dengan urf yang betul adalah seperti hukum yang ditetapkan dengan dalil syarak. Sebahagian ulama telah membuat kaedah kulliyah (universal) berupa adat istiadat yang boleh menjadi asas atau dasar hukum.
Mereka semua tidak menyedari bahawa sesungguhnya semua adat istiadat dan adat kebiasaan pada zaman mereka bersandar pada dalil-dalil syarak. Ini adalah kedudukan sebahagian fuqaha kaum muslim terhadap urf. Sedangkan selain kaum muslim, maka urf bagi mereka merupakan sumber dasar bagi perundangan sebagaimana terjadi di Britain dan negara-negara lain. Dengan demikian, setelah mengadopsi sistem kapitalisme, orang-orang Barat membuat sendiri undang-undang yang mengatur kehidupan dan semua interaksi mereka.
Oleh kerana itu, hukum-hukum bagi mereka telah menjadi sasaran untuk perubahan dan penggantian. Juga menjadi sasaran perselisihan dan pertentangan kerana mengikuti perubahan adat istiadat dan kebiasaan. Jelaslah bahawa sesuatu yang dibolehkan menurut suatu kaum, adakalanya dilarang oleh kaum yang lain. Begitu pula sesuatu yang dibolehkan pada suatu zaman, adakalanya dilarang pada zaman yang lain.
Dewan Rakyat (House of Common) di UK—hanya contoh— iaitu kuasa legislatif menurut mereka, sejak bertahun-tahun telah membolehkan penyimpangan seksual. Padahal perbuatan itu asalnya diharamkan oleh mereka, kemudian dibolehkan berdasarkan adat istiadat dan kebiasaan sehingga akhirnya mendominasi masyarakat Britain.
Sistem-sistem Barat juga telah membolehkan manusia untuk mengambil dan menyimpan narkotik setelah beredar dan manusia terbiasa menggunakannya. Padahal jual-beli narkotik telah dilarang.
Sebahagian daripada mereka juga telah membenarkan aktiviti pengguguran selepas pengguguran menjadi popular dan diterima masyarakat. Menurut mereka, perkara ini merupakan implikasi daripada adat resam dan kebiasaan yang timbul daripada idea kebebasan dalam sistem kapitalisme mereka.
Jadi, hukum-hukum yang ditetapkan berdasarkan urf selalu berputar bersama urf ketika urf itu berputar. Oleh kerana itu, kita melihat perubahan dan penggantian sering berlaku terhadap undang-undang buatan manusia, baik di negeri-negeri kita atau di negeri-negeri lain dari masa ke masa. Ini kerana keselarasan adat istiadat dan adat kebiasaan manusia yang selalu bertukar-ganti dari waktu ke waktu akibat lenyapnya sistem Islam, yakni sistem yang tetap dan menyeluruh yang telah diredhai Allah SWT bagi manusia sampai Hari Kiamat.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.