PELAKU RIBA LEBIH HINA DARIPADA PENZINA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Al-kisah, suatu ketika Ghamidiyah dicengkam rasa takut yang luar biasa. Sebab, kerana khilaf, dia terjerumus ke dalam lembah hina iaitu berzina! Setelah segera tersedar dari khilafnya, dia pun bergegas menemui Rasulullah SAW, meminta Baginda untuk segera merejam dirinya sampai mati (HR at-Tirmidzi). Sudah tentu, bersedianya Ghamidiyah untuk direjam kerana dia amat khuatir, jika tidak direjam di dunia, azab yang jauh lebih pedih sedia menunggu dirinya di akhirat.
Namun, banyak yang tidak mengetahui bahawa, ada dosa yang jauh lebih besar daripada zina. Azab bagi pelakunya juga lebih mengerikan daripada yang dialami oleh para penzina. Itulah riba!
Tentang dosa riba Rasulullah SAW bersabda, “Riba itu memiliki 73 pintu. Yang paling ringan dosanya adalah seperti seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri.” (HR al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan Al-Baihaqi dalam Su’ab al-Imân).
Zina adalah dosa besar. Apatah lagi berzina dengan ibu sendiri, tentu lebih besar lagi dosanya. Namun, kata Nabi SAW, itu baru setara dengan dosa riba yang paling ringan. Lalu bagaimana dengan dosa riba yang paling berat?!
Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Satu dirham riba yang dimakan oleh seseorang, sementara dia tahu, adalah lebih berat (dosanya) daripada berzina dengan 36 pelacur.” (HR Ahmad, al-Baihaqi dan ath-Thabrani).
Satu dirham ketika ini sama dengan lebih kurang RM23 sahaja. Dengan kata lain, seseorang yang memakan harta hasil riba hanya RM23 sahaja sama dengan telah berzina dengan 36 orang pelacur. Lalu bagaimana dengan harta yang mengandungi riba yang jumlahnya lebih daripada itu: jutaan hingga berjuta-juta ringgit? Andai disejajarkan dengan hukuman bagi penzina, berapa puluh, berapa ratus bahkan berapa ribu kali pelaku riba mesti direjam? Bagaimana pula dengan azab yang bakal dia rasakan di akhirat kelak? Sudah pasti amat mengerikan!
Lalu siapa yang disebut pelaku riba? Dalam Sahîh Muslim, dari pertuturan Jabir bin Abdillah RA mengatakan, “Rasulullah SAW telah melaknat pemakan riba (pemberi pinjaman), peminjam (nasabah), pencatat (penulis) dan dua orang saksinya.” Beliau mengatakan, “Mereka semua itu sama (sama-sama berdosa).” (HR Muslim).
Dalam sistem ekonomi kapitalisme yang diterapkan di tengah-tengah umat Islam saat ini, sudah tentu riba ada pelbagai jenis. Di antaranya ialah: kredit dan tabungan berbunga (deposit); jual-beli mata wang yang tidak diserah terima secara tunai di tempat transaksi; kredit hartanah berasaskan bunga, dll. Selain itu banyak amalan perniagaan yang secara tidak langsung juga berhubungan dengan riba seperti: jual-beli saham yang dilakukan oleh bank, perusahaan atau lembaga-lembaga kewangan yang tidak sepi dari unsur riba, dll.
Maka dari itu, setiap Muslim hendaklah berhati-hati dengan jenis-jenis riba, termasuk akad-akad tidak syarie ataupun yang melibatkan dengan riba, secara langsung atau tidak langsung. Hal ini kerana riba adalah masalah besar dan risikonya pun amat besar, baik di dunia mahupun di akhirat. Di dunia, jelas harta-harta yang bercampur riba tidak akan berkat, bahkan bakal musnah (QS al-Baqarah [2]: 276). Di akhirat, sebagaimana dijelaskan pada awal, jelas riba boleh mendatangkan azab yang amat pedih; pelakunya boleh kekal di neraka (QS al-Baqarah [2]: 276).
Oleh itu, mari kita tinggalkan dosa riba. Sambutlah seruan Allah SWT (yang bermaksud): “Bertaubatlah kalian semua, wahai kaum Mukmin, agar kalian beruntung.” [TMQ an-Nur (24): 31].
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alayhi tawakkaltu wa ilayhi unîb.
#dosariba #dosazina #jauhiriba #jauhizina