Tolak Trump: Amerika Halang Kebangkitan Islam dan Khilafah di Asia Tenggara
Oleh: Syamsiyah Jamil
Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman merungkaikan bahawa Amerika mempunyai kepentingan dalam ASEAN untuk menghalang kebangkitan Islam dan Khilafah di Asia Tenggara.
“Selain daripada negara Arab, di kawasan Asia Tenggara ini juga merupakan kawasan yang berpotensi untuk Khilafah bangkit, untuk umat Islam bangkit. Jadi kawasan ini mesti dihalang oleh Amerika daripada berlakunya kebangkitan umat Islam. Jadi mereka mesti mencengkam kawasan ini habis-habisan supaya umat Islam tidak bangkit, supaya Khilafah tidak bangkit,” ujarnya dalam Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk Kedatangan Trump: Kenapa Wajib Ditolak? di laman Facebook Jurucakap HTM, Jumaat (19/9/2025)
Beliau mengatakan demikian kerana selain Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura, Asia Tenggara juga ada Indonesia yang mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia.
“Di kawasan ASEAN ini, kawasan ini memiliki jumlah kaum Muslimin yang terbesar di dunia. Jadi bayangkan potensi sekiranya umat Islam yang ada di kawasan Asia Tenggara ini kalau mereka bangkit,” katanya.
Lanjutnya, di Timur Tengah, Amerika berusaha bersungguh-sungguh supaya umat Islam di sana tidak bangkit.
“Walaupun dah berlaku revolusi Arab spring, umat Islam cuba bangkit dan kita lihat bagaimana Amerika cuba untuk merampas revolusi tersebut untuk memastikan umat Islam tidak bangkit, untuk memastikan Khilafah tidak muncul di kawasan negara-negara Arab,” jelasnya.
Beliau menunjukkan, Amerika berusaha menghalang kebangkitan itu dengan cara mengawal ekonomi, politik dan pemerintahan di Asia Tenggara.
“Amerika memastikan supaya pemerintahan ini tetap demokrasi sekular, jangan ada suara-suara nak mengembalikan semula khilafah, jangan ada suara-suara nak mengembalikan semula al-Quran dan as-Sunnah dalam pemerintahan negara,” ucapnya.
Tambahnya, tidak ada masalah bagi Amerika jika ada parti Islam yang berjuang dalam sistem demokrasi dan berpegang kepada perlembagaan yang diberi oleh kafir penjajah.
“Tapi kalau ada kaum Muslimin yang berjuang untuk menegakkan Khilafah, untuk menghapuskan sempadan-sempadan negara bangsa ini, untuk menukar perlembagaan yang diberi oleh penjajah kepada al-Quran dan as-Sunnah, ini merupakan satu perkara yang sangat membahayakan Amerika,” tegasnya.
Selain kepentingan tersebut, beliau memandang bahawa lokasi yang strategik di Malaysia dan Indonesia juga menjadi kepentingan bagi Amerika.
“Kita semua tahu ada Selat Melaka, antara Selat yang tersibuk di dunia, antara Selat yang menjadi laluan penting perjalanan perdagangan di antara timur dan barat dunia ini. Selat Melaka ini selat yang sangat penting,” tuturnya.
Oleh kerana itu, beliau menjelaskan bahawa selat ini tidak boleh dilepaskan daripada kawalan Amerika.
“Jadi Amerika tidak akan membiarkan kawasan Selat Melaka yang sangat penting ini begitu sahaja. Jadi kedatangan Trump ke mesyuarat ASEAN ini kerana Trump tidak mahu melepaskan kepentingan Asia ini bagi Amerika,” jelasnya.
Lanjutnya, Amerika berusaha memastikan Selat Melaka sentiasa terbuka dan tidak boleh dikuasai oleh Khilafah.
“Sebenarnya kalau Khilafah tegak contohnya di Malaysia atau pun di Indonesia, kita boleh tutup Selat Melaka itu kepada perdagangan dunia. Ini merupakan satu kerugian yang sangat besar kepada Barat dan juga Timur kalau Selat Melaka itu dikuasai oleh negara Khilafah,” terangnya.
Beliau juga mengungkapkan bahawa Amerika mempunyai kepentingan untuk menguasai sumber alam seperti minyak dan emas.
“Sumber alam yang begitu banyak ini yang dimahukan oleh Amerika. Jadi mereka mesti kuasai sumber-sumber alam yang berada di negeri-negeri kaum Muslimin. Jadi ini merupakan satu keuntungan ekonomi untuk Amerika yang tidak boleh dilepaskan,” lanjutnya.
Beliau menyimpulkan bahawa Amerika mesti berusaha mencengkam negara-negara Asia melalui pelbagai cara sekalipun.
“Jadi atas tiga sebab ini, bagi saya, mereka akan sentiasa memerhatikan kawasan ASEAN ini dan tidak akan melepaskan ASEAN ni daripada pandangan mereka,” simpulnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1KYSt1zywT/