Kepimpinan Rumah Tangga Muslim: Dimanakah Pincangnya?
Oleh : Maryam Ismail
Rumah tangga dalam Islam adalah institusi suci yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat. Allah SWT menyebut rumah tangga sebagai tempat ketenangan (sakinah) dan sumber kasih sayang (mawaddah) serta rahmat. Firman Allah SWT:
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup dari jenismu sendiri, supaya kamu mendapat ketenangan (sakinah) daripadanya, dan Dia menjadikan di antaramu kasih sayang (mawaddah) dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TMQ Ar-Rum (30): 21]
Namun, realiti hari ini menunjukkan bahawa krisis rumah tangga semakin meruncing. Statistik perceraian di Malaysia terus meningkat dari tahun ke tahun, mengisyaratkan rapuhnya institusi rumah tangga yang seharusnya menjadi asas keutuhan masyarakat. Krisis ini seringkali berpunca daripada kegagalan pasangan suami isteri dalam memahami serta menunaikan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Persoalannya, dimanakah pincangnya apabila institusi rumah tangga Muslim semakin rapuh, ibarat telur di hujung tanduk?
Kegagalan Ketua Keluarga Menunaikan Amanah
Islam telah menegaskan bahawa seorang suami adalah pemimpin (qawwam) dalam keluarganya. Jawatan pemimpin ini bukan sekadar gelaran, tetapi satu amanah yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia akan ditanya tentang kepimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Namun, pada zaman moden ini, kegagalan lelaki menjalankan peranan ini semakin ketara. Antara bentuk kegagalan yang ketara ialah pengabaian pendidikan agama kepada isteri dan anak-anak. Ramai lelaki hanya menyerahkan sepenuhnya pendidikan anak-anak kepada sekolah atau pasangan, sedangkan tanggungjawab utama tersebut adalah di bawah tanggungan seorang ayah.
Selain itu, terdapat juga suami yang sekadar memenuhi tanggungjawab material seperti menyediakan nafkah kewangan, tetapi mengabaikan keperluan emosional dan spiritual keluarga. Keadaan ini menyebabkan jurang hubungan yang akhirnya mempengaruhi keharmonian keluarga. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menekankan bahawa seorang ayah harus menjadi guru pertama anak-anaknya. Jika seorang ayah lalai, generasi akan rosak dan masyarakat akan runtuh.
Lebih membimbangkan, terdapat juga kes di mana lelaki menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai pemimpin dengan melakukan keganasan rumah tangga. Fenomena ini semakin meningkat sehingga menjadi isu sosial yang meluas. Contoh yang menyayat hati ialah kes Jahidah Nordin, seorang wanita yang dipukul suaminya sehingga koma. Statistik dari Januari hingga April 2025 mencatatkan bahawa 74% mangsa keganasan rumah tangga adalah wanita, manakala 26% lagi terdiri daripada anak-anak dan golongan lain.
Perbuatan zalim seperti ini jelas melanggar sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada kelembutan dan kasih sayang dalam melayani isteri. Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” [HR at-Tirmizi]
Sayangnya, ada suami yang menyalahgunakan kedudukan sebagai ketua keluarga untuk menzalimi pasangan. Pengabaian tanggungjawab pula berlaku dalam pelbagai bentuk, contohnya kegagalan suami dalam menyediakan nafkah zahir (makan, pakaian, tempat tinggal) dan nafkah batin (kasih sayang, perhatian). Pada tahun 2021 sahaja, 70% daripada 2600 kes penceraian di seluruh Negeri Sembilan adalah disebabkan kecuaian suami dalam memberikan nafkah.
Namun, terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadi punca penceraian seperti masalah ekonomi keluarga, skandal, isteri bersikap curang, isteri mengabaikan peranan sebagai ibu dan pendidik, campur tangan pihak luar dalam rumah tangga dan pelbagai lagi. Apabila prinsip tanggungjawab ini dilanggar, rumah tangga kehilangan mawaddah dan rahmah, lalu bertukar menjadi medan penderitaan dan perlawanan.
Solusi Islam: Tanggungjawab Suami sebagai al-Qawwam
Allah SWT menegaskan kedudukan suami sebagai al-Qawwam:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin (qawwam) bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan juga kerana mereka (lelaki) telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka.” [TMQ an-Nisa (4): 34]
Imam Abu Ja’far at-Thabari menafsirkan ayat ini seperti berikut, “Maksud ayat ini adalah bahawa lelaki merupakan pelindung (pemimpin) bagi kaum wanita dalam mendidik dan mengajak mereka kepada apa yang telah diperintahkan oleh Allah Taala. Hal itu disebabkan kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki atas perempuan, mulai dari mahar, nafkah, hingga biaya rumah tangga. Itu merupakan kelebihan yang telah Allah SWT anugerahkan kepada lelaki. Alhasil, mereka menjadi qawwam (pemimpin) bagi kaum perempuan, iaitu pelaksana (pengemban) tugas dari Allah SWT untuk kaum wanita.”
Konsep qawwam ini tidak sesekali membawa maksud lelaki boleh menindas wanita, tetapi mengandungi beban tanggungjawab yang berat. Seorang suami harus memenuhi dua aspek utama:
- Pemberi nafkah zahir dan batin. Nafkah bukan sekadar wang, tetapi meliputi penyediaan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang mencukupi dan sesuai. Makanan yang diberikan perlu halal dan thoyyib (baik), dan pakaian yang disediakan harus menutup aurat ahli keluarga.
- Pendidik dan pemimpin spiritual. Seorang suami wajib emmastikan keluarganya memahami al-Quran dan sunnah sebagai asas kehidupan mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab yang baik.” [HR at-Tirmizi].
Seorang suami juga bertanggungjawab melarang isteri bermaksiat atau meninggalkan kewajipan. Ta’dib sebagai mekanisma seorang suami untuk mengembalikan isteri kepada ketaatan kepadanya untuk sentiasa dalam landasan syariah. Jika suami gagal dalam peranan ini, status al-Qawwam tidak lagi membawa makna, bahkan menjadi sumber kezaliman.
Isteri sebagai Pendamping Suami dalam Membina Rumah Tangga
Islam mengangkat kedudukan wanita sebagai pendamping yang menenangkan dan menyokong suami dalam membina keluarga yang mengejar redha Allah SWT. Allah SWT menggambarkan wanita solehah dengan sifat berikut:
“Maka wanita-wanita yang soleh ialah yang taat, lagi memelihara (kehormatan dirinya dan apa yang wajib dipelihara) ketika suaminya tidak hadir, dengan pemeliharaan Allah.” [TMQ an-Nisa (4): 34]
Antara peranan utama isteri dalam rumah tangga ialah taat kepada suami dalam perkara ma’ruf. Ketaatan ini bukan bentuk perhambaan, tetapi ketaatan yang berpaksikan syariat. Selain itu, isteri juga perlu menjadi penyejuk hati suami, memberikan sokongan emosi, mental, dan spiritual.
Seorang isteri solehah pasti akan menjaga maruah dan rahsia rumah tangga serta tidak membocorkan aib keluarganya kepada orang luar. Seorang wanita yang memegang peranan sebagai seorang ibu juga perlu berfungsi sebaiknya sebagai ummun wa rabbatul bait, iaitu sebagai ibu dan pengelola rumah suaminya.
Penutup
Krisis rumah tangga bukanlah fenomena kecil, tetapi isu yang boleh meruntuhkan masyarakat. Apabila suami gagal memimpin sebagai qawwam, isteri mengabaikan peranannya sebagai pendamping solehah, dan apabila kezaliman serta pengabaian tanggungjawab menjadi budaya, institusi keluarga akan runtuh.
Penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan kembali kepada acuan al-Quran dan sunnah. Suami dan isteri perlu memahami amanah masing-masing, menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, serta membina rumah tangga sebagai medan tarbiyah menuju Allah SWT. Hanya dengan cara ini institusi keluarga akan kembali kukuh, menjadi benteng umat dan madrasah jiwa yang melahirkan generasi beriman.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat