Perjanjian Rangka Kerja Sudan adalah Hasil Pembrokeran Barat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis HT Amerika, Sarah Mohamed, menegaskan bahawa Perjanjian Rangka Kerja (Framework Agreement) yang ditandatangani oleh pihak tentera dan kumpulan awam (pro-demokrasi/FFC) Sudan pada Disember 2022 hanyalah hasil broker Barat demi kepentingannya di negara itu.
“Perjanjian Rangka Kerja itu telah digubal oleh utusan PBB, Volker Perthes, di bawah penyeliaan langsung pihak Amerika dan British. Jika kita menelusuri kembali kepada Perjanjian Damai Juba pada 3 Oktober 2020, perjanjian itu juga adalah hasil pembrokeran Amerika. Sekarang, seperti mana-mana perjanjian atau dasar lain yang di broker oleh Amerika atau mana-mana negara kolonial lain dalam hal ini, mereka tidak pernah ikhlas,” katanya dalam sesi forum atas talian yang disiarkan di platform Rumble.com bertajuk Only The Khilafah Will Bring Glory to Sudan, pada Sabtu (20/9/2025).
Menurutnya, meskipun perjanjian itu menjanjikan pemerintahan sivil dan pilihan raya selepas dua tahun peralihan, ia sebenarnya membuka jalan kepada penjajahan ideologi dan nilai sekular Barat atas nama hak asasi manusia.
“Apabila perjanjian itu menyatakan bahawa kerajaan Sudan mesti mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa, khususnya berkaitan hak wanita, ia sebenarnya bermaksud bahawa mereka mesti menurut undang-undang, prinsip dan kepercayaan sekular Barat. Seperti halnya Deklarasi Seattle dan Deklarasi Beijing,” jelasnya.
Sistem demokrasi, sistem gagal
Menjawab persepsi bahawa demokrasi adalah jalan terbaik menuju keadilan dan kesejahteraan, Sarah memberi amaran bahawa sistem itu telah gagal di tempat asalnya dan hal itu dapat dilihat jelas oleh masyarakat dunia.
“Semua orang dapat melihat apa yang sedang berlaku di Amerika, Britain atau Perancis, serta kemerosotan berterusan yang sedang mereka alami. Pada masa yang sama, mereka cuba menyembunyikan kegagalan itu dengan pembohongan terang-terangan dan manipulasi persepsi (gaslighting),” katanya.
Beliau turut mengkritik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam sebuah sidang media bersama Keir Starmer, yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Katanya, “Trump sebenarnya membuat kenyataan menggelikan hati bahawa, `Amerika Syarikat dan United Kingdom telah melakukan lebih banyak kebaikan di planet ini berbanding mana-mana bangsa lain dalam sejarah manusia’.”
“Hakikatnya mereka telah meninggalkan jejak kematian, kemusnahan dan kemiskinan. Tidak ada apa-apa kebaikan yang datang dari kuasa-kuasa besar ini dan penjajahan mereka,” sambungnya.
Beliau menolak dakwaan bahawa demokrasi adalah haluan atau jalan ke masa depan yang kononnya akan membawa kemakmuran, keselamatan dan pembangunan.
“Namun, yang berlaku sebenarnya adalah sebaliknya. Rakyat masih terus menderita akibat pemerintahan yang korup, ketidakstabilan, ketiadaan keselamatan dan kemiskinan,” kritiknya lagi.
Ia turut menyangkal dakwaan demokrasi adalah sistem daripada rakyat untuk rakyat.
“Hakikatnya kuasa untuk membuat perubahan dan menggubal undang-undang hanya terletak di tangan segelintir golongan elit yang kaya dan mereka melakukannya dengan mengorbankan keperluan rakyat,” tegasnya.
Sarah turut mempersoalkan nilai kemanusiaan yang dicanang oleh sistem kapitalis Barat, menyebut bahawa Amerika Syarikat sendiri gagal menyediakan keperluan asas rakyatnya.
“Negara ini sedang menghadapi kemerosotan infrastruktur, kemiskinan, kekurangan bekalan makanan, masalah gelandangan, serta kesukaran untuk mendapatkan rawatan perubatan. Sistem pendidikannya pula berada dalam keadaan yang sangat teruk. Kanak-kanak seawal usia lima tahun sudah berani mengancam untuk mencederakan guru mereka. Malah, beberapa tahun lalu, seorang murid darjah satu telah menembak dan mencederakan gurunya di hadapan seluruh kelas,” ujarnya membongkar realiti sebenar.
Menurutnya lagi, demokrasi sebenarnya hanya menguntungkan kuasa besar dan menjadi alat mengalih perhatian rakyat serta mengekalkan kawalan terhadap masyarakat dunia.
“Kuasa-kuasa kolonial Barat menjalankan urus niaga untuk mewujudkan perpecahan, mencipta puak-puak dan huru-hara di luar negara malah di dalam negara kerana ia membuatkan orang ramai terganggu, hanya fokus untuk terus hidup dan tidak mengetahui sebarang sistem alternatif yang mungkin wujud untuk menjaga hal ehwal mereka,” ujarnya.
Islam sebagai alternatif
Dalam sesi sama, Sarah menjelaskan bahawa Islam telah menyediakan sistem alternatif yang menjamin hak semua warganegara tanpa mengira agama.
“Negara (Khilafah) dilarang sama sekali mendiskriminasi antara individu. Setiap individu hendaklah dilayan secara saksama tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit atau apa-apa jua perbezaan lain,” katanya sambil menegaskan bahawa bukan Muslim, atau dhimmi, dilindungi di bawah Khilafah.
Mengulas peranan tentera dalam sistem Islam, Sarah berkata ia tidak boleh terlibat dalam perebutan kuasa seperti di Sudan.
Sebaliknya, “Khilafah perlu memastikan agar keutamaan fokus tentera adalah untuk melindungi Khilafah perlu memastikan bahawa tumpuan utama angkatan tentera adalah untuk melindungi sempadan Khilafah dan membawa wilayah-wilayah lain di bawah pemerintahan Islam.”
Sebagai penutup beliau menegaskan bahawa penyatuan di bawah satu pemerintahan adalah jalan untuk mengakhiri pendudukan Barat atas wilayah kaum Muslim.
“Sebaik sahaja negara itu (khilafah) diwujudkan semula di tanah-tanah umat Islam dan kita berada di bawah panji Islam dengan pasukan ketenteraan yang bersatu, maka kita akan mampu melindungi tanah-tanah kita daripada penjajahan, sebagaimana yang dilakukan pada zaman Nabi Muhammad SAW,” tutupnya. []