Wajah Sebenar Demokrasi yang Masih Dipuja
Oleh: Ika Mawarningtyas
Gagasan demokrasi yang berprinsip dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat seolah-olah menjadi candu yang terus dipuja dan diagungkan sebagai suatu sistem yang kononnya mampu membawa kesejahteraan. Namun, hakikatnya, demokrasi adalah idea yang memabukkan dan menjadikan manusia alpa terhadap kecacatannya sendiri. Ramai masih mempercayai bahawa sistem ini akan melahirkan keadilan dan kesejahteraan, sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya. Bukannya membawa kesejahteraan, bahkan demokrasi telah menimbulkan pelbagai malapetaka di negara-negara yang menerapkan sistem ini.
Demokrasi ibarat topeng yang menutupi wajah sebenarnya. Berikut adalah wajah sebenar demokrasi yang selama ini menjadi roh sistem tersebut dan masih diagung-agungkan oleh para pengikutnya.
Pertama, roh kepada demokrasi adalah sekularisme. Sekularisme merupakan konsep yang dipelopori oleh Barat sebagai satu bentuk pemikiran yang memisahkan agama daripada urusan negara dan kehidupan masyarakat. Agama hanya dianggap urusan peribadi yang tidak wajar dibawa ke dalam masyarakat atau dijadikan dasar dalam pentadbiran. Mereka yang mengamalkan sekularisme percaya bahawa kehidupan dan pemerintahan perlu diatur mengikut pemikirannya sendiri, tanpa sebarang campur tangan agama. Inilah sebabnya sekularisme selalu bermusuhan dengan Islam dan tidak mungkin dapat disatukan dengannya.
Demokrasi yang berteraskan semangat sekular ini sama sekali tidak akan memberikan ruang bagi Islam untuk bergerak di segala aspek kehidupan. Sebaliknya, umat Islamlah yang perlu menanggalkan akidah mereka demi menyesuaikan diri dengan kehendak sistem demokrasi sekular. Syariat Islam dianggap tidak mampu memenuhi kehendak dan kerakusan demokrasi. Justeru, apabila suara Islam menjadi suara majoriti, sistem demokrasi akan mencari pelbagai alasan untuk membatalkan keputusan tersebut. Walaupun merupakan sebuah negara dengan majoriti umat Islam, suara Islam tidak akan pernah diangkat sebagai pemenang kerana bertentangan dengan kepentingan mereka.
Dalam Islam, tidak wujud konsep sekularisme dan tidak mungkin ada Muslim yang bersikap sekular. Jika ada individu Muslim yang sekular, maka dia telah terpengaruh dan diracuni oleh pemikiran Barat. Budaya dan ideologi Barat telah menguasai pemikirannya sehingga dia tidak lagi menjadikan Islam sebagai panduan dalam mengatur kehidupannya. Sedangkan Islam diturunkan untuk menjadi panduan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan. Inilah perang pemikiran yang sebenar iaitu peperangan menentang ideologi-ideologi sesat yang dibawa oleh Barat.
Kedua, roh demokrasi adalah liberalisme, iaitu fahaman kebebasan manusia untuk menuruti hawa nafsunya. Demokrasi tidak memberi kebebasan kepada umat Islam untuk taat sepenuhnya kepada Tuhan mereka, bahkan sebaliknya demokrasi menggalakkan manusia untuk hidup bebas daripada ketaatan kepada Allah. Setiap kali ajaran Islam menyeru kepada ketaatan, ia dianggap sebagai bentuk penindasan. Sebagai contoh, apabila Islam mewajibkan wanita Muslimah untuk berhijab, mereka mempropagandakan slogan seperti “my body, my authority” (tubuhku hakku).
Bagi dunia Barat, kebebasan dianggap sebagai kunci kepada kebahagiaan. Namun, hakikatnya, kebebasan tanpa batas inilah yang telah menghancurkan tatanan kehidupan manusia sehingga mereka hidup seperti binatang. Contohnya, amalan seks bebas, gaya hidup bebas dan cara hidup yang tidak berlandaskan nilai moral akhirnya menjadikan kehidupan manusia porak-peranda. Terlalu bebasnya cara hidup itu telah membawa manusia kembali ke zaman jahiliah. Kemuliaan dan kehormatan manusia sebagai makhluk berakal semakin terhakis oleh fahaman kebebasan ini. Manusia hidup hanya untuk memuaskan ego dan nafsu, menyebabkan hilangnya arah kehidupan.
Ketiga, roh demokrasi hari ini adalah kapitalisme. Kapitalisme telah menjadikan sistem ekonomi dunia tidak stabil, bahkan membuka ruang kepada berlakunya krisis dan kemelesetan ekonomi. Prinsip kebebasan memiliki harta telah menjadikan manusia memperhambakan sesama manusia. Para kapitalis dengan kerakusan mereka berlumba-lumba merebut sumber daya alam dan ruang awam yang sepatutnya diurus oleh negara demi kesejahteraan rakyat.
Segala-galanya diswastakan dan dikapitalisasi oleh golongan kapitalis. Sebagai contoh, hasil bumi seperti mineral, minyak mentah dan sumber alam lain diserahkan kepada penguasaan individu, malah ada yang dikuasai oleh kapitalis asing. Sedangkan dalam Islam, keperluan awam wajib diurus dan dikawal oleh negara, bukan dimonopoli oleh individu atau pihak swasta. Tambahan pula, ekonomi kapitalis disokong oleh sistem riba dan cukai yang menindas. Mereka menekan masyarakat melalui riba dan cukai yang membebankan. Lebih parah, aktiviti perjudian yang dibiarkan bebas hanya menambah kekacauan dan kerosakan sosial.
Demokrasi pada hari ini hanyalah topeng bagi menyembunyikan wajah sebenar sekularisme, liberalisme, dan kapitalisme. Ia tidak akan pernah mampu mencapai kesejahteraan atau kebahagiaan sejati kerana sistem ini gagal menentukan dengan tepat apa yang benar dan apa yang salah. Hak menentukan baik dan buruk hanyalah milik Sang Pencipta (Al-Khaliq), kerana hakikatnya manusia bersifat terbatas. Bahkan untuk mengetahui apa yang terbaik bagi dirinya sendiri pun, manusia tidak mampu.
Inilah sebabnya manusia perlu menyedari hakikat dirinya sebagai makhluk ciptaan yang wajib tunduk kepada Penciptanya. Hanya dengan cara itu manusia akan memperoleh kehidupan yang mulia dan benar. Oleh itu, tiada jalan lain untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hakiki melainkan dengan kembali kepada Islam.
Sumber: ngajishubuh
#HakikatDemokrasi #WajahDemokrasi #TolakDemokrasi #DemikrasiSistemKufur