Sistem Kapitalis-Sekular: Sistem Materialistik Lebih Berbahaya
Oleh: KH. Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy
Imam An Nasa’ie meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, baginda berkata, “Rasulullah SAW bersabda:
لا يجتمعُ غبارٌ في سبيلِ اللَّهِ ودُخانُ جَهَنَّمَ في جوفِ عبدٍ أبدًا ، ولا يجتَمعُ الشُّحُّ والإيمانُ في قلبِ عبدٍ أبدًا
“Tidak akan berkumpul debu (yang melekat kerana berjuang) di jalan Allah dengan asap neraka di dalam tubuh seorang hamba selama-lamanya. Dan tidak akan berkumpul sifat bakhil dengan iman di dalam hati seorang hamba selama-lamanya”.[HR. Imam An Nasa’ie dari Abu Hurairah RA]
Sistem kapitalis-sekular yang diterapkan di negeri-negeri Islam, telah mengaut kekayaan dan keuntungan hanya kepada segelintir pihak sahaja. Jurang pendapatan, tidak kira samada di dalam negara sedang membangun mahupun negara maju, jurang pendapatan penduduk di dalam negeri telah mengakibatkan banyak orang hidup di paras bawah standard. Malahan, ramai di antara mereka yang mengalami masalah kemurungan akibat menanggung pendapatan yang rendah.
Struktur sistem ini telah mewujudkan jurang dan sifat materialistik di dalamnya. Negara besar tidak sudi berkongsi kekayaan dengan negara sedang membangun. Hanya sedikit orang-orang kaya, yang mahu berkongsi kekayaan dengan orang-orang miskin. Malah, sifat materialistik (syuhh) telah mencapai tahap yang luar biasa. Perbelanjaan awam dipotong, subsidi kepada rakyat dihapuskan, penswastaan PSO (public service obligation), serta dasar-dasar zalim lain yang hanya memihak kepada pemilik korporat dan pemodal. Lebih ironis lagi, rakyat terus-menerus diperas dan dicekik dengan pelbagai jenis pungutan, seperti cukai misalnya.
Bagaimana boleh dikatakan ianya adil? Yang berhutang adalah orang kaya, tetapi ketika gagal membayar hutang, rakyat yang harus menanggung bebanan tersebut. Bagaimana mungkin dapat diterima oleh kewarasan akal dan jiwa yang sihat, bila mana melihat para pegawai dan wakil rakyat terus-menerus menggubal peraturan yang menzalimi serta menyengsarakan rakyat, tambahan pula ianya hanya memihak kepada kepentingan kapitalis serta korporat, sedangkan rakyatlah yang terpaksa menanggung gaji pegawai-pegawai zalim itu? Memang layaklah dilabelkan sistem ini zalim, ganas, tidak berperikemanusiaan dan biadab.
Sudah sampai waktunya, menggantikan sistem yang materialistik dan biadab ini, kepada sistem Islam yang adil, memihak kepada keseluruhan rakyat, serta menjamin kesejahteraan manusia ke tahap maksimum.
#Kapitalisme #BahayaSekularisme