Jangan Cegah Anak Bermain
Anak kecil masih belum mampu membezakan antara bekerja dan bermain. Dia asyik dengan setiap aktiviti yang dilakukan atas inisiatifnya sendiri, seperti mendengar cerita, bermain dengan anak patung atau memerhati rama-rama yang berterbangan di sekelilingnya. Dia tidak menghiraukan waktu makan mahupun masa dan sukar berhenti daripada aktiviti yang mengujakannya. Dia bermain dengan apa sahaja yang ditemuinya.
Jika tangannya memegang sudu dan periuk, dia akan menjilatnya dengan lidah, memukul periuk dengan sudu untuk mendengar bunyi yang terhasil dan sebagainya. Jika dia tidak menemui sesuatu yang baharu, dia akan berasa bosan dan cuba mencari benda lain untuk dijadikan permainan. Semangatnya akan bertambah apabila terdapat benda baharu yang boleh dijadikan alat permainan.
Melalui permainan sebegitu, anak belajar mengenali sifat-sifat sebenar sesuatu benda, bagaimana benda itu bergerak, berguling ke atas atau ke bawah, bagaimana benda-benda itu boleh dipasangkan atau dimasukkan antara satu sama lain dan sebagainya. Dia juga belajar cara menggunakan anggota tubuhnya — bagaimana menggerakkan tangan, kaki dan badannya ke pelbagai arah, serta bagaimana menggunakan jari-jarinya dan kedua-dua tangannya.
Semakin aktif pergerakan anak, semakin besar kecenderungannya untuk meneroka dan mengenali persekitarannya. Anak perlu digalakkan sebaik mungkin untuk melakukannya, dan tidak sepatutnya dihalang daripada aktiviti yang memenuhi rasa ingin tahunya kecuali dalam dua keadaan:
[1] Jika anak cuba melakukan sesuatu yang berbahaya atau boleh memudaratkan dirinya ataupun orang lain.
[2] Jika anak cuba merosakkan barang kepunyaan orang lain atau benda yang berharga.
Dalam dua keadaan ini, anak perlu dihentikan serta-merta dengan tegas. Ibu atau penjaga yang menggantikannya wajib memantau anak secara berterusan ketika dia bergerak ke sana dan ke mari di persekitarannya. Selain itu, hendaklah disediakan suasana yang selamat demi keselamatannya, serta peluang untuk anak melakukan aktiviti yang menarik minatnya.
Sumber: “Asâsiyyât Tarbiyyah al-Athfâl” – Najah as-Sabatin
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat