INTAN DAN ARANG
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Terinspirasi tulisan seseorang yang mengambil jurusan Kimia, beliau mengatakan bahawa orang yang berjaya dan orang yang gagal itu adalah sama. Sama-sama mengerahkan potensi, sama-sama mengeluarkan tenaga, dan sama-sama menghabiskan waktu, sama-sama memerlukan proses. Apa yang membezakannya adalah kualiti prosesnya.
Bagaikan intan dan arang, dalam perbahasan kimia, intan dan arang memiliki unsur yang sama iaitu karbon (C). Yang membezakannya adalah proses pembuatannya. Intan zatnya keras, walaupun ia sukar dibentuk, namun ia menghasilkan perhiasan yang berkilau indah. Sedangkan arang zatnya mudah rapuh, mudah dipukul dan mudah hancur. Intan bernilai tinggi dan mahal harganya sedangkan arang bernilai lebih rendah dan murah harganya.
Dalam proses pembentukannya intan dihasilkan dengan proses yang sangat panjang, ia memerlukan suhu panas yang lebih tinggi dan tekanan yang lebih kuat, sukar, mendalam, teliti dan memerlukan kepakaran khas. Arang sangat mudah dibentuk, prosesnya mudah, memerlukan suhu yang biasa dan prosesnya juga tidak lama.
Begitu juga dengan kejayaan dan kegagalan kita dalam mendidik anak. Potensi anak kita dan anak orang lain itu sama, sama-sama diberi Allah potensi berfikir dan naluriyyah. Namun kenapa hasilnya boleh berbeza, ada anak bagaikan intan yang berkilau keperibadian Islamnya dan sedap dipandang mata namun ada anak bagaikan arang, rapuh keperibadian dan mudah hancur. Apa yang membezakan itu adalah proses.
Proses yang segera dalam mendidik bagaikan membentuk arang, akan mudah hancur. Misalnya ketika anak dididik agar berpuasa di bulan Ramadhan dengan ancaman dan paksaan, mengeluarkan kata-kata yang membuatkan anak merasa takut seperti, “Kalau adik tidak puasa, adik tak boleh ikut ayah jalan-jalan.” Atau ketika ibu ayah mahu anak memiliki adab sopan santun terhadap orang tua, keluarlah kata-kata segera seperti, “Kamu ni, sudah dibesarkan hingga usia sepuluh tahun masih menjadi anak derhaka, jaga-jaga ya sekali lagi kamu membantah cakap ayah, ayah tak akan bagi duit belanja.” Dan masih banyak lagi proses yang menghasilkan arang yang dilakukan ibu bapa dalam mendidik. Maka, proses segera seperti ini tidak akan berjaya membentuk keperibadian Islam dalam diri anak.
Berbeza dengan proses yang panjang, kerana mendidik anak itu memang memerlukan kepakaran khas, ilmu yang memadai, sarana yang khusus, pencermatan yang teliti dalam pertumbuhan anak, perlu mendalam melihat kecenderungan-kecenderuangan anak dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bagaikan intan, proses mendidik itu memerlukan waktu, suhu yang tinggi untuk memanaskan akidah Islamiyyah dalam diri anak, memerlukan gergaji yang sesuai agar dapat membentuk pola fikir dan pola sikap anak, agar anak itu kuat dan nampak berkilau di setiap sudut mata memandang. Selain itu, tekanan yang kuat juga diperlukan, yakni berupa masalah-masalah yang dihadapi agar anak semakin matang dalam mencari solusi. Suhu yang tinggi dan tekanan yang kuat justeru dapat merubah karbon menjadi intan.
Jangan pernah takut membiarkan anak menghadapi masalah hidup, justeru jangan biasakan permasalahan anak diselesaikan oleh ibu ayah, biarkan anak berusaha sendiri menghadapi ujiannya dan kita yang memanaskan pemikirannya dengan ideologi Islam, sehingga anak muncul sebagai sosok peribadi yang tangguh.
Akhir kata, wahai ibu sekalian, mahu pilih yang mana, intan atau arang?
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat