[Khilafah Rasyidah] Penerapan Islam secara Revolusioner (Bahagian 1/3)
Penulis: dr. Hamdan Fahmi
Adapun point sebelum terakhir dalam masalah cabaran dalam negeri adalah masalah penerapan Islam secara revolusioner.
Point ini mencakup tiga aspek:
- Persiapan umat di dalam Daulah secara nafsiyah dan aqliyah.
- Alat-alat dan sarana-sarana bagi penerapan tersebut.
- Deskripsi praktikal bagi amalan atau tindakan penerapan Islam secara revolusioner.
Sebelum memulakan pembahasan dalam masalah ini, kami perlu menyebutkan terlebih dahulu makna penerapan secara revolusioner dan hukum syarak tentang penerapan secara revolusioner.
Untuk menjelaskan makna penerapan Islam secara revolusioner, kita perlu merujuk kepada sirah Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah al-Munawwarah. Rasul SAW menerapkan apa yang telah diturunkan berupa hukum-hukum syarak yang bersifat praktikal di Madinah tanpa ada penundaan sedikit pun.
Dalam masalah ini terdapat sebahagian pemikir yang membuat pendapat palsu tentang penerapan secara bertahap dalam menerapkan hukum-hukum di dalam negeri kaum muslim. Mereka berdalil dengan ayat-ayat tentang khamar yang termaktub di dalam Al-Quran untuk menyatakan tahapan dalam penerapan hukum-hukum syarak di negeri-negeri kaum muslim.
Hal itu seperti firman Allah SWT, “Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.” (TMQ An-Nahl: 67).
Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (TMQ An-Nisa’: 43).
Sesungguhnya perkara ini bukan tahapan dalam pengharaman khamar kerana ayat pertama dan kedua di dalamnya tidak terdapat pengharaman khamar. Namun, kedua ayat tersebut membicarakan dua masalah tertentu, iaitu masalah pembuatan minuman yang memabukkan dari buah anggur dan rezeki yang baik, serta tentang tidak bolehnya meminum khamar pada waktu-waktu solat.
Asy-Syawkani berkata di dalam tafsirnya, Fath al-Qadir, “Abad bin Humaid, Abu Dawud, dan At-Tirmidzi dan dia telah menilainya hasan, telah mengeluarkan dari Ali bin Abi Thalib. Dia berkata, “Abdurrahman bin ‘Auf membuat makanan untuk kami dan memberi minum khamar kepada kami, maka khamar itu membuat kami mabuk. Kemudian tibalah waktu solat. Mereka menjadikanku sebagai imam, maka aku membaca, ‘Qul yâ ayyuhal kâfirûn lâ a’budu må ta’budûn wa nahnu na’budu má ta’budûn.’ (Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kalian sembah dan kami menyembah apa yang kalian sembah.’), Ali berkata, ‘Allah lalu menurunkan ayat (yang maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.…” (TMQ An-Nisa’: 43).
Ahmad dan Al-Hakim telah mengeluarkan dan Al-Hakim menyahihkannya. Dari Umar bin al-Khaththab ra., dia berkata “Ketika turun ayat, ‘Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.’” (TMQ Al-Baqarah: 219).
Aku berkata, “Ya Allah berilah penjelasan kepada kami dalam masalah khamar dengan penjelasan yang tuntas, maka turunlah ayat yang ada di surah An-Nisa’, ‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk,…’” (TMQ An-Nisa’: 43).
Kemudian Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat tersebut. Dia berkata, “Ya Allah, berilah penjelasan kepada kami dalam masalah khamar dengan penjelasan yang tuntas.” Maka turunlah ayat yang ada di surah Al-Ma’idah,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (TMQ Al-Ma’idah: 90—91).
Umar pun lalu dipanggil dan dibacakan ayat tersebut kepadanya, ketika sampai “fahal antum muntahûn.” (Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?), Umar berkata, “Kami berhenti. Kami berhenti!”
Hukum khamar dari sisi keharamannya belum diturunkan sama sekali di dalam surah An-Nahl dan An-Nisa’. Ayat surah An-Nahl membicarakan tentang berbagai manfaat yang diperoleh dari buah-buahan. Sedangkan ayat surah an-Nisa membicarakan tentang hukum yang lain seperti yang telah kami sebutkan sebelumnya, iaitu tidak boleh mendekati solat dalam keadaan mabuk.
Demikian juga di dalamnya tidak terdapat pengharaman khamar. Ayat tersebut tidak lain membicarakan tentang tidak boleh melaksanakan solat selagi dalam keadaan mabuk. Jadi pengharamannya terhad pada waktu pelaksanaan solat saja. Minum khamar belum dilarang secara mutlak sebelum turun ayat surah Al-Ma’idah tersebut.
Ibnu Katsir meriwayatkan di dalam tafsirnya. Dia berkata, “Hamad bin Tsabit meriwayatkan dari Anas, dia berkata, ‘Dahulu pada saat khamar diharamkan, aku menuangkan minuman kurma di rumah Abu Thalhah. Tidak ada yang mereka minum, kecuali buah dari kurma. Ketika seorang penyeru menyerukan sesuatu, Abu Thalhah berkata, ‘Keluarlah dan perhatikan.’ Ternyata penyeru itu menyerukan, ‘Ingatlah, sesungguhnya khamar telah diharamkan’, maka khamar-khamar itu ditumpahkan di jalanan Madinah. Anas berkata, “Abu Thalhah berkata kepadaku, ‘Keluarlah dan tumpahkan khamar ini!”, maka dia pun menumpahkan khamar itu. Sebahagian dari mereka lalu berkata, “Si Fulan dan si Fulan terbunuh, sedangkan khamar itu masih ada di dalam perut mereka.”
Anas berkata, “Maka Allah menurunkan firman-Nya, ‘Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.’” (TMQ Al-Ma’idah: 93). [Muttafaq ‘alaihi]
Riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam shahihnya dengan riwayat yang berdekatan.
Sumber: dr. Hamdan Fahmi, Khilafah Rasyidah.
#KhilafahRasyidah #DaulahIslam #IslamKaffah