Menimbang Pendekatan Gentle Parenting dalam Pembentukan Keperibadian Anak
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Salah satu ikon yang terkenal mengamalkan pendekatan Gentle Parenting terhadap anaknya adalah artis Indonesia, Nikita Willy, yang sering mendapat pujian sebagai seorang ibu yang lembut dalam mendidik dan mengasuh anak. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Gentle Parenting?
Gentle Parenting, atau pengasuhan penuh kelembutan, adalah pendekatan dalam mendidik anak yang menekankan hubungan positif, empati dan rasa hormat antara ibu bapa dan anak. Secara umum, Gentle Parenting merupakan gaya asuhan yang menolak tindakan mempermalukan, menyalahkan, atau menghukum anak. Inti utama pendekatan ini adalah membina hubungan kerjasama dan saling memahami antara ibu bapa dan anak.
Pendekatan ini hadir sebagai angin segar di tengah-tengah kerasnya sistem pendidikan saat ini terhadap anak. Fenomena penderaan dan kekasaran terhadap anak menjadi kebimbangan besar terhadap masa depan generasi muda, kerana tidak sedikit anak yang membesar dengan trauma pengasuhan. Gentle Parenting menawarkan cara asuhan yang mesra anak, di mana ibu bapa mengutamakan empati, perhatian, kelembutan, dan penuh rasa hormat.
Menurut para ibu bapa yang mengamalkan pendekatan ini dalam pengasuhan, mereka merasakan banyak manfaat daripadanya, antaranya:
1. Mengurangkan kebimbangan anak, serta membantu mereka memberikan tindak balas yang lebih baik dalam bersosial.
2. Mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dan anak, hasil daripada komunikasi yang menyenangkan.
3. Memberikan teladan yang baik kepada anak, kerana mereka diperlakukan dengan cara yang baik.
Sebagai satu pendekatan, Gentle Parenting dianggap baik apabila asasnya berpaksikan ajaran Islam dalam mendidik anak, sama ada melalui tutur kata mahupun perbuatan. Bersikap lemah lembut terhadap anak adalah konsep Islam, dan tanpa istilah gentle parenting pun konsep Islam sudah sempurna kerana sifat lemah lembut merupakan perintah Rasulullah SAW:
عَنْ أبي هريرة – رضي الله عنه – : قال : «قَبَّلَ رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- الحسنَ بنَ عَليٍّ ، وعنده الأقْرَعُ بنُ حابس التميميُّ ، فقال الأقرعُ : إِن لي عَشْرة من الوَلَد ما قَبَّلْتُ منهم أحدا ، فنظر إِليهِ رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- ثم قالَ : مَن لا يَرْحَمْ لا يُرْحَمْ».أَخرجه البخاري، ومسلم، والترمذي، وأبو داود
Maksudnya, “Daripada sahabat Abu Hurairah RA, beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mencium cucunya, Hasan bin Ali RA. Ketika itu, di sisi Baginda terdapat Aqra’ bin Habis At-Tamimi. Aqra’ berkata, “Aku mempunyai sepuluh orang anak, namun tidak seorang pun pernah aku cium.” Maka Rasulullah SAW menoleh kepadanya dan bersabda, “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (HR. al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Sikap lemah lembut, empati, saling menghormati serta menjalin komunikasi yang baik memang sesuatu yang terpuji, namun hanya apabila ia berpaksikan syariah. Ini kerana segala tindakan dalam Islam perlu disandarkan pada neraca syarak agar tidak terpesong. Tidak semua bentuk kelembutan itu baik, khususnya ketika ibu bapa perlu menegaskan sesuatu kepada anak apabila mereka melanggar batas tingkah laku. Dalam syariat Islam, ada ketika ibu bapa diperintahkan untuk bersikap tegas. Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda bahawa anak yang telah berusia sepuluh tahun tetapi enggan menunaikan solat boleh dipukul dengan cara yang mendidik agar mereka memahami perbezaan antara yang hak dan yang batil.
Banyak nas, sama ada daripada al-Quran mahupun hadis yang mengajarkan agar ibu bapa bersikap ihsan terhadap anak-anak, memperlakukan mereka dengan baik, memberikan hak mereka dengan sempurna, serta melindungi mereka sebaik mungkin. Namun begitu, kelembutan, empati, dan usaha menggembirakan anak tidak boleh keterlaluan sehingga menjadikan anak bersikap permisif atau serba boleh, kerana anak memerlukan sempadan tingkah laku yang jelas untuk membezakan mana yang dibenarkan dan mana yang dilarang, mana yang selamat dan mana yang berbahaya.
Keperibadian anak terbentuk daripada dua aspek utama iaitu pola pemikiran dan pola perbuatan. Maka ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap kedua-duanya. Sekiranya ibu bapa menginginkan anak yang soleh, maka cara berfikir anak itu mesti berlandaskan akidah Islam. Maksudnya, dalam membuat keputusan hidup, anak perlu berpandukan kepada Islam dan mencari penyelesaian bagi setiap masalahnya melalui panduan Islam semata-mata. Anak tidak akan mengambil idea, teori, atau konsep yang bertentangan dengan Islam. Selain itu, standard perbuatan anak mestilah berpaksikan syariah Islam. Setiap tindakannya terikat dengan hukum-hakam Islam dan menolak segala ukuran perbuatan yang tidak bersumber daripada Islam.
Oleh itu, walaupun Gentle Parenting dilihat sebagai pendekatan yang positif, setiap ibu bapa Muslim hendaklah tetap menjadikan konsep dan kaedah pengasuhan serta pendidikan Islam sebagai asas utama dalam mendidik anak-anak. Ini kerana pendidikan Islam bukan sekadar satu pendekatan, tetapi lebih sempurna dari itu. Dengan berpaksikan pendidikan Islam, akan lahir generasi unggul yang mampu mengembalikan kegemilangan peradaban Islam untuk kali yang kedua.
Wallāhu a‘lam bish-shawāb.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat