Agar Anak Terbiasa Berdakwah
Penulis: Dra. (PSi) Zulia Ilmawati
Islam ialah agama dakwah. Islam boleh tersebar ke seluruh penjuru dunia − dipeluk, difahami dan diamalkan oleh manusia daripada pelbagai suku bangsa − kerana adanya dakwah yang dilancarkan tanpa henti sepanjang kurun sejarah. Salah satu ajaran Islam yang utama adalah perintah kepada umatnya untuk berdakwah, iaitu mengajak manusia ke jalan Allah dengan penuh hikmah. Salah satu ciri seorang Mukmin ialah keprihatinannya terhadap dakwah.
Bersama Mukmin dan Mukminat yang lain, dia bahu-membahu melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Dia yakin, tidak ada aktiviti yang lebih mulia dalam hidup ini kecuali mendedikasikan dirinya dalam dakwah Islam.
Dakwah Islam memerlukan para pengemban yang tangguh. Seorang pengemban dakwah tidak akan lahir begitu sahaja. Dia lahir melalui proses dan usaha yang berterusan, bahkan sejak masa kanak-kanak. Oleh itu, mengajak anak “berdakwah” sejak awal sangatlah penting. Dengan demikian, anak-anak akan terbiasa dengan kegiatan dakwah agar akhirnya dia juga bercita-cita menjadi pengemban dakwah yang baik. Bagaimana agar anak terbiasa berdakwah sejak kecil? Tulisan berikut akan memaparkan beberapa caranya.
Cara Agar Anak Terbiasa Berdakwah
- Mengajak anak dalam kegiatan dakwah.
Melibatkan anak dalam aktiviti dakwah penting untuk memberikan contoh dan persekitaran yang kondusif. Dengan demikian, suasana dakwah sudah boleh dirasai anak sejak awal. Ajaklah anak turut serta ketika kita menjadi peserta atau penceramah dalam pengajian, perbincangan, seminar atau bahkan demonstrasi di jalan. Hal itu boleh menjadi wadah latihan dakwah buat anak, sekali gus sebagai wadah rekreasi keluarga.
Sesampai di rumah, anak boleh diminta pandangannya tentang kegiatan yang baru sahaja dia ikuti. Boleh juga ditanya tentang isi yang disampaikan oleh ibu atau bapanya, respons atau pandangan para peserta, bahkan mungkin tanpa kita duga dia juga mempunyai kritikan dan cadangan buat kita. Namun, sebelum memutuskan untuk mengajak anak pergi berdakwah, tentu perlu dipertimbangkan tahap kesediaan anak. Oleh itu, lakukan persiapan seperlunya agar anak di sana boleh merasa selesa dan tidak menimbulkan masalah.
Sambil mengajak anak berdakwah, jelaskan kepada mereka bahawa dakwah ialah kewajipan setiap Muslim. Jika perlu, kenalkan dalil-dalil tentang kewajipan berdakwah. Jelaskan pula bahawa Islam bukan hanya mengajarkan sebatas ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji tetapi juga berdakwah. Ajaklah anak-anak mulai menghafal ayat-ayat atau hadis yang berbicara tentang kewajipan berdakwah. Surah al-Asr, misalnya, sangat popular dalam kalangan anak-anak bahkan selalu dibaca sebelum anak-anak pulang sekolah.
- 2. Bahu-Membahu dalam dakwah.
Mengajak anak terlibat dalam dakwah boleh dilakukan secara tidak langsung. Misalnya dengan membantu ibu bapa saat ibu bapa tidak ada di rumah. Contohnya, ketika ibu harus bergegas pergi untuk siaran di radio pada waktu pagi, ajaklah anak yang besar membantu adiknya menyiapkan kelengkapan sekolah, atau membantu mengemas rumah. Dengan demikian, ketika ibu kembali, rumah sudah kemas dan si adik sudah siap berangkat ke sekolah. Dengan cara itu, anak akan melihat secara langsung kesibukan ibu bapanya dalam dakwah dan anak juga boleh merasakan secara langsung bagaimana dia ternyata boleh membantu menyokong dakwah meskipun hanya dengan melakukan sebahagian kecil pekerjaan ibu di rumah.
- 3. Ikut Menemui Tetamu.
Ketika ada tetamu atau mungkin mesyuarat dakwah di rumah, anak-anak kadang-kadang boleh ikut serta. Biarkanlah dia di situ. Dengan cara itu, dia akan mendengar perbincangan dakwah, dan secara tidak langsung akan belajar bagaimana ibu bapanya dan tetamunya menyelesaikan persoalan dakwah.
- 4. Malam Bina Iman dan Takwa
Untuk memberikan pengalaman praktikal dalam berdakwah, ajaklah anak untuk mengikuti acara dakwah untuk anak-anak. Acara seperti Pertandingan Pendakwah Cilik bagus sebagai medan pembelajaran. Boleh juga dalam acara ‘Malam bina iman dan takwa’, misalnya, anak diminta untuk menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat berjemaah. Hal ini akan melatih keberanian sekali gus memberikan pengalaman yang sangat berharga buat anak. Meskipun demikian, harus juga diberi penjelasan bahawa bukan hanya ceramah di hadapan orang ramai. Mengajak orang ke jalan Islam, apa pun bentuknya, juga merupakan kegiatan dakwah. Jika perlu, siapkanlah hadiah istimewa untuk pemenang agar anak bersemangat dan berusaha tampil sempurna.
- Suasana rumah.
Cara terpenting untuk mengajak anak berdakwah ialah dengan kita mewujudkan suasana dakwah di rumah kita. Misalnya dengan mengembangkan kebiasaan saling menasihati atau seringnya rumah dijadikan tempat dakwah. Tersedianya buku-buku dan majalah yang membicarakan dakwah juga akan membantu mewujudkan suasana dakwah.
Singkat kata, penting ditanamkan kepada anak bahawa kehidupan seorang Muslim sepatutnya ialah kehidupan dakwah. Sampaikan kepadanya bahawa kehidupan Rasulullah SAW dan para Sahabat tidak pernah terlepas daripada kehidupan dakwah.
Ceritakan bagaimana perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Contohnya ialah Bilal ibn Rabah yang begitu istiqamah mempertahankan akidahnya sekali gus sebagai muazin kepercayaan Rasulullah, Tariq ibn Ziyad penakluk Sepanyol, Mehmed II penakluk Konstantinopel, atau Asma binti Abu Bakar yang sangat berani dalam membantu kejayaan hijrah Rasulullah SAW. Kisah-kisah seperti ini pasti akan terpahat dalam ingatan dan memberikan motivasi kepada anak untuk bersemangat dan berani berdakwah. Kisah dakwah Rasul dan para sahabat juga penting disampaikan untuk mengatasi kisah khurafat yang banyak beredar di televisyen dan majalah.
Sesekali penting untuk disampaikan kepada anak janji-janji Allah bagi para pengemban dakwah. Dalil-dalil ini, jika disampaikan kepada anak dengan penjelasan yang baik, akan dapat membangkitkan semangat dan motivasi untuk melakukan dakwah. Tidak ada salahnya jika anak juga diberikan penjelasan yang benar tentang jihad. Jika dakwah dilancarkan dengan jihad, Allah berjanji akan mengampuni semua dosa, memberikan pertolongan dan kemenangan yang dekat sebagaimana tersebut dalam TMQ as-Saff ayat 10–13. Tanamkan pada anak agar mati syahid menjadi cita-cita tertinggi.
- Membiasakan Saling Menasihati.
“Manusia ialah tempatnya keliru dan lupa,” sabda Rasulullah SAW. Oleh itu, wajar jika manusia kerap bertindak menyimpang daripada tuntunan agama, sama ada secara khilaf ataupun kerana dorongan hawa nafsu. Di sinilah pentingnya peringatan dan nasihat daripada sesama Muslim. Al-Quran menyebut aktiviti tawāṣiyah bi al-ḥaqq dan tawāṣiyah bi al-ṣabr sebagai ciri orang yang beriman dan beruntung. Tunjukkan kepada anak kebiasaan nasihat-menasihati ini samada ibu kepada bapa atau sebaliknya malah juga anak kepada ibu bapa. Tanamkan pada anak bahawa sesungguhnya dakwah merupakan cerminan daripada keprihatinan seorang Muslim terhadap Muslim yang lain, bahkan sesama manusia. Dengan dakwah, umat Islam dihindarkan daripada sikap individualistik yang tidak peduli akan nasib sesama muslim.
- Perbincangan Hangat.
Ketika sedang menonton televisyen atau membaca akhbar, biasanya ada topik yang menarik. Misalnya tentang kedatangan Presiden Trump, kehancuran Iraq, perjuangan anak-anak Palestin menentang Israel atau mungkin ada berita musibah banjir, gunung berapi meletus, tsunami yang menimbulkan kerosakan hebat dan penderitaan yang besar atau tentang kehidupan sebahagian anggota masyarakat yang berada dalam kemiskinan dan kecacatan.
Semua itu boleh menjadi bahan perbincangan yang hangat dengan anak-anak. Bagus jika anak sudah dapat terus memberikan pandangan dan memberikan pendapat. Kita hanya perlu menambah atau memberikan arahan serta penyelesaian menurut Islam. Kalau anak-anak belum memberikan respons, kita boleh memancingnya dengan bertanya kepada mereka, apa pandangannya setelah melihat semua itu. Bukan hanya pandangan, jika perlu, ajaklah anak memberikan maklum balas secara nyata. Misalnya, dengan mengumpulkan wang daripada sebahagian simpanan mereka untuk membantu anak-anak yang terkena musibah yang dia lihat di televisyen; boleh juga dengan mengajak mereka berdoa bersama-sama selepas selesai solat berjemaah agar Allah memberikan pertolongan kepada mereka. Jangan lupa, biasakan anak juga berdoa untuk keselamatan dan kejayaan umat Islam di seluruh dunia.
Cara ini sangat berkesan untuk mengajak anak peduli terhadap persoalan umat. Jelaskan kepada anak bahawa tidak peduli terhadap persoalan umat bukanlah sikap seorang Muslim. Seorang Muslim sepatutnya seperti kata Rasulullah peduli terhadap keadaan Muslim yang lain. Oleh itu, sampaikanlah kepada mereka hadis Rasulullah SAW , “Sesiapa sahaja yang bangun pada waktu pagi, lalu dia tidak memikirkan urusan kaum Muslim, maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka.”
Jelas sekali bahawa keprihatinan terhadap persoalan umat Islam hendaklah mula dipupuk kepada anak-anak sejak awal. Televisyen, radio, majalah atau akhbar yang ada boleh dijadikan medium untuk memupuk keprihatinan tersebut, bukan sekadar alat hiburan semata-mata. Wallahu a‘lam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal #Dakwah #Parenting